Khamis, 7 March 2019 | 10:16am
PROF Madya Dr Mawar Safei.

Dr Mawar, gigih memperkemas isu wanita menerusi seni kreatif

KUALA LUMPUR: Penggiat seni sastera, Prof Madya Dr Mawar Safei, yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Akademik Negara (Seni dan Kreativiti), tahun lalu berazam meningkatkan memperjuangkan isu kewanitaan menerusi karya kreatifnya.

Mawar yang juga pensyarah kanan Pusat Penyelidikan Bitara Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata peranan wanita dalam bidang sastera, budaya dan estetika mula dipandang serius sejak kebelakangan ini.

Katanya, perjuangan dalam bidang kreatif menerusi penulisan karya diharapkan dapat menambah penulis wanita untuk mengangkat isu wanita secara global.

“Saya akan terus menggunakan saluran penulisan untuk membangkitkan semangat dan pembangunan wanita secara holistik.

“Isu wanita seperti penindasan dan keadilan boleh diutarakan sebagai tema dalam karya kreatif. Mesej yang mahu disampaikan juga lebih kreatif dan mudah diterima masyarakat,” katanya.

“Anugerah ini memperlihatkan wanita mampu duduk dan berdiri sama tinggi dengan pejuang sastera lain terutama penulis lelaki.

“Saya yakin wanita memiliki bakat, kehebatan dan pesona dalam dunia indah ini secara tersendiri,” katanya kepada BH.

Kenangan manis itu tidak dilupakan terutama apabila Anugerah Akademik Negara itu disampaikan oleh Perdana Menteri,

Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anugerah diperkenalkan pada 2006 itu adalah acara tahunan Kementerian Pendidikan bagi memberi pengiktirafan, menghargai kecemerlangan dan sumbangan ahli akademik bagi melonjakkan imej institusi pengajian tinggi (IPT) di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Raih anugerah

Beliau berkata, antara kriteria diperlukan bagi meraih anugerah itu meliputi pembabitan calon dalam pengajaran, penyelidikan, penerbitan, persidangan, khidmat bakti masyarakat dan negara.

Setakat ini, wanita kelahiran Singapura ini sudah pun melahirkan lebih 41 antologi cerpen, 74 cerpen dan mendapat lebih 45 anugerah sepanjang pembabitan dalam bidang berkenaan.


MAWAR menerima Anugerah Akademik Negara daripada Tun Dr Mahathir.

Menganggap sastera senjata ampuh menegur masyarakat terutama wanita beliau berkata, sastera dilihat lebih halus dalam memberi teguran, nasihat serta pendapat dalam merubah minda masyarakat dengan lebih berkesan.

“Saya percaya pada bakat dan minat penting bagi mereka yang menceburi bidang ini, selain mempunyai cabang yang terlalu luas. Apabila mengenali sastera, anda mengenali dunia lain seperti sains dan teknologi.

“Karya tidak seharusnya menulis buku sahaja, sebaliknya menerusi karya filem dan pemerhatian politik,” katanya.

Kata, wanita berusia 47 tahun ini, beliau juga aktif menghasilkan Jurnal Melayu membabitkan isu wanita dan terbaharu bersama pelajarnya dari China, berjudul Cinta: Komunikasi Emosi Wanita dalam Novel China dan Melayu.

“Ia mengkaji dua novel. Satu dari negara China dan satu tempatan. Tulisan ini menyelidik bagaimana cinta menjadi wadah komunikasi dalam novel yang banyak digarap pengarang wanita,” katanya.

Beliau berkata, wanita boleh kekal dalam dunia estetika ini memandangkan mereka memiliki kekuatan luar biasa dan gaya bahasa dan olahan karya estetika untuk membeli jiwa pembaca selain berupaya mendorong pembaca memupuk semangat cintakan ilmu.

“Walaupun industri sastera didominasi lelaki, kumpulan kecil penulis wanita mempunyai kualiti dan mutu penulisan yang hebat.

“Jumlahnya, tidak ramai tetapi impaknya kepada masyarakat dan dunia sastera dilihat amat besar. Misalnya, novelis, Azmah Nordin, karyanya antara yang berkualiti.

