Jumaat, 8 March 2019 | 7:57am
KESAKSAMAAN gender diperjuangkan saban tahun oleh wanita di seluruh dunia. -foto Ihsan

Wanita perlu agresif bantu kurangkan jurang gender

KUALA LUMPUR: Lebih ramai pemimpin wanita dalam barisan pembuat keputusan diperlukan di negara ini bagi mencapai kesaksamaan gender yang diperjuangkan saban tahun di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Jurang ekonomi dan kepemimpinan antara wanita dan lelaki di negara ini masih perlu dipertingkatkan bagi mencapai kesamarataan gender, sekali gus melahirkan pemimpin wanita berkaliber.

Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datin Dr Norizan Abdul Razak, berkata negara ini dilihat sudah mengimbangi kesaksamaan gender dalam beberapa bidang seperti pendidikan dan kesihatan, tetapi masih lemah dalam ekonomi dan kepimpinan.

Beliau berkata, wanita perlu lebih agresif dan ke hadapan dalam dua bidang berkenaan untuk membantu mengurangkan jurang gender ini.

“Pemimpin wanita terdahulu bekerja kuat untuk mendapatkan hak sama rata dari segi pendapatan. Kini, tiba masanya untuk memperjuangkan kesamarataan terutama menjadi pemimpin pada peringkat pembuat keputusan,” katanya.


PROF Datin Dr Norizan Abdul Razak.

Beliau mengulas mengenai pencapaian wanita di negara ini sempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang disambut hari ini bertemakan #BallanceforBetter.

Tema berkenaan menyentuh keseimbangan dalam segenap segi termasuk isu kewanitaan tidak sahaja pada peringkat pembuat dasar, malah sosial dan ekonomi bagi memastikan golongan itu lebih berdaya saing.

Sebagai sokongan kepada tema itu, wanita di seluruh dunia digalak mengambil gambar dengan mengangkat kedua tangan paras bahu dengan telapak tangan di atas.

Norizan berkata, setakat ini wanita dilihat masih terlalu kurang membabitkan diri dalam dunia politik, iaitu hanya 14.8 peratus wanita dalam kabinet berbanding 10.8 peratus sebelum ini.

Katanya, walaupun ada peningkatan, tetapi ia masih pada tahap belum memuaskan.

“Penambahan peratus wanita menjadi menteri dan timbalan menteri ada, tetapi masih rendah.

“Pembuat keputusan di organisasi awam mahupun swasta, masih kurang daripada 30 peratus seperti disarankan kerajaan,” katanya.

Calon wanita yang dilantik dalam kedudukan tinggi juga perlu dinilai mengikut keupayaan dan kewibawaan dan bukan disebabkan mahu memenuhi kuota.

“Kira-kira 48 peratus wanita bekerja dalam pelbagai sektor diharapkan dapat bersaing secara sihat dalam dunia pekerjaan.

“Kesamarataan gender memerlukan daya saing dan sikap agresif yang berterusan untuk mencapai ke tahap maksimum ” katanya.

Kata beliau, dasar wanita negara sudah ditambah baik beberapa kali, iaitu terakhir pada 2009 dan disaran dikaji semula.

“Kini sudah tiba masanya mengkaji semula dasar wanita negara supaya selaras dengan keperluan wanita.

“Justeru, kerajaan perlu meningkatkan keprihatinan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan dalam pelbagai isu termasuk pemerkasaan ekonomi, literasi kewangan untuk wanita menjadi pemimpin, pengurangan kes keganasan seksual dan keselamatan dan kondusif, ” katanya.


MADELINE Berma. - Foto Amirudin Sahib

Penganalisis Ekonomi, Dr Madeline Berma, berkata masyarakat sudah bersatu padu untuk mewujudkan keseimbangan dan kesaksamaan gender.

“Kesaksamaan ini bukan saja menaik taraf kedudukan wanita tetapi ia menjangkau aspek lebih luas.

“Keseimbangan gender ini penting untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memakmurkan negara. Masih banyak ruang untuk diperbaiki, khususnya dalam peringkat membuat keputusan, pemilikan kekayaan, penyertaan dalam guna tenaga dan politik.

“Wanita perlu meningkat dan memperkasakan diri dengan ilmu serta kemahiran abad ke- 21, untuk melengkapkan diri mereka menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0),” katanya.

Isu keselamatan wanita antara yang perlu diberi tumpuan untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam bidang pekerjaan.

Ia bukan saja merangkumi keselamatan di tempat kerja dan awam tetapi juga internet yang mana ramai wanita menjadi mangsa akibat terpedaya dengan sindiket penipuan.

Tokoh pendidikan, Tan Sri Prof Emerita Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, berkata negara perlu melahirkan lebih ramai wanita berjaya dalam pelbagai bidang.

“Bagaimanapun, kita memerlukan sistem sokongan seperti pusat penjagaan anak di tempat kerja penting supaya wanita dapat menumpukan perhatian dalam kerjaya.

Berita Harian X