Rabu, 4 September 2019 | 1:26pm

Ketagih pornografi dorong tabiat seks luar tabii

Kulim: Ketagihan pornografi mendorong individu mencari keinginan berbeza dalam memuaskan nafsu sehingga berlakunya gejala seperti pedofilia, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pengarah Urusan Persatuan Kaunselor Pendidikan Malaysia (PEKA), Akademi Latihan dan Perundingan PEKA, Muhammad Saffuan Abdullah, berkata berbeza ketagihan lain yang sentiasa inginkan sesuatu lebih banyak untuk kepuasan.

Beliau berkata, ketagihan pornografi melanggar norma hidup kerana pelaku inginkan sesuatu berbeza menyebabkan berlakunya kesalahan dalam hubungan seksual.


PENGARAH Urusan Persatuan Kaunselor Pendidikan Malaysia (PEKA), Akademi Latihan dan Perundingan PEKA, Muhammad Saffuan Abdullah. - Foto Sharul Hafiz Zam

“Pada awalnya mungkin seseorang individu hanya mengalami ketagihan video lelaki perempuan, namun apabila terlalu lama serta terlampau kerap, keinginan mereka berubah dan beralih kepada yang berbeza.

“Keadaan bermula dengan minat kepada kanak-kanak, cikgu dan murid, anak dan bapa hingga membawa kepada hubungan pasangan sejenis. Sebab itu kita lihat sekarang ini aktiviti pornografi membabitkan gay dan lesbian berkembang lebih besar berbanding biasa.

“Ketagihan pornografi membuatkan seseorang mahukan sesuatu yang berbeza. Bukan lagi nak yang seksi, cantik dan tampan. Bukan itu yang mereka mahukan tetapi sesuatu yang luar biasa dengan menjadikan sesuatu fantasi yang dilihat melalui pornografi sebagai realiti,” katanya.

Muhammad Saffuan berkata, ketagihan pornografi dikhuatiri menguasai pemikiran pelaku apabila mereka dapat memuaskan seksual sendiri hingga tidak mahu komitmen hidup bersama pasangan.

Ketagihan itu kata beliau, secara tidak langsung merosakkan sistem sosial institusi keluarga. Jika tidak dibendung dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, dikhuatiri menjejaskan sistem kekeluargaan itu sendiri.

“Keseronokan dalam perkahwinan bagi golongan ini adalah untuk hubungan seks semata-mata, bukan lagi kebahagiaan bersama pasangan. Mereka beranggapan perkahwinan sebagai sesuatu yang menyusahkan, selain bersikap mengambil tindakan untuk hidup bersendirian tanpa sebarang tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini belum ada statistik sama ada ketagihan pornografi hingga berlaku kesalahan seksual di negara ini berada pada tahap kritikal.

“Namun pada masa sama terdapat laporan media mengenai banyak kes rogol berlaku di rumah. Tempat paling selamat untuk melaksanakan kecelaruan hubungan seksual ini adalah di rumah.

“Bapa nak rogol orang lain susah, tetapi bila rogol anak sendiri di rumah. Apabila ibu mahupun anak membuat laporan polis, kemungkinan ditarik balik atas dasar menjaga nama baik keluarga. Jika masuk mahkamah sekali pun, keadaan ini boleh diselesaikan atas alasan bapa sudah insaf,” katanya.

Beliau berkata, ketagihan pornografi bertindak seperti ketagihan dadah dengan mengubah kelakuan seksual manusia normal kepada tidak normal dengan lebih cepat.

Katanya, sikap malu berbincang secara terbuka mengenai isu pornografi perlu dikikis bagi mengelak keadaan lebih buruk hingga sukar dikawal dalam kalangan masyarakat.

“Sikap ini menjadikan mitos bahawa pornografi tidak salah, hiburan orang dewasa, menambah pengetahuan, boleh dikawal, mengelak zina dan akan terhenti bila berkahwin.

“Program kesedaran anjuran pelbagai pihak masih belum mencukupi dalam usaha mendidik masyarakat bagi mengelak gejala pornografi menjadi lebih serius.

“Kita perlu lebih ramai yang bercakap mengenai bahaya ketagihan ini supaya lebih ramai sedar dan berhenti daripada tabiat buruk ini,” katanya.

1229 dibaca
Berita Harian X