Selasa, 24 April 2018 | 8:59am
NORAIDAH pada program Food Discovery with Volkswagen di Elda's Farm House, baru-baru ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Ketagih sedia makanan unik

SEMENYIH: Berkongsi air tangan mencipta menu tersendiri dengan rahsia ramuan unik kepada tetamu menjadi terapi diri bagi ibu tunggal, Noraidah Lembang, 62, sejak lebih 30 tahun lalu.

Anak kelahiran Selangor ini begitu 'ketagih' menyediakan makanan kepada tetamu berkunjung ke rumahnya kerana percaya memasak hidangan lazat dengan hiasan menarik membantu menghindarkan tekanan dan menggembirakan individu lain.

Pemilik Elda's Farm House, Semenyih ini, berkata beliau sanggup menghabiskan masa lebih lama di dapur dan bercucuk tanam dengan 15 jenis herba, sayuran, pisang, nanas, kelapa dan mangga di sekitar kawasan perumahannya berbanding menikmati kehidupan luar.

"Bagi saya aktiviti memasak membuatkan saya lebih rapat dengan alam dan menjaga kesihatan diri apabila kita mengetahui hidangan dimasak tidak mengandungi bahan perisa dan perasa tiruan

"Saya menanam sendiri herba dan sayur-sayuran kerana yakin ia bersih, segar dan selamat digunakan," katanya yang tinggal di Semenyih, Selangor.

Memanfaatkan pengalaman memasak dan menghidangkan beberapa jenis menu istimewa kepada tetamu, mencetuskan idea beliau menjadikan hobi memasak beralih kepada kerjaya sebagai cef sejak tiga tahun lalu.


NORAIDAH percaya memasak hidangan lazat dengan hiasan menarik membantu menghindarkan tekanan dan menggembirakan individu lain. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Ketika muda, saya memang tidak ada kemahiran memasak apatah lagi keluarga memang terbabit dalam bidang perhotelan dan masakan. Saya hanya tahu masak makanan dalam tin saja.

"Sehingga berkahwin dan memiliki anak ramai membuatkan saya berusaha untuk belajar memasak.

"Kebetulan saya tidak bekerja dan menjadi tanggungjawab menyediakan makanan untuk anak. Sejak itu perlahan-lahan saya berjinak dalam dunia masakan," katanya ketika ditemui di rumahnya pada program" Food Discovery with Volkswagen", baru-baru ini.

Malah, idea untuk membina dapur persendirian terbuka di teratak dalam landskap kehijauan itu, bermula daripada cadangan rakan dan tetamu yang kerap memuji masakannya ketika berkunjung ke rumahnya selama ini.

"Sebelum ini saya pernah bekerja di pejabat kedutaan, kemudian menjadi perancang perkahwinan dan berada dalam industri makanan.

"Selepas bergelar ibu tunggal, saya memilih untuk kembali ke kampung dan membesarkan anak dan menjalani kehidupan kampung yang ringkas dan menenangkan," katanya.

Saranan rakan terdekat untuk beliau berkongsi kepakaran memasak kepada orang ramai mencetuskan idea kepada beliau menjadikan kediaman sebagai destinasi percutian singkat yang menarik.


NORAIDAH (kiri) bersama wakil media pada program Food Discovery with Volkswagen di Elda's Farm House, baru-baru ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Menggunakan konsep kampung, beliau menjadikan kediamannya umpama restoran untuk dikunjungi bagi merasai beberapa hidangan yang ramuannya direka unik.

Antara menu paling digemari tetamu adalah ikan bawang putih, sambal udang, masak lemak ayam kampung bersama rebung, bendi goreng, jantung pisang hutan dan daging dendeng yang memiliki cita rasa berbeza kerana menggunakan ramuan segar yang dipetik terus dari kebun tanamannya.

Beliau juga hanya menggunakan garam bukit dan kunyit sebagai signatur hampir ke semua masakannya kerana yakin ia mengandungi bahan aktif baik untuk kesihatan.

Kongsi beliau, seorang tukang masak yang baik bukan saja perlu memiliki kemahiran memasak dan menyediakan bahan segar serta bebas bahan kimia tetapi perlu menghasilkan resipi yang sempurna dan seikhlas hati, barulah hidangan dimasak dapat menawan hati tetamu.

"Sebaik memasak, saya akan melihat reaksi tetamu. Jika mereka gembira, barulah saya puas hati.


ANTARA masakan daripada air tangan Noraidah. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Walaupun saya belajar memasak daripada pengalaman dan tiada pengiktirafan akademik, saya yakin tidak semestinya anda perlu ada kelayakan sijil, diploma atau ijazah untuk menampilkan hidangan berbeza dan istimewa," katanya.

Justeru, bagi yang berminat merasai keenakan masakan beliau, anda boleh menempah untuk makan pagi dengan menu klasik seperti nasi lemak sambal belacan dan hidangan tengah hari sambil menikmati rimbunan pohon dan hembusan angin dalam dan di luar rumah.

Berita Harian X