Ahad, 3 Julai 2022 | 11:55am
Tingkatkan pengetahuan mengenai hukum hakam, jenis darah wanita haid, nifas dan wiladah. - Gambar hiasan
Tingkatkan pengetahuan mengenai hukum hakam, jenis darah wanita haid, nifas dan wiladah. - Gambar hiasan

Bab darah wanita kurang diberi perhatian

KUALA LUMPUR: Ramai wanita termasuk golongan remaja kurang pengetahuan agama mengenai perkara asas dan hukum berkaitan darah wanita termasuk cara menyucikan diri serta hal berkaitan ibadat.

Justeru, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengambil langkah meningkatkan pengetahuan mengenai hukum hakam, jenis darah wanita haid, nifas dan wiladah dengan mengedarkan risalah mengandungi pelbagai maklumat berkaitan perkara itu

Ketua Biro Kerohanian Puspanita JAWI, Zarliza Ramli, berkata berdasarkan pemerhatiannya, bab darah wanita kurang diberi perhatian sedangkan ia aspek penting berkaitan ibadat seperti mandi wajib dan solat.

"Saya lihat suami tidak mengajar isteri dan anak perempuan mereka, malah penceramah juga jarang bawa isu bab darah wanita dalam kuliah agama.

"Bab darah wanita ini tidak popular dalam kalangan masyarakat, ditambah pula kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik COVID-19. Ia antara faktor ramai yang tercicir kerana program kesedaran mengenainya sukar dilaksanakan," katanya.

Zarliza berkata, ramai masyarakat yang masih tidak tahu perkara asas mengenai darah wanita.

"Misalnya kewajipan menunaikan solat selepas tempoh haid melebihi 15 hari, selain ada ramai wanita hamil yang sedang menunggu waktu melahirkan anak solat kerana menyangka mereka dalam keadaan tidak suci.

"Contohnya, ketika menunggu di wad bersalin air ketuban pecah, sedangkan mereka masih wajib menunaikan solat, tak perlu mandi wajib, cuma bersihkan air ketuban, ambil wuduk, kemudian solat seperti biasa mengikut kemampuan.

"Bagi darah istihadah, jika sudah melebihi 15 hari, perlu mandi wajib dan solat. Jika masih terdapat darah, pakai tuala wanita dan kemudian boleh solat seperti biasa," katanya.

"Kami sediakan risalah berkaitan ilmu hukum hakam darah wanita itu juga atas permintaan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

"Kementerian itu akan mengedarkan risalah bersama dengan kit sumbangan barangan berkaitan wanita ketika melawat pesakit wanita di hospital di seluruh negara," katanya.

Risalah itu sebagai bahan bacaan ringkas dan santai, namun sarat ilmu serta bersesuaian untuk semua peringkat termasuk membabitkan pesakit sedang dirawat di hospital.

"Risalah ini juga memberi penjelasan mengenai perbezaan bagi setiap darah wanita seperti wiladah dan nifas, tatacara pengurusan diri dan pengurusan darah.

Beliau berharap kementerian itu dapat memperluaskan inisiatif itu dengan menggerakkan program penataran dari satu wad ke wad lain di hospital supaya masyarakat mendapat penjelasan yang lebih lengkap dan terperinci mengenai hukum hakam darah wanita.

Puspanita JAWI juga mahu memperluaskan aktiviti dakwah berhubung topik darah wanita melalui penganjuran kuliah secara berkala di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

"Di peringkat remaja khususnya di sekolah, JAWI ada melaksanakan program pengurusan akil baligh bagi memberi pendedahan mengenai tatacara dan hukum mengenai pelbagai jenis darah.

"Ilmu mengenai darah ini tidak boleh diambil ringan oleh ibu bapa. Kita lahirkan zuriat dengan harapan menjadi anak soleh.

"Saya lihat ibu bapa bila anak gadis mula datang haid, mereka hanya tumpu dan ajar cara nak cuci darah dan bersihkan diri. Ada yang mengabaikan soal hukum hakam dan panduan betul mandi wajib dan solat," katanya.

Berita Harian X