Selasa, 4 Januari 2022 | 11:20am
Yayasan OrphanCare giat adakan kempen kesedaran mengenai pengetahuan seks secara dalam talian elak remaja terbabit kes pembuangan bayi. - Foto/Ihsan Yayasan OrphanCare
Yayasan OrphanCare giat adakan kempen kesedaran mengenai pengetahuan seks secara dalam talian elak remaja terbabit kes pembuangan bayi. - Foto/Ihsan Yayasan OrphanCare

5,000 pelajar ikut kempen kesedaran pengetahuan seks

KUALA LUMPUR: Yayasan OrphanCare sedang giat menjalankan kempen kesedaran mengenai pengetahuan seks secara dalam talian kepada lebih 5,000 pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT).

Pengurus Advokasi dan Komunikasinya, Riza Alwi, berkata kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran kepada golongan berkenaan supaya dapat mengelak daripada terjebak dengan perkara yang seperti pembuangan bayi.

Katanya, perkara seperti ini perlu diberi pencerahan sebagai langkah berjaga-jaga kerana seperti sedia maklum ia amat sukar dielakkan, terutama membabitkan kes rogol.

"Mereka ini menjadi mangsa keadaan dan tidak minta untuk mengandung, tetapi masyarakat menghukum mereka terlebih dahulu," katanya.

Beliau berkata, yayasan itu tidak terkecuali menerima tohmahan daripada masyarakat yang mendakwa mereka menggalakkan wanita mengandung dan menyerahkan bayi kepada mereka.

Katanya, dakwaan itu tidak benar kerana apa yang yayasan lakukan adalah untuk menyelamatkan bayi daripada dibuang ibu kandung mereka.

"Jadi, dengan datang ke yayasan, mereka merayu supaya tolong selamatkan anak mereka dengan mencari keluarga angkat supaya anak mereka dapat dijaga dengan baik," katanya.

Beliau berkata, rata-rata yang datang mendapatkan bantuan daripada Yayasan OrphanCare adalah mereka yang berusia 18 sehingga 30 tahun.

Katanya, kira-kira 80 peratus golongan yang mendapatkan bantuan itu adalah pelajar IPT.

"Tindakan mendapatkan bantuan daripada yayasan menunjukkan mereka masih mahu menyelamatkan anak dikandung, namun takut dengan situasi yang berlaku.

"Selain itu, mereka takut dengan pandangan masyarakat yang menjatuhkan hukuman seolah-olah mereka penjenayah, sedangkan mereka jadi sedemikian kerana pelbagai faktor," katanya.

Berita Harian X