Selasa, 9 November 2021 | 12:44pm
Bantuan bimbingan kaunselor penting untuk atasi masalah kesihatan mental elak tambah serius.- Foto hiasan
Bantuan bimbingan kaunselor penting untuk atasi masalah kesihatan mental elak tambah serius.- Foto hiasan
Kaunselor berperanan memberi kaunseling untuk menenangkan emosi sebelum kenal pasti puncanya.- Foto hiasan
Kaunselor berperanan memberi kaunseling untuk menenangkan emosi sebelum kenal pasti puncanya.- Foto hiasan

11,596 orang jumpa kaunselor tenangkan emosi

KUALA LUMPUR: Seramai 11,596 orang termasuk remaja mendapatkan bantuan bimbingan kaunselor kerana berhadapan isu kesihatan mental sepanjang 2020 hingga September lalu.

Daripada jumlah itu, seramai 132 remaja berusia 13 sehingga 19 tahun berjumpa kaunselor yang dikendalikan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Berdasarkan laporan, 91 kes itu membabitkan masalah tekanan, kemurungan (19 kes), kebimbangan (10), kecelaruan fikiran (7 kes), kesunyian (3 kes), cubaan bunuh diri (2 kes).

Kaunselor LPPKN, Md Noh Saiman, berkata pihaknya mempunyai kaunselor yang berperanan memberi sesi kaunseling untuk menenangkan emosi terlebih dahulu dan kemudian membantu mereka terutama remaja mengenal pasti punca tekanan dihadapi.

"Sebagai contoh isu pencapaian akademik, personaliti, rakan sebaya, perhubungan dan isu kekeluargaan," katanya.

Kaunselor turut membantu remaja mengenal pasti sistem sokongan dari segi emosi dan psikologi.

Katanya, dalam sesi itu kebiasaannya ibu bapa remaja akan dijemput untuk membantu dan memberi sokongan supaya merasai dilindungi, disayangi serta dihargai.

"Ini kerana masalah kesihatan mental boleh dialami sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang pendidikan, jantina, usia, pekerjaan dan pelbagai faktor lain," katanya.

Justeru, ketika pandemik hingga menyebabkan ramai perlu terkurung ketika ini, persekitaran yang kondusif amat penting dalam mengekalkan kestabilan emosi dan mampu menangani tekanan kesihatan mental di terutama remaja serta kanak-kanak.

Beliau berkata, persekitaran yang kondusif itu adalah merujuk kepada suasana harmoni dan ceria.

Jika persekitaran dalam keadaan sebaliknya, ia menyumbang kepada isu tekanan mental yang boleh mempengaruhi kesejahteraan emosi dan fizikal dalam kehidupan seharian.

"Impak pandemik COVID-19 menyebabkan ramai menghadapi cabaran persekitaran kurang kondusif terutama yang bekerja dari rumah.

"Namun, ia juga berlaku kepada pelajar yang perlu mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Cabaran pelajar bertambah apabila turut berdepan isu kekurangan gajet, liputan internet tidak stabil, persekitaran rumah tidak sesuai, bebanan tugasan, tempoh pembelajaran dan pengajaran berbeza," katanya.

Oleh itu, cara mengatasi tekanan mental berpunca daripada persekitaran tidak kondusif termasuk memberi tumpuan kepada tahap keselesaan iaitu suhu bilik yang sesuai, cahaya persekitaran mencukupi, bersih dan kurang bising.

Selain itu, perlu lakukan aktiviti fizikal seperti bersenam, berjalan untuk membantu kekuatan otot dan peningkatan kadar imunisasi.

Md Noh berkata, secara keseluruhan kesihatan mental mempengaruhi aktiviti harian dan gaya hidup mereka.

Kesihatan mental merangkumi aspek fizikal, mental dan emosi bergantung kepada setiap peranan individu yang komited mengekalkan persekitaran supaya sentiasa sihat.

"Faktor fizikal, minda dan emosi cergas akan menyumbang kepada kesejahteraan mental yang stabil," katanya.

Beliau berkata, kesihatan mental mampu mempengaruhi kualiti kehidupan dan produktiviti seseorang jika tidak ditangani dengan berkesan.

Oleh itu, kesedaran mengenai kepentingan impak psikologi dan kesihatan mental sangat penting supaya dapat mengambil langkah awal untuk mencegah isu menjadi lebih serius.

"Antara kesan kemerosotan kesihatan mental seperti hilang fokus dalam menjalani rutin seharian, insomnia sehingga menyebabkan keletihan, kelesuan dan meningkatkan risiko penyakit jantung.

"Ketegangan otot, sakit kepala, mengganggu sistem penghadaman dan menyebabkan ketidakstabilan emosi seperti terlalu sensitif dan cepat marah," katanya.

Md Noh berkata, pencegahan awal adalah sangat penting dan antara langkah yang boleh dilakukan adalah seperti mengamalkan pengurusan masa dengan realistik, mengehadkan komitmen dan keutamaan.

Katanya, perlu juga mengambil masa untuk bertenang, menjalin hubungan positif, membina peribadi positif, mengamalkan hidup sihat dan pemakanan seimbang.

Berita Harian X