Khamis, 26 Julai 2018 | 9:49am
Mahkamah syariah. - Gambar hiasan
Mahkamah syariah. - Gambar hiasan

Kos guaman mahal, wanita hadapi saat getir

KUALA LUMPUR: Bayaran guaman tinggi antara faktor mendorong ramai wanita tidak mendapatkan khidmat profesional khususnya membabitkan kes perceraian.

Kekangan itu menyebabkan mereka tidak memikirkan hak sepatutnya dituntut untuk meneruskan hidup dengan lebih selesa selepas berlaku perceraian.

Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali, berkata wanita terbabit perlu tampil mendapatkan khidmat profesional menuntut hak mereka.

Katanya, ramai wanita berhadapan situasi getir ditinggalkan tanpa sebarang nafkah, selain digantung bertali selama berpuluh tahun.

"Alasan tidak menuntut hak antaranya disebabkan kekangan wang, terutama kos bayaran peguam yang dianggap begitu membebankan.

"Isu ini tidak timbul kerana ada agensi menyediakan khidmat guaman percuma kepada mereka yang memerlukan menerusi Biro Bantuan Guaman," katanya.

Setiap kali berlaku perceraian, wanita memerlukan sokongan untuk bangkit meneruskan hidup bersama anak.

Mereka juga berhadapan dengan isu bagaimana hendak menuntut harta sepencarian dan hak penjagaan anak, tetapi runsing memikirkan kos guaman, lantas hasrat menegakkan hak terhenti begitu sahaja.

"Yuran guaman tinggi dan tidak mengetahui saluran yang memudahkan proses perceraian, membuatkan wanita membiarkan diri ditindas dan dizalimi suami," katanya.

Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali. - Foto Mahzir Mat Isa
Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali. - Foto Mahzir Mat Isa

Suzana yang juga pengamal khidmat nasihat dan rundingan guaman berpengalaman lebih 20 tahun, berkata bagi menangani perkara itu, beliau mengambil inisiatif menawarkan khidmat rundingan dengan yuran di antara RM140 hingga RM190 seumur hidup.

Beliau berkata, khidmat itu membimbing wanita memahami undang-undang dan hak mereka. Mereka dibimbing mengemukakan permohonan tuntutan kepada suami mahupun bekas suami yang cuai melaksanakan tanggungjawab.

Sejak perkhidmatan rundingan dilakukan sejak 10 tahun lalu, Suzana berkata, ramai wanita berjaya menuntut hak mereka menerusi peruntukan undang-undang syariah.

"Saya menawarkan khidmat seumpama ini kerana pernah diduga ujian kegagalan rumah tangga, termasuk berhadapan masalah kewangan.

"Disebabkan mempunyai ilmu dalam bidang guaman syarie, saya dapat selesaikan kes dengan mudah. Ketika itulah, Allah berikan kekuatan untuk membantu lebih ramai wanita teraniaya," katanya.

Bagi memenuhi keperluan itu, Suzana berkata, pihaknya bukan sekadar menawarkan khidmat rundingan bersemuka, malah perbincangan menerusi aplikasi media sosial juga ditawarkan.

"Sehari sekitar tiga hingga empat kes dikendalikan. Bagi sesetengah kes ia diselesaikan menerusi kaedah berdamai semula, berpisah dan mengemukakan tuntutan ke mahkamah syariah," katanya.

Khidmat rundingan yang ditawarkan antaranya memberi cadangan menyelesaikan masalah berdasarkan faktor perundangan, hukum syarak dan sokongan moral.

Khidmat prosedur mahkamah syariah dengan mendapatkan maklumat secara terperinci sebelum meneruskan tuntutan. Ini termasuk khidmat menyedia dan melengkapkan dokumentasi sebelum meneruskan sesuatu kes.

"Kes paling tinggi membabitkan pasangan curang, antaranya suami mempunyai hubungan tanpa nikah," katanya.

Berita Harian X