“Karyanya berkisar isu lelaki yang memanipulasi wanita menerusi ruang sastera. Saya melihat penulis wanita di negara ini dibekalkan ilmu untuk mewarnai dunia sastera dengan gaya tersendiri,” katanya.

Beliau lebih 20 tahun terbabit dalam bidang itu, sejak kecil sudah berminat dan sentiasa berusaha meningkatkan kemahiran itu tanpa jemu.

Beliau berkata, memiliki ilmu tinggi, wanita berpeluang menguasai dunia sastera malah boleh menjadikan bahan ilmiah dan idea menarik mereka sebagai sumber pendapatan tetap.

“Bagi menyemarakkan bidang sastera ini, saya merancang membuat bengkel penulisan untuk suri rumah menjana pendapatan menerusi hasil karya.

“Ia idea baik untuk direalisasikan memandangkan wanita boleh bekerja dari rumah dan mengimbangi keperluan antara keluarga dengan kerjaya.

Beliau berkata, ramai wanita berpendidikan tetapi terpaksa berada di rumah untuk menjaga anak.

Oleh itu, bidang penulisan kreatif ini antara salah satu cabang kerjaya yang berpotensi menjana pendapatan,” katanya.

Info:Anugerah pernah diraih Mawar (di UKM):

* Penerbitan Kategori Sains Sosial dan Kemanusiaan (Novel Intertekstual Melayu)

* Anugerah Inovasi UKM 2013, Anugerah Penerbitan (Kategori Penulisan Umum – Majalah), 26 Jun 2013, Bilik Senat.

* Anugerah Kualiti Penerbitan 2013 (Penulis Buku dan Monograf) FSSK 2013, 9 Januari 2014, Puri Pujangga.

* Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014.

* Anugerah Bitara Bahasa Melayu: Akademia Bahasa Melayu, Anugerah Inovasi FSSK 2016

* Anugerah Bitara Penerbitan Buku (individu), Anugerah Inovasi FSSK 2016

Antara anugerah diterima:

* Hadiah Sastera Darul Takzim IX (2013), cerpen “Dan Coklat Mengalir dari Ruang Buncah”

* Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014, cerpen “Infithaar dari Taman Salju”

* Hadiah Sastera Darul Takzim X 2016. kumpulan cerpen “Dan Coklat Mengalir dari Ruang Buncah”.

* Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2016. Cerpen “Dia yang Berlari Kencang dalam Debu Perang”.

* Pengajar Cemerlang Gugusan Sains Sosial (2008) dari UKM

* Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009

* Pensyarah Cemerlang Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, 2008 dari FSSK.

* Anugerah Inovasi ke-6 UKM (2011)

Anugerah Diterima Mawar

Penerbitan Kategori Sains Sosial dan Kemanusiaan (Novel Intertekstual Melayu)

* Anugerah Inovasi UKM 2013
* Anugerah Penerbitan (Kategori Penulisan Umum – Majalah) 26 Jun 2013, Bilik Senat.

* Anugerah Kualiti Penerbitan 2013

* Penulis Buku dan Monograf) FSSK 2013, 9 Januari 2014, Puri Pujangga.

* Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014.

Anugerah Bitara Bahasa Melayu: Akademia Bahasa Melayu, Anugerah Inovasi FSSK 2016

Anugerah Bitara Penerbitan Buku individu)

Anugerah Inovasi FSSK 2016

Hadiah Sastera Darul Takzim IX (2013) cerpen ‘Dan Coklat Mengalir dari Ruang Buncah’.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 cerpen ‘Infithaar dari Taman Salju’.

Hadiah Sastera Darul Takzim X 2016 kumpulan cerpen ‘Dan Coklat Mengalir dari Ruang Buncah’.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2016 Cerpen ‘Dia yang Berlari Kencang dalam Debu Perang’.

Pengajar Cemerlang Gugusan Sains Sosial (2008) dari UKM.

Anugerah khidmat Cemerlang 2009.

Pensyarah Cemerlang Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, 2008 dari FSSK.

Anugerah Inovasi ke-6 UKM (2011)

Berita Harian X