Ahad, 21 Oktober 2018 | 1:41pm
ANTARA peserta cabaran Ekspedisi Wanita Berkumpulan Ke Antartika (AWETA) beramah mesra bersama tetamu kehormat. - Foto Nurul Syazana Rose Azman
ANTARA peserta cabaran Ekspedisi Wanita Berkumpulan Ke Antartika (AWETA) beramah mesra bersama tetamu kehormat. - Foto Nurul Syazana Rose Azman

Persiapan rentasi kesejukan Antartika

SHAH ALAM: Misi Ekspedisi Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA) yang dijadualkan berlepas ke Kutub Selatan November ini, ditunda, pada tahun depan berikutan faktor logistik pihak Antartika.

Lapan peserta terpilih tidak patah semangat, sebaliknya terus berlatih sebagai persediaan rapi berhadapan cuaca sejuk ekstrem di Kutub Selatan.

Pengarah Projek AWETA 2019, Datuk Noorizah Abdul Hamid, berkata pihaknya tetap meneruskan misi itu meskipun ditunda ke tahun depan.

“AWETA bersyukur kerana Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail bersetuju menjadi penaung AWETA 2019 kerana menyokong usaha memperkasakan wanita,” katanya selepas pengumuman lapan protege AWETA 2019, di sini, baru-baru ini.

Faktor lain kelewatan juga disebabkan protege terpilih belum mencapai piawaian Logistik Antartika yang memerlukan peserta menjalani latihan lebih ekstrem.

Ekspeditor Negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (lima kanan) dan Pengarah Projek All Women's Expedition To Antarctica (AWETA), Datuk Noorizah Abd Hamid (lima kiri) bersama 8 protege ratu ais AWETA pada sidang media Larian Amal Antarctica XFit Burden Run 2018 di Laman Seri Business Park, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
Ekspeditor Negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (lima kanan) dan Pengarah Projek All Women's Expedition To Antarctica (AWETA), Datuk Noorizah Abd Hamid (lima kiri) bersama 8 protege ratu ais AWETA pada sidang media Larian Amal Antarctica XFit Burden Run 2018 di Laman Seri Business Park, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Ekspeditor Negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (kanan) dan Pengarah Projek All Women's Expedition To Antarctica (AWETA), Datuk Noorizah Abd Hamid (kiri) pada sidang media Larian Amal Antarctica XFit Burden Run 2018 di Laman Seri Business Park, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
Ekspeditor Negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (kanan) dan Pengarah Projek All Women's Expedition To Antarctica (AWETA), Datuk Noorizah Abd Hamid (kiri) pada sidang media Larian Amal Antarctica XFit Burden Run 2018 di Laman Seri Business Park, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Beliau berkata, protege AWETA masih memerlukan latihan secukupnya selain meningkatkan ketahanan mental dan fizikal disebabkan kurang pengalaman berada di tempat sejuk dalam tempoh panjang.

Mereka juga perlu meningkatkan kemahiran meluncur ais atau ski.

“Kami terlepas misi tahun ini memasuki Kutub Selatan yang hanya boleh dimasuki pada musim panas, iaitu November, Disember dan Januari. Sekiranya terlepas tempoh itu, peserta terpaksa menunggu setahun lagi,” katanya.

Bagi memastikan protege mencapai piawaian dan bersedia sepenuhnya sebelum berlepas ke Antartika, Noorizah berkata, AWETA menjayakan pelbagai modul dan simulasi latihan ekstrem di dalam negara antaranya Ice Challenge 2.0 dan Cabaran Tarik Tayar 3.0.

Cabaran itu sebagai usaha mendapatkan lima peserta terbaik daripada lapan yang terpilih kini, pada Januari tahun depan.

“Latihan ini juga sebagai persediaan sebelum lima protege berkenaan meneruskan latihan lebih kritikal di Norway dan New Zealand bermula Februari hingga Oktober tahun depan. Semua peserta dipantau pelatih bertauliah logistik Antartika,” katanya.

Ekspeditor Negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, berkata bukan mudah menyingkir protege terpilih selepas melalui cabaran sebelum ini kerana semuanya menunjukkan prestasi cemerlang.

