Isnin, 2 September 2019 | 3:04pm
PROF Datuk Noor Aziah Mohd Awal

Sekat kahwin bawah umur secara holistik

KUALA LUMPUR: Agenda memperkasakan hak asasi kanak-kanak dan memperbaiki kelompangan dalam pelaksanaan undang-undang berkaitan golongan itu akan menjadi keutamaan Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal sejajar pelantikannya sebagai Pesuruhjaya Kanak-kanak bagi sesi tahun ini hingga 2022.

Noor Aziah yang juga Pensyarah Fakulti Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata menerusi platform itu, beliau akan memastikan keseimbangan dan kepentingan kanak-kanak di negara ini lebih terjamin.

Katanya, isu perkahwinan membabit kanak-kanak di bawah umur juga akan diberi keutamaan dengan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kesan negatif perkahwinan berkenaan terhadap golongan berkenaan.

“Masyarakat dan pembuat dasar perlu memahami bahaya perkahwinan kanak-kanak kerana undang-undang sahaja tidak akan memberi kesan diinginkan. Usaha perlu dibuat bagi menaikkan umur perkahwinan dan memperketatkan undang-undang sehingga perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak dapat dikekang,” katanya mengulas tanggung jawab dan peranan selepas perlantikannya bagi jawatan berkenaan mulai sesi 2019 sehingga 2022.

Sebelum ini, Noor Aziah adalah Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak (2017-2019) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain itu, Noor Aziah juga dilantik sebagai wakil Malaysia dalam ASEAN Commission on the Promotion and Protection of the Rights of Women and Children (2016-2019), dan pernah menjadi Pengerusi bagi Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia (Muslim Women Consultative Council) 2013-2019.

Justeru, beliau berkata, meskipun Akta Kanak-Kanak 2001 sudah dipinda pada 2016, namun perlu ditambah baik demi menjaga kepentingan kanak-kanak.

Katanya, skop penumpuan itu termasuk membabitkan ‘kanak-kanak di luar kawalan’ dan keadilan restoraktif masih belum dapat dilaksanakan untuk menjaga kepentingan kanak-kanak yang berdepan konflik undang-undang.

“Kanak-kanak sebaiknya perlu berada bersama keluarga walau dalam apa saja keadaan dan bukannya dalam institusi jagaan atau penjara. Kita dalam proses memperkenalkan keadilan pemulihan atau restorative justice untuk kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang, maka memasukkan kanak-kanak ke institusi sebegini bukan cara terbaik bagi menyelesaikan isu pemulihan kanak-kanak.

“Bagi kanak-kanak di luar kawalan, mereka ini dimasukkan ke institusi jagaan oleh ibu bapa atau penjaga dengan memohon kepada mahkamah selepas ibu bapa tidak mampu mengawal mereka kerana nakal atau tidak boleh dinasihati lagi,” katanya.

Noor Aziah berkata, usaha juga perlu dilaksanakan bagi membolehkan kanak-kanak dipulihkan oleh keluarga dan masyarakat sendiri. Hak kanak-kanak untuk didengar, tidak didiskriminasi dan hak kepada pembangunan diri dan kepentingan kanak-kanak juga perlu terjaga.

“Oleh itu, pesuruhjaya bagi kanak-kanak ini tercetus untuk memperkasakan hak asasi kanak-kanak dan memastikan wujud keseimbangan dalam melaksanakan hak asasi kanak-kanak serta memperbaiki pelbagai kelemahan dalam pelaksanaannya,” katanya.

Beliau turut menyarankan supaya mahkamah khas yang ditubuhkan mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, ditambah di semua negeri bagi membolehkan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat di dengar di sini dan golongan itu yang menjadi mangsa dapat dilindungi dengan lebih sempurna.

“Ini kerana jika menggunakan kemudahan sedia ada tanpa bilik khas sebagai contohnya, matlamat tidak tercapai kerana mangsa boleh nampak tertuduh dan merasa takut terutama jika tertuduh adalah orang yang dikenalinya.

“Selain itu, terdapat pelbagai isu membabitkan kanak-kanak yang memerlukan kajian teliti seperti isu kanak-kanak tanpa sijil kelahiran, kanak-kanak tanpa negara, kanak-kanak yang diperdagangkan serta isu dalam perubatan,” katanya.

Jika dilihat berkaitan komitmen, Noor Aziah juga bergiat cergas dalam meningkatkan kesedaran mengenai hak wanita sejak mula berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1985 dan masih memberi khidmat nasihat percuma kepada wanita dalam hal ehwal perkahwinan serta perceraian melalui Sukmanita UKM dan Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM).

Beliau juga menjalankan program khidmat nasihat di Penjara Wanita Kajang sejak 1999 lagi hingga kini dan mengendali program Dari Hati di Radio IKIM dua kali sebulan sejak 2016 yang menyelesaikan masalah perundangan dalam perkahwinan.

Berita Harian X