Sabtu, 28 Oktober 2017 | 1:02pm
MADELINE Berma. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Segerakan waktu kerja anjal

Kuala Lumpur: Aturan Kerja Fleksibel (FWA) sebagai inisiatif menggalakkan peningkatan penyertaan buruh wanita di negara ini masih gagal dilaksanakan secara menyeluruh oleh majikan.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Madeline Berma, berkata FWA bukan elemen baharu dalam pengurusan.

"Dalam amalan Pengurusan Fasiliti, terdapat terma Tempat Bekerja Anjal. Tempat bekerja anjal ataupun fleksibel satu elemen FWA hasil pengurusan ruang yang efektif.

"Namun, majoriti majikan atau organisasi sektor awam dan swasta gagal melaksanakan waktu anjal kerana ia tidak memberi pulangan lumayan kepada mereka.

"Tiada program kesedaran khusus diketengahkan bagi memberikan kesedaran kepada majikan tentang perlunya pelaksanaan FWA," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Madeline berkata, pertubuhan yang melaksanakan FWA mempunyai pembabitan kakitangan yang lebih tinggi dan produktiviti perniagaan bertambah baik.

Katanya, majikan swasta terutama perlu menjadikan FWA sebagai strategi perniagaan bagi membolehkan lebih ramai wanita kembali ke bidang kerja lebih kreatif dan produktif.

"Di negara ini, bagaimanapun majoriti pengamal FWA ialah syarikat multinasional seperti Digi dan IBM yang mempunyai amalan FWA yang baik.

"Ada syarikat tempatan yang melakukannya tetapi itu tidak cukup," katanya.

Katanya, pekerja seharusnya diberikan kebebasan untuk pilih tempat bekerja, cara bekerja dan waktu bekerja asalkan memenuhi Penunjuk Aras Prestasi.

"Keanjalan waktu kerja ini juga sinonim dengan dasar 'Mesra Keluarga' sejajar dengan saranan kerajaan dalam mewujudkan keseimbangan hidup antara kerjaya dan keluarga.

"Sering kali alasan keluarga digunakan pekerja wanita amnya apabila berhadapan isu keperluan individu dan keperluan organisasi kerana di Malaysia, lebih daripada 50 peratus pekerja adalah wanita," katanya.

Katanya, kajian mendapati syarikat yang mewujudkan FWA dan kepelbagaian di tempat kerja cenderung untuk lebih cemerlang dalam aspek kewangan.

"Pengamal syarikat mengetengahkan FWA sebenarnya mampu memberikan keuntungan kepada syarikat apabila pekerja tampil lebih fokus dan kreatif.

"Suasana kerja sudah berbeza apabila kini bukan lagi pekerja menyesuaikan diri kepada syarikat, tetapi bagaimana pertubuhan perlu menyesuaikan diri kepada pelbagai jenis bakat dan pelbagai cara bakat bekerja," katanya.

Katanya, selain keuntungan terdapat faktor utama lain menjadikan FWA tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

"Antara faktor diketengahkan adalah majikan juga tidak sensitif terhadap isu kesaksamaan gender apabila tawaran peluang sebagai pembuat dasar lebih cenderung kepada lelaki berbanding wanita.

"Tiadanya mekanisme pelaksanaan yang kukuh juga menyebabkan kegagalan FWA diketengahkan secara serentak di negara ini," katanya.

Madeline turut mencadangkan satu insentif pengecualian cukai diberikan kepada syarikat yang mengamalkan waktu kerja anjal supaya menarik minat majikan menjadikan ia dasar syarikat.

"Selain itu, insentif khusus diberikan kepada majikan atau organisasi membolehkan FWA dilaksanakan.

"Jika wanita keluar dari tenaga kerja, negara mengalami kerugian dari segi bakat dan modal insan berpendidikan berikutan 60 peratus pelajar universiti ialah wanita.

"Ia juga satu pembaziran dari sumber manusia dan sumbangan cukai pekerja produktif," katanya.

Berita Harian X