Rabu, 20 March 2019 | 9:00am
PEMILIK Mooka Cafe, Nur Adibah Adammi (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran kafe beliau.

Mooka Cafe bawa nasi lemak ke Taipei

KUALA LUMPUR: Keinginan mencuba sesuatu berbeza berbanding kelaziman biasa mendorong Nur Adibah Adammi merantau ke Taiwan untuk membuka kafe yang diberi nama Mooka Cafe, berdekatan stesen MRT Xinyi Anhe, daerah Daan, Taipei.

Malah, ramai bertanya kepada usahawan muda berusia 31 tahun itu mengapa dirinya memilih negara asing untuk memperkenalkan menu tempatan seperti nasi lemak, roti jala dan teh tarik.


NUR Adibah dihadapan kafenya di Taiwan.

“Ramai bertanya kenapa Taiwan? Kenapa tidak di Malaysia? Kalau jualan nasi lemak di Malaysia, mungkin itu semua sama. Di mana-mana ada nasi lemak.

“Tetapi di negara asing, penduduk setempat melihatnya sebagai hidangan

“Tidak salah bangga memperkenalkan makanan kita kepada orang luar,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.

Nur Adibah berkelulusan Seni Bina dan Seni Bina Landskap berhijrah ke Taiwan pada 2014 untuk melanjutkan pengajian dengan mengikuti kursus Bahasa Mandarin di Chinese Culture University.

Sewaktu belajar, beliau bekerja sambilan di kafe dan restoran di Taipei dan pekerjaan lain seperti mengajar bahasa Inggeris.


MOOKA Cafe mendapat sambuntan hangat di Taiwan.

Ketika bekerja di kafe, selain berdikari ketika tinggal di Taipei, saya secara langsung belajar operasi dan pengurusan serta mengenali gaya hidup orang tempatan,” katanya.

Dia yang pernah bekerja di firma rekaan berkata, pada 2016, kerajaan Taiwan mengalu-alukan lebih ramai pelancong Islam ke Taiwan.

Kerajaan melaksanakan pelbagai usaha mewujudkan bandar mesra Islam, terutama di Taipei dan ketika itulah, Nur Adibah menyedari potensi dan merancang menceburi industri makanan dan minuman (F&B) halal.

“Sebelum berhijrah ke sana, saya sudah terdedah dalam persekitaran industri makanan. Keluarga mempunyai perniagaan secara kecil-kecilan termasuk menawarkan katering di rumah dan pejabat.

“Di sini saya belajar dan terima pengalaman. Bukan mudah, terutama apabila membuka perniagaan di negara orang dengan budaya dan bahasa yang berbeza.

“Bagaimanapun, kekuatan dan percaya diri sendiri adalah kunci saya berusaha meneroka peluang perniagaan di sini,” katanya.


NUR Adibah perolehi bekalan bahan mentah dari Taiwan Halal Food.

Mooka Cafe dibuka pada 26 Disember 2017 dan mendekati masyarakat Taipei dengan hidangan authentic Malaysia.

Hari bersejarah yang pasti terpahat dalam sanubari Nur Adibah ialah pembukaan rasmi Mooka Cafe pada 21 Mac 2018 yang turut dihadiri Presiden Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia (MFTC), Datuk Adeline Leong; Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Saudah Mat Isa.

Jawatankuasa masjid utama di Taipei, blogger tempatan dan pelajar Malaysia turut diundang menyertai majlis pembukaan kafe berkenaan.

Mengenai menu yang mendapat tempat di hati pelanggan di Taipei, beliau berkata nasi lemak ayam goreng berempah, nasi lemak sambal sotong, nasi lemak kari ayam, nasi lemak rendang daging, nasi lemak klasik dan roti jala.

“Menu paling diminati pastinya nasi lemak ayam goreng berempah. Mooka Cafe menyediakan minuman kegemaran termasuk teh tarik, kopi O, teh halia, neslo, milo tabur dan teh O pandan serta pencuci mulut,” katanya.

Nama Mooka berasal daripada nama muka dalam bahasa Malaysia. Huruf ‘O’ berganda ditambah bagi dijadikan inspirasi nama menarik seperti Yahoo dan Google.

Ditanya mengenai lokasi kafe itu, Nur Adibah berkata, terletak di lokasi paling strategik di Taipei. Pelanggan boleh ke Mooka Kafe dari stesen MRT Daan dan berjalan kira-kira tujuh minit.

Mengenai bekalan bahan mentah untuk masakan, beliau berkata, daging halal diperoleh dari Taiwan Halal Food dan biasanya dipesan dua kali seminggu atau mengikut jumlah jualan.

“Sayur-sayuran segar dihantar terus oleh pembekal sekali seminggu. Begitu juga telur dan minyak serta bahan kering lain dihantar pemborong tempatan,” katanya.

Melihat penerimaan penduduk Taiwan terhadap menu Malaysia, beliau kini turut menjual Sambaldiba secara dalam talian. Bagi pelanggan di Taiwan, mereka membuat tempahan menggunakan laman sosial Facebook dan Instagram.

“Kami akan hantar sambal itu atau pelanggan juga boleh mendapatkannya di kaunter Mooka Cafe. Sambal ini dibuat dalam tiga jenis iaitu pedas manis, pedas ngam-ngam dan pedas giler,” katanya.

Mooka Cafe kini tersenarai dalam aplikasi Halal Taiwan yang boleh diakses menerusi telefon pintar bertujuan mempromosikan industri halal di negara itu dan sudah mengiktiraf Mooka Cafe.

“Kafe ini diiktiraf Masjid Utama Taipei yang turut membantu mempromosikan Mooka Cafe,” katanya. Difahamkan Mooka Cafe adalah kedai makanan halal pertama dari Malaysia.

Soal rancangan masa depan, Nur Adibah terus mencari ruang lebih besar dan dapur lebih luas bagi meningkatkan jumlah pengeluaran makanan.

“Mooka Cafe dan Sambaldiba masih ‘baby’ tapi tetap bersyukur walaupun cabaran berat dan tidak gentar, paling penting jangan mudah menyerah.

“Pesanan saya kepada anak muda Melayu di sana, usah teragak-agak atau rasa takut mencapai impian sendiri. Jangan dengar apa orang lain kata.

“Yang penting kita percaya pada diri sendiri, banyakkan membaca dan sentiasa ada sikap ingin belajar dan ingin tahu,” katanya.

Berita Harian X