Jumaat, 6 Julai 2018 | 3:09pm

Waktu kerja anjal tangani masalah pekerja wanita

KUALA LUMPUR: Peratusan sektor swasta yang membenarkan pekerja wanita

bertugas pada waktu anjal masih rendah berbanding di sektor kerajaan, sekali gus menyumbang terhadap masalah untuk menyeimbangi masa antara kerjaya dengan keluarga.

Kejayaan majikan di sektor swasta yang melaksanakan bekerja waktu anjal seharusnya dipuji dan dijadikan contoh syarikat lain.

Antara syarikat swasta yang mengamalkan waktu kerja anjal adalah

Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC).

Syarikat yang bernaung di bawah Kementerian Kesihatan itu memperkenalkan kemudahan waktu kerja anjal kepada 80 kakitangannya yang majoritinya adalah wanita, sejak empat tahun lalu kerana menyedari manfaatnya.

Ketua Pegawai Operasi dan Sumber Manusia MHTC, Suriahni Abdul Hamid, berkata waktu bekerja boleh dipilih bergantung situasi yang dihadapi kakitangan terbabit, iaitu jam 8 pagi hingga 5 petang, 9 pagi sehingga 6 petang dan 10 pagi hingga 7 petang.

"Selain pilihan waktu bekerja, kakitangan yang memerlukan boleh bekerja dari rumah dalam tempoh ditetapkan atas sebab munasabah atau hanya perlu bekerja beberapa hari dalam tempoh seminggu.

"Menerusi pilihan ini, mereka tidak perlu mengambil cuti sakit atau cuti kecemasan sekiranya terpaksa menjaga anak sakit atau ibu bapa yang tidak sihat di rumah, tetapi boleh menghantar tugasan dari rumah," katanya kepada BH.

E-mel tugasan setiap hari

Suriahni berkata, kakitangan juga boleh membuat permohonan menukar waktu kerja mereka setiap tiga bulan sekali mengikut keperluan masing-masing.

Sepanjang bekerja dari rumah, kakitangan perlu berhubung dan melaporkan kepada ketua unit masing-masing dan menyerahkan tugasan ditetapkan melalui e-mel atau menelefon setiap hari.

Katanya, waktu bekerja anjal yang diperkenalkan itu kerana dianggap sesuai dengan budaya bekerja di situ yang perlu berurusan dan berhubung dengan kakitangan di seluruh dunia mengikut waktu bekerja di negara berkenaan.

Selain itu, bekerja secara kontrak juga ditawarkan terutama kepada wanita kerana banyak komitmen perlu dilakukan terhadap keluarga dan bayaran gaji mengikut perkhidmatan dan sumbangan mereka.

"Di sini, kami mengamalkan sikap bertimbang rasa kepada pekerja supaya ia adil bagi kami dan mereka, tetapi pada masa yang sama, tetap tegas dalam soal disiplin seperti masuk ke pejabat pada waktu ditetapkan dan komited dengan kerja yang diberikan.

"Setakat ini, tiada sebarang masalah kerana pekerja gembira dengan suasana kerja yang memberikan kemudahan waktu kerja anjal dan mereka kurang mengalami tekanan atau jatuh sakit," katanya.

Beliau mengakui, pekerja selesa bertugas di syarikat dan berasa syarikat memberikan perhatian serta tolak ansur terhadap masalah kakitangan.

Bersyukur majikan prihatin

Sementara itu, Pegawai Pemasarannya, Hamizah Ruwaida, 29, bersyukur kerana diberi peluang bekerja dari rumah selama seminggu selepas ayahnya meninggal dunia, pada Mac lalu.

"Saya baharu sahaja menyertai MHTC sebagai pegawai pemasaran pada awal Januari tahun ini dan apabila ayah meninggal, syarikat memberi kepercayaan untuk saya bekerja dari rumah. Jadi saya dapat menemankan ibu yang masih dalam kesedihan.

"Kalau diikutkan saya tidak boleh cuti lama kerana masih dalam tempoh percubaan tetapi mujur ada sistem waktu kerja anjal di syarikat ini," katanya yang berasal dari Kedah.

Hamizah berkata, beliau akan menemani ibunya lagi dan bekerja dari kampung selama seminggu selepas ini dan mengakui tidak sukar untuk mendapatkan kebenaran syarikat yang memahami keadaannya.

"Saya amat bersyukur kerana syarikat memahami saya pada ketika itu walaupun saya pekerja baharu, tiada kata yang boleh menjelaskan perasaan saya ketika itu," katanya lagi.

Boleh lakukan banyak kerja

Eksekutif Kanan Kewangannya, Intan Nurdiana Mohamed Nordin, 32, berkata waktu kerja anjal ditawarkan syarikat itu membolehkannya menguruskan anak ke sekolah dan nurseri sebelum masuk ke pejabat.

"Saya memilih masuk ke pejabat jam 8.30 pagi dan pulang pada 4.30 petang kerana kelas anak sulung bermula jam 9 pagi, manakala anak bongsu perlu dijemput pada jam 5 petang.

"Pilihan yang ditawarkan membuatkan anak-anak lebih terurus dan mengurangkan tekanan kepada ibu," katanya.

Pengarah Projek Khas, Jamaliah Jamari, 51, berkata beliau memilih waktu bekerja 10 pagi sehingga 7 petang bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas malah ia juga membolehkan beliau berkongsi kereta dengan anak lelakinya setiap hari untuk ke pejabat.

"Banyak aktiviti saya dapat lakukan sebelum ke pejabat seperti bersolat Duha atau ke bank tanpa perlu 'mencuri' waktu pejabat.

"Waktu kerja anjal ini membuatkan kita lebih gembira bekerja, kurang tekanan dan jarang cuti sakit kecuali jika perlu," katanya.

INFO

- Waktu kerja anjal diperkenalkan pada 2015.

- Waktu kerja anjal:

1. Setengah hari bekerja

2. Bekerja tiga hari seminggu

3. Bekerja dari rumah (tempoh ditetapkan mengikut keperluan)

4. waktu masuk kerja anjal

Kebaikan:

- Meningkatkan produktiviti

- Lebih fokus terhadap kerja

- Kurang cuti sakit

- Kurang cuti kecemasan

- Kurangkan tekanan pekerja

- Kurang tekanan ke atas majikan/ketua jabatan

Berita Harian X