Selasa, 24 Oktober 2017 | 6:04pm
DR Ho Weang Kee (dua dari kanan) dari Universiti of Nottingham Malaysia menerima anugerah Loreal -Unesco for Women in Science Fellowship daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri (dua dari kiri) di majls anugerah Loreal-Unesco for Women in Science di Nexus KL. Turut sama Setiausaha Agung Suruhanjaya Kebangsaan Unesco, Dr Anesee Ibrahim (kiri) dan Pengarah Urusan Loreal Malaysia, Malek Bekdacha. - Foto Rohanis Shukri

Tiga saintis wanita terima anugerah

KUALA LUMPUR: Tiga saintis wanita, hari ini menerima anugerah L'Oreal UNESCO For Women in Science Fellowship atas sumbangan dan kecemerlangan mereka dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Penyelidik dari University of Nottingham Malaysia, Dr Ho Weang Kee, 35, terpilih atas usahanya memperkenalkan model jangkaan risiko bagi kanser payudara yang membolehkan penyakit maut itu dikesan lebih awal menerusi DNA dan maklumat gaya hidup individu.

Dr Jasy Liew Suet Yan, 32, dari Universiti Sains Malaysia (USM), diiktiraf selepas usahanya membina sistem bagi mengesan tanda kemurungan dengan menganalisis corak emosi individu menerusi media sosial.

Turut mendapat pengiktirafan ialah Dr Teh Su Yean, 36, dari USM kerana usahanya yang menggabungkan sains, kejuruteraan, teknologi, dan matematik untuk melindungi sumber perairan pantai di Malaysia.

Anugerah disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri dalam majlis yang turut dihadiri Pengarah Urusan L'Oreal Malaysia, Malek Bekdache.

Setiap pemenang menerima geran berjumlah RM30,000 untuk tujuan kajian.

Memasuki tahun ke-12, anugerah tahunan L'Oréal-UNESCO For Women in Science Fellowship bertujuan mengiktiraf dan memaparkan sumbangan saintis wanita terhadap masyarakat.

Ia terbuka kepada penyelidik atau saintis wanita tempatan berusia di bawah 40 tahun yang memegang ijazah doktor falsafah (PhD) atau sedang menjalani pembelajaran kajian dalam mana-mana bidang saintifik.

Selain memberi penghormatan terhadap kecemerlangan saintifik, anugerah L'Oréal itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan minat terhadap sains dalam kalangan rakyat di negara ini.

Sementara itu, Nancy dalam ucapannya berkata, anugerah berkenaan bukan sahaja memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk memilih sains sebagai kerjaya, malah mendorong minat dalam sains, yang kian berkurang dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan institut pendidikan tinggi.

Katanya, minat yang berkurang dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menambahkan lagi kepentingan anugerah seperti L'Oréal-UNESCO For Women in Science bertujuan memupuk minat mendalam terhadap sains.

"Kejayaan mereka wajar dicontohi kerana ia bidang yang biasanya dikuasai lelaki, sekali gus menunjukkan sains boleh menjadi asas yang baik bagi semua jantina untuk meraih kecemerlangan.

"Saya berharap anugerah sebegini dapat memberi inspirasi kepada generasi seterusnya untuk memperoleh perspektif baru terhadap STEM.

"Ini kerana ia bukan hanya kiraan rumit dan fakta yang mencabar semata-mata, malah menjadi kunci ke arah masa depan yang lebih cerah bagi negara kita malah juga seluruh dunia," katanya.

Tahun ini, sebanyak 208 penyertaan diterima dengan setiap penyertaan berdasarkan kriteria yang komprehensif termasuk kepentingan projek dari segi sumbangan nilai dan merit, keaslian dan tujuan, sumbangan kepada sains, metodologi, pencapaian akademik serta kualiti projek secara keseluruhan.

Sejak diperkenalkan L'Oréal-UNESCO For Women in Science Fellowship pada 2006, RM900,000 geran butik kajian dianugerahkan kepada 38 saintis wanita yang cemerlang di negara ini.

Berita Harian X