Rabu, 28 March 2018 | 10:19am
ROSNAH Abdul Rashid Shirlin. - Foto Asyraf Hamzah

Kontraktor wanita sehebat lelaki

KUALA LUMPUR: Jumlah jurutera wanita yang berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia meningkat seramai 29,220 sehingga Februari lalu, berbanding 2,276 orang yang dicatatkan sejak tahun 2000.

Nisbah menunjukkan satu daripada tiga jurutera di negara ini adalah wanita, iaitu mencatatkan peningkatan 32 peratus berbanding lapan peratus, sejak 18 tahun lalu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata perkembangan itu membuktikan keupayaan kontraktor wanita dalam sektor pembinaan semakin hebat termasuk memberikan sumbangan terhadap inovasi dan transformasi industri berkenaan.

Katanya, wanita kini mempunyai kelebihan dalam menerokai pelbagai sektor termasuk bidang kejuruteraan yang sebelum ini dikuasai lelaki sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

"Ini dapat dilihat apabila ramai jurutera wanita menyertai Konvensyen Usahanita Binaan (KUBINA) yang menjadi platform terbaik mereka untuk saling berkongsi pengalaman, membina jaringan profesional dan menerokai potensi perniagaan.

"Penubuhan Wanita Industri Binaan Malaysia (WIBM) pada 2015 menyaksikan pertumbuhan industri binaan disertai wanita muda untuk menjadi pelapis pada masa akan datang," katanya pada Majlis Penutup Persidangan Transformasi Pembinaan Antarabangsa (ICTC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Persidangan dua hari bermula kelmarin itu diadakan sempena Minggu Pembinaan Antarabangsa 2018 (ICW 2018) yang bertemakan Mencapai Kemuncak Produktiviti menerusi Inovasi dan Teknologi selama dua hari ini.

Katanya, persidangan itu disertai 600 Usahanita dan profesional wanita yang terbabit secara langsung dalam industri binaan yang dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Pembinaan Malaysia (CIDB).

Kubina menyediakan platform bagi membina intelek, perbincangan aktif, membuka peluang dan potensi perniagaan selain menjadi tapak peserta bertukar idea dan pandangan

Beliau berkata, pihaknya juga bercadang mewujudkan anugerah khas bagi kontraktor binaan wanita terbaik yang berjaya mengekalkan kelestarian di dalam bidang perniagaan.

"Cadangan itu juga selaras dengan pengiktirafan empat syarikat binaan milik golongan wanita sebagai Kontraktor Binaan Berprestasi Tinggi (KBBT).

"Ini sekali gus akan memperkasakan peranan wanita dalam industri pembinaan," katanya.

Berita Harian X