Rabu, 16 Januari 2019 | 7:50pm
CHRISTINE Zoe Sta Maria menunjukkan roti canai Rendah GI. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Roti canai tinggi serat lebih sihat

PETALING JAYA: Roti canai yang sering dikaitkan dengan pengambilan makanan tidak sihat, kini tidak lagi menerusi inovasi campuran daripada bahan asas lebih berkhasiat.

Pengubahsuaian kandungan berasaskan sayuran, bijirin dan herba, bersifat rendah indeks glisemik (GI), menjadikannya lebih baik untuk kesihatan.

Gabungan makanan tinggi serat itu bertujuan mengelak penyakit bahaya antaranya obesiti, gangguan kardiovaskular dan kencing manis.

Mengekalkan bahan utama iaitu tepung gandum, marjerin, lemak semula jadi serta garam, roti canai itu mencampurkan sayur bendi, kacang dal, barli dan halba dalam penghasilan doh.

Produk sejuk beku dihasilkan menerusi kerjasama syarikat Hollista Colltech Ltd dengan Kawan Food Berhad menjadikannya sebagai ‘roti canai paling sihat di dunia' bersifat rendah GI.


ROTI canai Low-GI bersama bahan-bahan ramuan. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Kajian University of Sydney, Australia sejak tujuh tahun lalu memberi peluang kepada penggemar roti canai menikmati sajian istimewa tanpa bimbang mengenai kandungan lemak berlebihan yang menjejaskan kesihatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Holista CollTech Limited, Datuk Dr Rajen M, berkata sekeping roti canai biasa mengandungi sehingga 301 kalori, malah kandungan GI melebihi 70 iaitu paras sajian tidak sihat.

Beliau berkata, kalori dalam roti canai inovasi turun sehingga 280 kalori serta mencapai bacaan rendah GI iaitu antara 45 hingga 50.

“Keempat-empat campuran bahan asas itu mengurangkan peningkatan gula dalam darah. Selain itu, kandungan halba dan barli melancarkan proses penghadaman,” katanya ketika ditemui pada sesi taklimat media 'World's Healthiest Roti Canai' di sini, hari ini.

Dr Rajen berkata, kajian terkini Unit Kecerdasan Ekonomi Menangani Obesiti di Asean 2018, mendapati obesiti di Malaysia menunjukkan peratusan 13.3 peratus iaitu paling tinggi di rantau ini. Kesannya perbelanjaan penjagaan kesihatan meningkatkan 20 peratus.

“Malah, 3.6 juta penduduk negara ini atau seorang daripada lima individu menghidap kencing manis. Lebih membimbangkan, jumlah itu meningkat mendadak dua kali ganda dalam tempoh 30 tahun,” katanya.

Beliau berkata, budaya menjaga pemakanan menerusi kaedah rendah GI popular di Amerika Syarikat dan Australia sejak 1990-an tetapi baharu memasuki Malaysia kira-kira 10 tahun lalu.

“GI adalah mekanisma antarabangsa menguji kepantasan peningkatan atau penurunan gula dalam darah. GI rendah menyebabkan penurunan kadar penghadaman, sekali gus mengurangkan kandungan gula dalam darah.

“Sajian rendah GI seperti buah-buahan mengurangkan peningkatan gula dalam darah, berbanding makanan tinggi GI seperti nasi dan roti putih yang menyumbang kepada peningkatan gula dalam darah. Kesannya meningkatkan risiko darah tinggi, kencing manis dan berat badan berlebihan atau obesiti,” katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan syarikat pembekal makanan sejuk beku, Kawan Food Berhad, Timothy Tan, berkata roti canai paling sihat dijadual memasuki pasaran tempatan bermula April ini. Pihaknya mensasarkan pasaran ke Amerika Syarikat Jun ini.

Berita Harian X