Selasa, 5 Julai 2022 | 1:15pm
Noor Hayati memantau anak-anak mengulangkaji pelajaran meskipun sentiasa sibuk melakukan pelbagai pekerjaan.- Foto/Nur Izzati Mohamad
Noor Hayati memantau anak-anak mengulangkaji pelajaran meskipun sentiasa sibuk melakukan pelbagai pekerjaan.- Foto/Nur Izzati Mohamad

Tidur tiga jam sehari, cari nafkah demi sara 7 anak

KEPALA BATAS: Demi memastikan pendidikan dan keperluan keluarga dipenuhi mendorong ibu tunggal tujuh anak melakukan pelbagai jenis pekerjaan dan hanya tidur tiga jam sehari bagi mencari nafkah bagi menyara mereka.

Noor Hayati Md Noh, 47, yang bercerai dengan suami sejak tujuh tahun lalu tidak mengharapkan simpati orang lain bagi memastikan semua keperluan anak berusia tujuh hingga 22 tahun tidak terputus.

Pernah jual kacang dari rumah ke rumah dan buang rasa ketuk pintu dari rumah ke rumah, bahkan ada yang halau, ingat dia minta sedekah.

Antara pekerjaan dilakukan mengambil upah mencuci tandas sekolah, mengambil dan menghantar murid sekolah, tempahan makanan, upah menjahit tudung sekolah, membuat gubahan hantaran serta menjadi stokis produk kesihatan serta bahan pencuci.

Selain itu, dia juga mengadakan kelas bacaan al-Quran untuk ibu tunggal supaya dapat saling mengimbangi antara kehidupan dan agama.

"Dengan pekerjaan ini menjadikan rutin harian saya setiap hari terlalu padat dan hanya tidur sekitar tiga jam, tetapi itu tidak menjadi masalah kerana saya tonggak keluarga pada ketika ini. Jadi kita perlu berusaha keras bekerja untuk menampung kehidupan," katanya.

Noor Hayati tidak suka mengharapkan simpati sesiapa dan berusaha sendiri demi membesarkan anak, apatah lagi enam daripada tujuh anak saya masih bersekolah dan memerlukan pendidikan sempurna.

Noor Hayati cekal melakukan pelbagai jenis pekerjaan sehari demi menyara anak-anaknya selepas berpisah dengan suami sejak tujuh tahun lalu. - Foto/Nur Izzati Mohamad
Noor Hayati cekal melakukan pelbagai jenis pekerjaan sehari demi menyara anak-anaknya selepas berpisah dengan suami sejak tujuh tahun lalu. - Foto/Nur Izzati Mohamad

"Melalui pendidikan mereka dapat bantu saya nanti dan ketika ini berkorban asalkan anak dapat mengubah hidup daripada kesusahan ini," katanya.

Dia dan anak-anaknya pernah menjalani kehidupan terumbang-ambing selepas berpisah dengan bekas suami hingga terpaksa mencatu makanan kerana ingin berjimat-cermat.

"Saya juga pernah mengalami 'vertigo' kerana tertekan dengan masalah dialami dan beban kerja tetapi saya tidak mahu mengalah dengan melakukan apa yang terdaya mengikut kemampuan," katanya.

Noor Hayati bangkit dalam kehidupan apabila menyertai Persatuan Ibu Tunggal, tiga tahun lalu yang banyak membimbingnya menjadi insan cekal bagi membesarkan anak seorang diri.

"Walaupun ada menerima bantuan bulanan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal dan Persatuan Ibu Tunggal Kepala Batas, namun saya perlu bekerja demi anak-anak.

"Saya tidak mahu harapkan bantuan sampai bila-bila dan perlu bangkit jika mahukan sesuatu," katanya tidak bawa anak bercuti kerana ingin simpan duit untuk keperluan mereka.

Dia juga mahu menepis persepsi ibu tunggal hanya mengharapkan bantuan.

"Saya sentiasa berpesan kepada diri apa yang saya lakukan ini pasti akan ada manisnya nanti dan kini perlu bersabar untuk meniti bahagia itu.

"Melalui bantuan ini, dapat membantu bayar sewa rumah dan melunaskan beberapa komitmen bulanan lain," katanya.

Selepas bercerai dia mengambil keputusan menjual produk kesihatan dan bahan pencuci beberapa jenama bagi menjana pendapatan.

"Tidak mahu mengalah walaupun pada masa itu buntu sebab baharu sahaja habis pantang anak bongsu, tetapi saya kena teruskan dan mula mencari produk kesihatan untuk dijual sebelum menjadi stokis beberapa jenama.

"Mulanya jualan tidak seberapa kerana masih lagi baru dan perlu banyak promosi. Jadi saya buat kerja lain dan mengambil beberapa upah bagi menampung kehidupan," katanya.

"Bila ramai tahu kisah saya kebanyakan menghulurkan bantuan wang, saya bersyukur tetapi bukan itu sebenarnya yang saya perlukan. Saya hanya mahu sokongan," katanya.

Berita Harian X