Ekspeditor Negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (duduk kanan) dan Pengarah Projek All Women's Expedition To Antarctica (AWETA), Datuk Noorizah Abd Hamid (duduk kiri) bersama 8 protege ratu ais AWETA pada sidang media Larian Amal Antarctica XFit Burden Run 2018 di Laman Seri Business Park, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
Ekspeditor Negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (duduk kanan) dan Pengarah Projek All Women's Expedition To Antarctica (AWETA), Datuk Noorizah Abd Hamid (duduk kiri) bersama 8 protege ratu ais AWETA pada sidang media Larian Amal Antarctica XFit Burden Run 2018 di Laman Seri Business Park, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

“Dalam cuaca sangat sejuk dan bersalji, peserta perlu tinggal di kawasan pergunungan selama sebulan dengan merentas dari gunung ke gunung selain mempunyai kemahiran bermain ski.

“Latihan itu adalah persediaan akhir untuk kekuatan mental dan fizikal sebelum disahkan layak meneruskan misi itu, pada Disember tahun depan,” katanya.

Sharifah Mazlina berkata, menerusi cabaran Ice Challenge yang diadakan di Snow World, Genting Highlands sebelum ini, peserta perlu berada di dalamnya selama 72 jam saja atau tiga hari berturut-turut dengan tahap sejuk mencapai -4 darjah celsius.

Bagaimanapun untuk cabaran Ice Challenge 2.0 nanti, peserta perlu berada di dalamnya selama dua minggu dengan pelbagai aktiviti lebih mencabar.

Selain itu, cabaran Tarik Tayar 3.0 lebih sukar kerana mereka perlu menjalani latihan menarik tayar minimum anggaran sehingga 80 kilogram (kg) selama dua minggu pada waktu malam.

Protege menarik beban sejauh 12 kilometer (km) pada waktu minimum 10 jam waktu bekerja setiap hari, berbanding cabaran sama pada Ogos lalu, selain pelbagai latihan lagi.

Misi itu dianggarkan RM4.5 juta, lantas AWETA akan menganjurkan larian amal, iaitu Larian Amal Antartica XFit Burden Run 2018, pada 2 Disember, di Petaling Jaya.

Dana diperoleh itu akan disalurkan ke tabung AWETA dan akan digunakan bagi menampung kos ekspedisi ini.

Pegawai Perubatan, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, Fatin Farhana Tuan Kamarudden, 32, Kota Bahru, Kelantan
“Saya rasa tersenarai dalam lapan protege terbaik satu penghormatan dan ia menakjubkan. Saya lebih teruja untuk mencapai sasaran lima terbaik dengan memegang gelaran Ratu Ais Negara, saya perlu memberi sepenuh tumpuan dan melakukan lebih banyak latihan simulasi ekstrim bagi memastikan saya layak ke Kutub Selatan, tahun depan.

“Saya percaya mampu mengharungi kesemua cabaran yang akan diadakan nanti kerana mempunyai pengalaman berada dalam cuaca sejuk -20 darjah celsius ketika belajar selama enam tahun di Crimea State Medical University di Ukraine,”

Pensyarah Fakulti Pelancongan dan Pengembaraan, Kolej Komuniti Kota Tinggi, Sharifah Azian Tuan Muda @Syed Mustafa, 35, dari Dungun Terengganu.

“Ia adalah cabaran luar biasa bagi seorang isteri, pensyarah dan ibu kepada dua cahaya mata untuk melengkapkan misi AWETA 2019. Namun memegang tanggungjawab besar itu bukan penghalang untuk saya mencapai impian untuk menjejakkan kaki ke Kutub Selatan. Tanpa restu serta sokongan padu daripada suami dan keluarga menjadikan saya lebih bersemangat. “Saya perlu melipatgandakan latihan untuk meningkatkan tahap kecergasan badan. Dengan komitmen yang banyak juga saya perlu ‘mencuri masa’ untuk melakukan latihan sendiri supaya saya layak menjadi lima protege yang akan dinobatkan Ratu Ais Negara,”

Berita Harian X