Sabtu, 30 Jun 2018 | 11:49am

Rendang kaya protein, serat

JUADAH hari raya seperti rendang ayam atau daging sering dikaitkan dengan pilihan sajian tidak sihat, tinggi kolesterol hingga boleh menjejaskan kesihatan.

Kaedah penyediaan yang sempurna menjadikan sajian lebih istimewa, sihat dan kaya kandungan vitamin.

Mereka perlu menjaga kesihatan kurangkan pengambilan makanan yang boleh menambah kolesterol dengan menyediakan sajian sihat.

Profesor Pemakanan dan Dietetik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Dr Suzana Shahar, berkata daging ayam, daging, lembu atau itik semuanya sama khasiatnya.

Katanya, apabila memasak ayam atau itik, buang kulitnya manakala daging pula buang lemak dan tetelnya.

"Letak lebih banyak bawang, halia, lengkuas, serai atau rempah ratus dalam rendang dan kurangkan penggunaan santan.

"Boleh cuba masak rendang tanpa santan atau santan cair tetapi masih menggunakan kerisik untuk rasa lemak.

"Santan boleh diganti dengan susu rendah lemak. Caranya masak terlebih dahulu ayam atau daging dengan rempah sehingga empuk sedikit, kemudian, masukkan susu rendah lemak dan santan.

"Bahan itu mengandungi lemak tepu yang boleh meningkatkan kolesterol jahat dalam tubuh serta tinggi kalori.

"Ini boleh meningkatkan risiko sakit jantung, darah tinggi dan masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

"Susu rendah lemak lebih baik kerana kurang kalori dan lemak tepu, kaya kalsium dan sumber protein. Kalsium penting untuk tulang dan protein untuk otot," katanya.

Pengambilan fiber atau serat

Beliau menasihatkan utamakan pengambilan fiber atau serat menerusi masakan menu untuk juadah hari raya.

Sebagai contoh, kuah lodeh boleh ditambah sayur seperti lobak merah, kacang panjang, terung, tempeh tauhu yang tinggi fiber atau serat.

"Gunakan santan kurang pekat dalam lodeh bagi mengurangkan kalori dan lemak tepu. Penggunaan sayur seperti terung dan suhun memekatkan lodeh walaupun penggunaan santan dikurangkan," katanya.

Hidangan sampingan lain seperti pecal, salad dan buah-buahan segar serta kurma boleh meningkatkan serat dalam juadah hari raya.

Pilihan karbohidrat

Pilih nasi kosong atau nasi bryani kerana kalori lebih rendah berbanding nasi impit. Seelok-eloknya, makan kurma dan buah-buahan diikuti hidangan berat kerana kurma dan buah mengandungi serat yang tinggi. Pengambilannya dapat mengurangkan rasa lapar.

Berita Harian X