Khamis, 17 March 2022 | 11:37am
Mat Isan (kanan) berkongsi ilmu dengan penduduk kampung cara mengurus jenazah.- Foto/Rosman Shamsudin
Mat Isan (kanan) berkongsi ilmu dengan penduduk kampung cara mengurus jenazah.- Foto/Rosman Shamsudin
Mat Isan Kiman.
Mat Isan Kiman.

Tidak pernah terkena badi mayat, gangguan mistik

SLIM RIVER: Kekurangan pengurus jenazah terutama dalam kalangan generasi muda ketika ini mendorong warga emas mencurah ilmu dan pengalaman dalam menyempurnakan tuntutan fardu kifayah itu.

Pengurus jenazah berpengalaman 20 tahun dalam bidang itu, Mat Isan Kiman, 67, sedia berkongsi ilmu kepada generasi muda bagi melahirkan lebih ramai pelapis menyempurnakan tuntutan berkenaan, selain tidak perlu takut mendapat badi mayat.

"Saya sedia kongsi ilmu dan pengalaman berkaitan. Tidak rugi mempelajari ilmu pengurusan jenazah sekurang-kurangnya apabila berlaku kematian dalam kalangan ahli keluarga dapat menyempurnakan jenazah tanpa masalah.

Katanya, bukan semua orang berani atau mampu memandikan jenazah, apatah lagi masyarakat sering dimomokkan dengan gangguan mistik, badi mayat dan menguruskan orang yang tiada pertalian serta penghidap HIV/ AIDS.

Faktor ini menyebabkan beliau sukar melahirkan pelapis bagi menguruskan jenazah terutama apabila berlaku kematian di kawasan setempat.

"Mengurus jenazah bukan tugas mudah terutama yang tidak mempunyai ilmu dan pengalaman khusus dalam bidang ini.

"Pengalaman penting dalam mengurus jenazah kerana setiap individu ada sebab dan punca kematian berbeza sekali gus mempengaruhi teknik menguruskan jenazah terbabit.

"Sepanjang saya mengurus jenazah, tidak pernah terkena gangguan mistik atau badi mayat yang sering dimomokkan atau dipaparkan dalam drama dan filem," katanya ketika ditemui di Surau Al Jauharah Taman Slim Permata, di sini, baru-baru ini.

Pesara polis itu berkata, tugas menyempurnakan fardu kifayah ini bukan dilakukan seorang diri dan perlu dilakukan tiga atau empat orang bagi menguruskan jenazah.

Katanya, pada awalnya beliau tidak mempunyai ilmu mengurus jenazah, namun mengambil inisiatif mempelajari dengan mengikuti kursus.

"Latihan praktikal dianggap sebagai proses menimba pengalaman," katanya.

Mat Isan berkata, walaupun pekerjaan ini adalah fardu kifayah, namun perlu melahirkan seramai mungkin pelapis supaya masyarakat tidak berdepan dengan ketandusan pengurus jenazah pada masa depan.

Berita Harian X