Khamis, 30 Mei 2019 | 11:19am
MARIA Philip Kulip (kanan) menunjukkan pelbagai jenis kuih raya yang diusahakan penghuni penjara untuk jualan sempena sambutan Aidilfitri di Galeri Penjara Wanita Kota Kinabalu di Kepayan. - Foto Malai Rosmah Tuah

MARIA Philip Kulip (kiri) menunjukkan tempahan baju kurung yang diusahakan penghuni penjara sempena sambutan Aidilfitri di Penjara Wanita Kota Kinabalu di Kepayan. - Foto Malai Rosmah Tuah
MARIA Philip Kulip (kiri) menunjukkan tempahan baju kurung yang diusahakan penghuni penjara sempena sambutan Aidilfitri di Penjara Wanita Kota Kinabalu di Kepayan. - Foto Malai Rosmah Tuah

Baju, biskut raya dari tirai besi

KOTA KINABALU: Bunyi mesin jahit kedengaran tatkala melangkah masuk ke kawasan bengkel menjahit Penjara Wanita Kota Kinabalu, menggambarkan kesibukan penghuninya dengan melakukan pelbagai aktiviti.

Kira-kira 18 banduan yang memakai pakaian seragam biru, hijau dan merah tekun menjahit baju raya manakala yang lain memotong kain selain ada juga yang menjahit langsir.

Kehadiran Timbalan Penguasa Maria Philip Kulip bersama penulis masuk ke dalam bengkel, disambut dengan ucapan selamat pagi oleh banduan di dalam bengkel berkenaan.

BH Online difahamkan sebelum Ramadan mereka sudah mula menerima tempahan bukan sahaja daripada kakitangan penjara sendiri, malah jabatan dan agensi kerajaan lain di negeri ini, selain orang awam.

Seorang penghuni yang bekerja di bengkel jahitan itu yang dikenali sebagai Ana, 37 (bukan nama sebenar), berkata kesibukan menyiapkan tempahan baju raya terutama menjelang Aidilfitri ini menghalang mereka daripada meratapi nasib di sebalik tirai besi.

PENGHUNI penjara yang hanya dikenali sebagai Tina bersyukur berpeluang menimba kemahiran membuat biskut raya di Penjara Wanita Kota Kinabalu di Kepayan. - Foto Malai Rosmah Tuah
PENGHUNI penjara yang hanya dikenali sebagai Tina bersyukur berpeluang menimba kemahiran membuat biskut raya di Penjara Wanita Kota Kinabalu di Kepayan. - Foto Malai Rosmah Tuah

Dia yang menjalani hukuman penjara tiga tahun satu bulan sejak Ogos 2017 atas kesalahan dadah, berkata sebelum ini memang pandai memotong dan menjahit baju kurung.

"Sebelum ini, saya memang menjahit baju tetapi hanya menerima tempahan secara kecil-kecilan kerana hanya beroperasi di rumah. Bagaimanapun, di sini saya turut diajar untuk menjahit cadar dan langsir selain baju kurung asli serta moden.

"Kesibukan di sini menghalang kami meratapi nasib, terutama saya yang terpaksa menahan rindu kepada enam anak yang kini dijaga oleh ibu saya di kampung," katanya mampu menyiapkan lebih dua helai baju kurung dalam sehari.

Ana yang masuk kali ketiga menyambut raya di penjara pada tahun ini, berkata dia amat merindui anak-anaknya yang berusia antara empat hingga 18 tahun.

"Selama berada di sini (penjara), anak-anak tidak tahu. Saya tidak mahu mereka tahu...malah tiap kali ditanya, ibu saya hanya menyatakan saya bekerja dan tidak dapat dihubungi.

"Sebab itu apabila keluar kelak, saya tidak mahu lagi terbabit dengan masalah ini (dadah) kerana ia menyebabkan saya terpisah dengan anak-anak," katanya yang terbabit dengan dadah pada tahun 2010.

MARIA Philip Kulip (tiga dari kiri) menunjukkan pelbagai jenis kuih raya yang diusahakan penghuni penjara untuk jualan sempena sambutan Aidilfitri di Bengkel Pastri, Penjara Wanita Kota Kinabalu di Kepayan. - Foto Malai Rosmah Tuah

Penulis yang mengunjungi penjara itu baru-baru ini turut berkesempatan melihat lebih dekat aktiviti banduan wanita membuat biskut raya yang biasanya ditempah lebih awal untuk jualan sempena Syawal.

Tanpa kemahiran dalam bidang masakan apa lagi pembuatan pastri dan biskut, banduan dikenali sebagai Tina, 35, yang menjalani hukuman penjara selama lima tahun atas kesalahan dadah mengakui perkara itu.

"Tetapi sekarang, saya tahu buat beberapa jenis biskut raya seperti tat nanas dan makmur, selain donut serta karipap," katanya yang menghuni penjara itu sejak 20 Januari 2017.

Tina, ibu tunggal dan mempunyai seorang anak lelaki berusia 17 tahun, berkata dia mula terbabit dengan dadah sejak berusia 13 tahun atas pengaruh kawan selain ingin mencuba.

PENGHUNI penjara yang hanya dikenali sebagai Tina bersyukur berpeluang menimba kemahiran membuat biskut raya di Penjara Wanita Kota Kinabalu di Kepayan. - Foto Malai Rosmah Tuah
PENGHUNI penjara yang hanya dikenali sebagai Tina bersyukur berpeluang menimba kemahiran membuat biskut raya di Penjara Wanita Kota Kinabalu di Kepayan. - Foto Malai Rosmah Tuah

Sementara itu, Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu, Norneelah Shukor, berkata Penjara Wanita Kota Kinabalu memberi peluang kepada banduan untuk mendapat kemahiran sama ada dalam jahitan atau pastri.

"Kita menyediakan program jahitan dan ada bengkel di sini (penjara). Setiap tahun kita menerima banyak tempahan termasuk pada tahun ini. Kita juga sentiasa memastikan hasil jahitan daripada bengkel berkualiti selain dapat disiapkan sebelum raya," katanya.

Beliau berkata, selain itu, tempahan biskut raya juga antara yang mendapat sambutan menggalakkan daripada jabatan dan agensi kerajaan selain orang awam.

"Kita menyasarkan lebih 2,500 balang biskut raya dijual pada tahun ini, sama ada melalui tempahan dan juga pembelian terus ke Galeri Penjara Wanita Kota Kinabalu," katanya sambil menambah sebanyak lapan jenis biskut raya dibuat pada tahun ini.

INFO

Aktiviti banduan di Penjara Wanita Kota Kinabalu

* Aktiviti bengkel jahitan dimulakan 10 tahun lalu

* 28 banduan terbabit dalam bengkel menjahit

* Mula kerja jam 8 pagi hingga 4 petang

* 2,500 balang biskut disasarkan dijual tahun ini

Berita Harian X