Selasa, 3 Julai 2018 | 9:28am
PENSYARAH Kanan Institut Penyelidikan Perubatan Molekul, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Oon Chern Ein menunjukkan antara sijil pengiktirafan dan anugerah yang dimenanginya. - Foto Danial Saad
PENSYARAH Kanan Institut Penyelidikan Perubatan Molekul, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Oon Chern Ein menunjukkan antara sijil pengiktirafan dan anugerah yang dimenanginya. - Foto Danial Saad
PENSYARAH Kanan Institut Penyelidikan Perubatan Molekul, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Oon Chern Ein. - Foto Danial Saad
PENSYARAH Kanan Institut Penyelidikan Perubatan Molekul, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Oon Chern Ein. - Foto Danial Saad

Impi kerjaya saintis jadi kenyataan

GEORGETOWN: Sejak kecil Dr Oon Chern Ein sering mengimpikan kerjaya sebagai saintis, apatah lagi minat itu sering dipupuk bapanya yang bekerja sebagai ahli kimia di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini.

Impian Pensyarah Kanan Institut Penyelidikan Perubatan Molekul Kesihatan (INFORMM) di USM itu tercapai, lebih manis apabila anak kelahiran Pulau Pinang ini, diiktiraf sebagai wanita pertama memenangi Anugerah Wanita Masa Hadapan - Asia Tenggara 2018 bagi kategori Sains, Teknologi dan Digital, baru-baru ini.

Majlis berprestij berlangsung di Singapura, baru-baru ini adalah julung kali diadakan di Asia Tenggara dan Dr Chern Ein, menewaskan empat lagi calon untuk kategori berkenaan.

Pencapaian itu juga melakar pencapaian membanggakan kepadanya pada usia 35 tahun.

Selain itu, kecemerlangan dalam bidang diceburi terserlah di peringkat tempatan dan global sebelum ini apabila anak bongsu daripada dua beradik ini menerima Anugerah Saintis Muda Exiqon - Asia Tenggara pada 2014 dan L'Oreal UNESCO for Women in Science pada 2015.

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ini kerana tugas bapanya sebagai ahli kimia USM membolehkannya sering mengikuti ayahnya itu ke universiti berkenaan setiap kali berkesempatan berbuat demikian.

"Saya sering ikut ayah ke USM semasa kecil. Kadang kala ke perpustakaan dan sejak itu saya begitu meminati sains dan berhasrat bergelar penyelidik. Namun, membesar sebagai anak bongsu dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga menyebabkan cita-cita itu sering dihalang ibu.

"Ibu khuatir hasrat itu akan menyebabkan saya terpaksa mengenepikan urusan untuk berkeluarga kerana tugas yang dipikul memerlukan komitmen tinggi," katanya ketika ditemui di pejabatnya di USM, baru-baru ini.

Impian jadi saintis

Dr Chern Ein berkata, impiannya untuk bergelar saintis diteruskan apabila melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Bioteknologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), selepas tamat Tingkatan Enam di Penang Free School (PFS).

Selepas memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, beliau seterusnya ditawarkan program 'fast track' untuk program Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan berpeluang meneruskan pengajian di sebuah universiti di United Kingdom (UK).

"Segala-galanya berubah apabila di UK, saya langsung tidak sangka dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford dengan pengkhususan perubatan onkologi. Di UK, saya berjumpa lebih ramai pelajar hebat yang memberi semangat untuk terus gigih menguasai bidang dipelajari," katanya.

Di sana juga beliau melakukan pelbagai kajian terutama dalam usaha menyekat pertumbuhan serta pembentukan saluran darah dalam sel kanser melalui prosedur perubatan terbaik.

"Hari ini, serangan kanser bukan sesuatu luar biasa dalam masyarakat kita. Jika dahulu penyakit ini jarang didengari, namun kini kanak-kanak seawal umur satu tahun boleh mendapat kanser.

"Kajian ini penting kerana menjurus kepada usaha menghalang pembentukan kanser, seterusnya dirawat dengan lebih baik," katanya yang ditawar melanjutkan pengajian Ijazah Pasca Kedoktoran di Karolinska Institute, Sweden selepas menamatkan pengajian di Oxford selama tiga tahun setengah.

Kajian pertumbuhan kanser

Katanya, selama satu tahun setengah di Sweden, beliau meneruskan kajian lanjutan berhubung sel persekitaran yang menggalakkan pertumbuhan kanser.

"Ketika ini di USM, saya meneruskan kajian sama dengan menggunakan sebatian baharu bagi merencatkan pembentukan saluran darah yang menggalakkan pertumbuhan kanser. Kajian bermula sejak 2013 menjurus kepada usaha untuk dipatenkan supaya manfaatnya diterima semua pihak," katanya.

Ditanya apakah yang menyebabkannya bersemangat dalam dunia perubatan, ibu kepada seorang bayi perempuan ini, berkata perasaan ingin membantu orang sering tersemat dalam sanubarinya.

"Saya percaya, tidak ada yang betul atau salah dalam sains. Apa yang penting kita perlu tetapkan pendirian dan percaya dengan diri sendiri," katanya.

Biodata:

Nama: Dr Oon Chern Ein

Umur: 34 tahun

Latar belakang pendidikan:

* Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam Bioteknologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)2.

* Ijazah Kedoktoron dalam bidang Perubatan Onkologi di Universiti Oxford, United Kingdom

Anugerah:

* Geran Penyelidikan Royal Society Flexi-Grant 2018

* Anugerah Saintis Muda Kebangsaan 2018

* Anugerah Penyelidikan Kanser Majlis Kanser Nasional (MAKNA) 2016

* Felo antarabangsa Union for International Cancer Control Fellowship 2016

* L'Oreal-UNESCO for Women in Science - National Fellowship 2015

* Peserta Lindau Nobel Laureate Meeting, Jerman 2015

* Anugerah Saintis Muda Exiqon - South East Asia 2014

* Tabung Amanah Penyelidikan Perubatan Dr Ranjeet Bhagwan Singh 2014

Berita Harian X