Selasa, 31 Oktober 2017 | 5:11pm
YATIMAH (tengah) menyaksikan penyerahan 10 tajaan Eksekutif Antarabangsa MBA oleh Timbalan Naib Cancelor Asia Metropolitan Universiti Prof Datuk Dr Jayles Yeoh (kanan) kepada Pengasas Kumpulan ADLA Datin Leez Hassan (kiri) pada 'Forum International Work Balance 2017' (IWLBF) di Pusat Persidangan Nexus Connection. - Foto Osman Adnan

Berhenti kerja fokus pada keluarga

KUALA LUMPUR: Seorang daripada lima wanita berkerjaya memilih berhenti kerja kerana mahu memberikan fokus kepada keluarga.

Statistik itu didedahkan hasil kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dijalankan pada 2014.

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Datuk Yatimah Sarjiman, berkata pihaknya menyifatkan situasi itu agak kronik dan jika berterusan ia boleh menjejaskan pasaran sumber tenaga kerja wanita.

Katanya, pekerja wanita di negara ini masih rendah jika dibanding dengan negara lain, iaitu kira-kira 54.1 peratus berbanding lelaki 80.6 peratus.

"Berdasarkan kajian terbabit, 46.5 peratus wanita berdepan dengan situasi seperti mengikut pasangan berpindah, berkahwin dan masalah kesihatan.

"Selain itu, masalah penjagaan anak juga dilihat antara punca utama mengapa wanita meninggalkan pasaran kerja biarpun berada pada kemuncak kerjaya masing-masing.

"Situasi itu patut diatasi kerana wanita mempunyai peranan dalam pertumbuhan ekonomi dan turut memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Forum Keseimbangan Kerja dan Kehidupan Antarabangsa (IWLBF) 2017, di sini, semalam.

IWLBF 2017 bertujuan membina keseimbangan dan kehidupan di tempat kerja serta memastikan mana-mana syarikat terbabit mengamalkannya.

Justeru, Yatimah berkata, waktu kerja anjal (FWA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada pembentangan Bajet 2018, Jumaat lalu, amat relevan untuk wanita kekal dalam pasaran kerja sambil mengimbangi kehidupan masing-masing.

Katanya, beliau berharap FWA akan menjadikan wanita lebih bermotivasi untuk terus berada dalam pasaran pekerjaan.

"Saya juga mengharapkan semua agensi mengamalkan FWA demi kesejahteraan bersama.

"Tanpa keseimbangan ini, tidak mustahil keluarga dan anak akan terabai dan tiada kualiti masa bersama, akhirnya memberi kesan kepada perkembangan generasi akan datang," katanya.

Berita Harian X