Rabu, 22 Disember 2021 | 11:56am
Dr Hanafi dan Dr Fariza Hanim menunjukkan Kad Anak untuk golongan yatim piatu dapat rawatan perubatan percuma di kliniknya. - Foto/osman Shamsudin
Dr Hanafi dan Dr Fariza Hanim menunjukkan Kad Anak untuk golongan yatim piatu dapat rawatan perubatan percuma di kliniknya. - Foto/osman Shamsudin

Kad Anak tawar rawatan perubatan percuma

SLIM RIVER: Pasangan doktor di daerah Muallim, di sini memperkenalkan Kad Anak untuk anak yatim dan yatim piatu bagi memberikan kemudahan rawatan kesihatan dan ubatan percuma kepada golongan itu.

Sejak diperkenalkan tiga tahun lalu, seramai 300 ahli Kad Anak terdiri anak yatim dan yatim piatu tanpa mengira kaum sudah menikmati kemudahan berkenaan.

Pasangan doktor itu, Dr Hanafi Yahya dan Dr Fariza Hanim Shahir yang masing-masing berumur 38 tahun mengambil inisiatif berkenaan bertujuan membantu golongan terbabit di daerah Muallim.

Katanya, inisiatif itu mampu memberi kelegaaan dan sinar baharu kepada golongan itu dalam meneruskan kelangsungan hidup.

"Setiap pemegang kad menikmati kemudahan secara percuma di Klinik Dr Fariza Bandar Behrang 2020 di Behrang dan Poliklinik Dr Hanafi di Slim River.

Dr Hanafi yang juga pengasasnya, berkata keahlian Kad Anak hanya untuk mereka yang berumur 18 tahun ke bawah dan setiap permohonan mesti melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Muallim.

Katanya, kad berkenaan bertujuan membantu dan menjaga kebajikan golongan sasar tanpa mengira kaum supaya dapat menjalani kehidupan lebih sempurna.

"Setakat ini, semua pemegang kad berkenaan memanfaatkan keahliannya dengan mengunjungi klinik itu bagi tujuan rawatan dan ubatan.

"Walaupun beberapa kali mereka datang mendapatkan rawatan dalam tempoh sebulan namun tetap tidak dikenakan sebarang bayaran," katanya.

Beliau yang juga pengasas perkhidmatan klinik doktor bergerak (DocMove), berkata pemegang kad itu boleh menikmati potongan harga belian di kedai yang menjadi panel.

"Kad Anak yang diperkenalkan ini sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk golongan sasar tanpa mengira bangsa dan agama.

"Kad ini dapat mengurangkan beban penjaga golongan sasar sebelum anak itu mencapai dewasa," katanya.

Masih ada sebilangan kecil golongan sasar belum memiliki kad itu dan berharap mereka mendaftarkan untuk menikmati kemudahan itu.

Justeru, keahlian Kad Anak itu akan diperluaskan di Kuala Terengganu, Terengganu di dalam usaha membantu masyarakat setempat di Pantai Ttimur.

Dr Fariza Hanim berkata, idea itu tercetus berdasarkan pengalaman mereka berdua ketika memberi rawatan dan ubatan kepada golongan terbabit.

"Bukan semua golongan itu dibesarkan ibu bapa atau penjaga yang mempunyai latar belakang ekonomi yang kukuh.

"Ada tidak berkemampuan menghantar anak ke klinik untuk mendapatkan rawatan atau ubatan di klinik swasta," katanya.

Beliau berkata, setiap rezeki yang Tuhan berikan akan menjadi lebih berkat jika berkongsi dengan golongan itu.

Berita Harian X