Khamis, 24 Februari 2022 | 10:40am
Pendidikan seksual langkah terbaik untuk mengekang gangguan seksual.- Gambar hiasan
Pendidikan seksual langkah terbaik untuk mengekang gangguan seksual.- Gambar hiasan

Didik anak elak jadi mangsa jenayah seksual

KUALA LUMPUR: Sikap sambil lewa dan tidak menunjukkan keprihatinan tinggi dalam kalangan ibu bapa terhadap perubahan anak yang menjadi mangsa gangguan seksual adalah antara faktor utama isu itu tidak berkesudahan.

Pegawai Psikologi Kanak-Kanak, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, berkata kebanyakan ibu bapa mempunyai pengetahuan luas bagaimana membantu anak sekiranya berdepan situasi berkenaan.

Katanya, bagaimanapun pengetahuan itu tidak diaplikasi sepenuhnya dengan tindakan sewajarnya dalam memastikan anak tidak menjadi mangsa gangguan seksual.

"Ya, saya yakin semua ibu bapa pada zaman ini sudah terdedah dengan semua bentuk pendidikan seksual untuk disebarkan kepada anak masing-masing.

"Namun sayangnya, mereka tidak menyebarkan ilmu itu untuk anak-anak dengan anggapan ia kurang manis dan tidak sesuai untuk diceritakan pada usia yang dirasakan tidak sepatutnya.

"Tetapi sebenarnya, inilah kesalahan yang dilakukan oleh ibu bapa. Mereka sebenarnya perlu menjelaskan dengan tepat walaupun ia sukar, tetapi ini adalah tanggungjawab ibu bapa," katanya kepada BH.

Baru-baru ini, terbongkar kisah seorang murid yang enggan ke sekolah sejak Januari lalu disebabkan perbuatan terkutuk seorang guru di sebuah sekolah di Putrajaya.

Murid berkenaan menjadi mangsa amang seksual guru itu sejak tahun lalu dan laporan polis sudah dibuat untuk tindakan selanjutnya.

Beliau menjelaskan, pendidikan seksual termasuk di sekolah langkah terbaik bagi mengelak gangguan seksual dan seterusnya melaporkan kepada ibu bapa atau pihak sekolah.

"Pendidikan seksual ini pernah mendapat tentangan daripada ibu bapa kerana kebimbangan anak terdedah dengan perkara tidak sepatutnya, tetapi sebagai ibu bapa yang boleh mengawal anak-anak, pemberian gajet dan akses internet perlu dihadkan.

Siti Fatimah Abdul Ghani.
Siti Fatimah Abdul Ghani.

"Ini bagi mengelakkan mereka daripada mula mencari di dalam internet untuk mengetahui selanjutnya.

"Selain itu, kempen, ceramah bulanan, poster berkaitan dengannya seharusnya dilakukan secara berterusan di sekolah sehingga peringkat institusi pendidikan tinggi kerana dari situ mereka akan sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga.

"Talian Nur Kasih 15999 itu juga harus disebarkan di sekolah kerana ia medium penting untuk mangsa yang tidak mempunyai sokongan melaporkan kejadian gangguan seksual itu," katanya.

Sebelum ini sebanyak 11,914 kes gangguan seksual direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2018 hingga Ogos 2021 dengan 90 peratus pemangsa ialah mereka yang dikenali dan antara modus operandinya menampilkan watak baik.

Statistik jenayah seksual ke atas kanak-kanak pada tahun 2020 sehingga 30 Jun 2020 yang direkodkan PDRM adalah sebanyak 1,721 kes.

Mengikut pecahan daripada jumlah itu kesalahan rogol (651 kes), sumbang mahram (106 kes), luar tabii (106 kes), cabul (344 kes) dan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (514 kes).

Justeru, beliau berkata selain ibu bapa, Kementerian Pendidikan (KPM) adalah agensi paling sesuai untuk sentiasa mempromosikan keadaan selamat kepada murid daripada menjadi mangsa gangguan seksual ini.

"Tiga kaedah kanak-kanak ini perlu didedahkan dengan pengetahuan seksual ini adalah menerusi visual, mendengar maklumat sama ada formal dan tidak formal serta diajar apa yang boleh dan tidak boleh.

"Anak-anak ini adalah individu yang mempunyai maruah, perlu dihormati dan mendengar semua apa yang disampaikan. Tiada lagi istilah siapa dulu makan garam kerana anak-anak sekarang tidak seperti dahulu.

"Sekiranya perlu dedahkan anak-anak ini dengan pendidikan seksual dengan menggunakan bahasa mudah seawal usia tiga tahun sebaik mereka sudah pandai berkawan dan bercakap," katanya.

Berita Harian X