Isnin, 8 Julai 2019 | 6:40pm
Pengurus Komunikasi Pemasaran The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd, Queenie Wong (kanan) menyerahkan jam tangan mewah jenama Longines koleksi HydroConquest kepada Syed Najib Syed Nordin, di Balai Berita, Bangsar, hari ini. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Pembaca setia BH menang jam tangan Longines

KUALA LUMPUR: Pembaca setia akhbar BH sejak lebih 40 tahun lalu, Ah-Pipa @ Afifah Mohd Amin, 74, tidak menyangka usaha mengerah idea mencipta slogan menarik membuahkan hasil apabila terpilih sebagai pemenang tunggal Peraduan Jam Tangan Mewah BH-Longines.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan beliau memenangi jam tangan mewah jenama Longines koleksi HydroConquest bernilai lebih RM6,000.

Afifah yang berasal dari Sungai Siput, Perak, bagaimanapun tidak hadir pada majlis penyampaian hadiah berkenaan berikutan mengalami masalah kesihatan dan diwakili anaknya, Syed Najib Syed Nordin.

Hadiah berkenaan disampaikan oleh Pengurus Komunikasi Pemasaran The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd, Queenie Wong.

Peraduan itu anjuran BH dengan kerjasama Longines ini dibuka penyertaan bermula 10 hingga 31 Mei lalu.

Syed Najib, 37, berkata, kesetiaan membaca BH, kebijaksanaan mencipta slogan menarik serta penghantaran borang peraduan lebih kreatif antara sebab penyertaan ibunya terpilih sebagai pemenang utama peraduan berkenaan.

“Saya turut membantu ibu yang bertungkus-lumus menyiapkan borang peraduan berkenaan selama lima hari berturut-turut. Ini kerana kami perlu mahu memastikan lima kepala akhbar dikumpul setiap hari mengikut syarat wajib kemenangan.

“Saya juga percaya slogan yang menggunakan kata rima sama di hujung dengan memberi maksud yang padat dan bersesuaian dengan tema jam tangan mewah itu antara kriteria utama pemilihan.

“Namun, lebih menarik lagi penghantaran peraduan ibu yang kreatif dan inovatif dengan membawa konsep harta karun.

“Kertas dan borang peraduan dibakar di bahagian tepi bagi membawa unsur khazanah barangan lama melambangkan keutuhan jenama Longines yang sudah bertapak dalam industri pembuatan jam sejak 1832 lagi,” katanya ketika ditemui hari ini.


Syed Najib Syed Nordin menunjukkan borang penyertaan dan jam tangan mewah yang dimenanginya. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Bapanya yang mempunyai perniagaan kedai runcit sentiasa memastikan akhbar BH berada di rumah untuk bacaan seluruh keluarga.

“Saya sendiri membaca BH sejak di Tingkatan Dua, selain sememangnya kami sekeluarga adalah pelanggan setia akhbar ini. Saya dan ibu mengambil peluang ini menyertai peraduan yang disiarkan di dada akhbar dan akan mencarinya hampir setiap hari.

“Alhamdulillah, banyak peraduan sudah dimenangi dan tidak akan putus asa berusaha memenangi lebih banyak peraduan lain pada masa akan datang,” katanya.

Berita Harian X