Selasa, 7 Disember 2021 | 12:19pm
Kepesatan teknologi digital dedahkan anak kepada aktiviti pengantunan siber.- Gambar hiasan
Kepesatan teknologi digital dedahkan anak kepada aktiviti pengantunan siber.- Gambar hiasan
Rahima Dahlan
Rahima Dahlan

Elak anak jadi mangsa pengantunan siber

KUALA LUMPUR: Kepesatan teknologi digital dalam kehidupan terutama ketika pandemik boleh mewujudkan ruang persekitaran sosial lebih luas dan mendedahkan kepada kes mengeksploitasi kanak-kanak menerusi aktiviti pengantunan siber atau 'cyber grooming'.

Teknologi digital mampu merangsang kreativiti dan bermanfaat kepada kanak-kanak, namun jika tidak dikawal ia memberi ancaman jenayah serta menimbulkan kerisauan ibu bapa.

Menurut Pensyarah Perubatan dan Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Rahima Dahlan @ Mohd Shafie, penekanan terhadap pendidikan seksualiti komprehensif dapat membantu mengelakkan anak terdedah kepada pemangsa.

"Pengantunan siber dan seksual adalah proses seseorang mempersiapkan kanak-kanak dan persekitarannya bagi membina hubungan emosi serta kepercayaan sebelum memanipulasi mereka sebagai mangsa seksual.

"Pendidikan seksualiti merangkumi aspek utama penting dalam pembentukan identiti dan jati diri supaya dapat membuat keputusan bijak bagi mengelak terjebak kepada pemangsa dengan memikirkan kesan jangka panjang akibat kegiatan itu," katanya.

Pengetahuan dan kemahiran pendidikan seksualiti mampu mencegah eksploitasi sosial dari konteks seksual serta mengelakkan ancaman terhadap masa depan anak.

Anak digalakkan berbincang topik pendidikan seksualiti dengan ibu bapa, elak jadi mangsa jenayah siber.- Gambar hiasan
Anak digalakkan berbincang topik pendidikan seksualiti dengan ibu bapa, elak jadi mangsa jenayah siber.- Gambar hiasan

"Aspek penjagaan kesihatan seksual, reproduktif akan memberi kesan kepada kesihatan fizikal, emosi dan mental anak disebabkan tidak dijaga dengan baik," katanya.

Remaja yang disokong keluarga serta memberi tumpuan kepada pendidikan dan kerjaya, kurang kecenderungan untuk terbabit dengan hubungan seksual pada usia muda.

Anak juga digalakkan berbincang topik itu dengan ibu bapa, selain mendapatkan bantuan dan nasihat apabila berdepan situasi sukar atau mengelirukan.

Ibu bapa pula perlu memainkan peranan bagi menghindarkan jenayah seksual dengan menitik beratkan hubungan emosi dengan anak sejak lahir dan sentiasa ada 'emotionally-available' apabila anak mengadukan mengenai sesuatu.

Katanya, terdapat enam peringkat umur bagi menerapkan pendidikan seksualiti mengikut perkembangan anak iaitu ketika mereka baru lahir sehingga mereka berusia 19 tahun.

"Pertama adalah ketika anak baru lahir sehingga berusia dua tahun, iaitu ajar mengenai bahagian tubuh badan dan menyebut nama betul, bersesuaian untuk genitalia, selain jelaskan perbezaan jantina lelaki dan perempuan," katanya.

Pada usia tiga ke lima tahun, penekanan perlu diberi mengenai pemeliharaan tubuh seperti kaedah menjaga kebersihan genitalia dan nasihat anak untuk memaklumkan jika terdapat keganjilan serta kesakitan pada bahagian tubuh khususnya genitalia.

"Ajarkan perbandingan sentuhan selamat dan tidak selamat serta beri penjelasan sekiranya mereka mengajukan soalan berkaitan seksualiti, contohnya bagaimana bayi masuk ke dalam perut ibu," katanya.

Pada usia enam ke tujuh tahun, ibu bapa perlu menjelaskan mengenai hubungan kekeluargaan, siapa ahli keluarga terdekat, siapa bukan keluarga dan orang asing.

"Usia lapan hingga 12 tahun adalah waktu bagi menghadapi fasa pra-baligh dan baligh iaitu memahami bagaimana tubuh lelaki dan wanita berfungsi.

"Terangkan perubahan fizikal psikologi dan intelektual menjelang baligh; maklumkan perbezaan remaja perempuan dan remaja lelaki; perubahan emosi dan hubungan rakan sebaya ada tarikan seksual terhadap rakan berlainan jantina," katanya.

Pada usia 13 hingga 15 tahun, bimbing anak membuat keputusan bijak berkenaan seksualiti termasuk mempunyai pemikiran kritis mengikut nilai agama dan budaya, berkomunikasi secara berkesan dan berkolaborasi bersama ibu bapa dan guru.

Pastikan anak memahami konteks anatomi tubuh lelaki dan perempuan serta jelas dengan proses hubungan seks, kehamilan, kelahiran serta mengurus emosi cinta dan tarikan seksual.

"Ketika berusia 16 hingga 19 tahun, ibu bapa perlu memberikan bimbingan terhadap pembentukan sistem nilai keluarga bagi memastikan anak bertanggungjawab menjaga aspek kesihatan reproduktif dan seksual yang sempurna.

"Ini bagi mengelakkan isu seperti seks rambang dalam kalangan remaja, perkahwinan kanak-kanak, keganasan seksual serta terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan alkohol," katanya

Selain itu, kerajaan perlu memperkasakan penguatkuasaan undang-undang bagi menangani

jenayah pengantunan seksual membabitkan kanak-kanak untuk mengelak kegiatan itu semakin berleluasa.

Antara usaha menangani isu ancaman keselamatan siber adalah dengan mengukuhkan prasarana dan mengawal selia ruang siber melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) disaran menyelaraskan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada kepada semua syarikat telekomunikasi untuk membendung ancaman siber dalam kalangan kanak-kanak," katanya.

Berita Harian X