Selasa, 9 November 2021 | 11:13am
Isu kesihatan mental perlu rawatan dan sokongan pelbagai pihak. - Foto hiasan
Isu kesihatan mental perlu rawatan dan sokongan pelbagai pihak. - Foto hiasan

Luahkan emosi, jangan sampai bunuh diri

KUALA LUMPUR: Individu yang mengalami masalah berkaitan kesihatan mental termasuk kemurungan boleh dibantu dengan memberikan sokongan berterusan daripada keluarga, majikan dan rakan.

Mereka yang lewat diberikan bantuan berisiko tinggi bertindak ganas dengan mencederakan diri sendiri atau lebih malang mengambil keputusan membunuh diri.

Ini antara usaha yang perlu dibuat sejak awal bagi memahami situasi yang dialami oleh individu berkenaan.

Bagaimanapun, Kaunselor Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Md Noh Saiman, berkata keluarga adalah medium terbaik membantu individu terbabit secara berterusan dengan cuba memahami tingkah laku dialami.

Katanya, keluarga juga mampu membantu individu untuk mendapatkan rawatan secara berkala daripada pakar kesihatan.

"Justeru penting untuk keluarga peka mengenai tanda gangguan kesihatan mental supaya individu berkenaan dapat diberikan bantuan dan rawatan awal," katanya.

Kebanyakan mereka yang mengalami gangguan mental tidak sedar mereka mula menunjukkan banyak perubahan sikap.

"Bantuan keluarga terdekat termasuk pasangan, anak, ahli keluarga lain atau rakan baik amat diperlukan," katanya.

Apabila melihat individu menunjukkan tekanan berpanjangan, mula menyisihkan diri daripada keluarga serta rakan, tidak mahu mengikuti aktiviti kegemaran, berubah corak makan dan tidur, penat serta lesu, sukar memberi tumpuan, maka keluarga perlu ambil tindakan segera.

"Memang bukan mudah untuk memulakan perbualan mengenai isu kesihatan mental kerana jika salah percaturan, boleh membawa kemudaratan.

"Namun, untuk memulakan perbualan mengenai masalah ini, perlu tahu apa yang ingin dimaklumkan dan tidak sama sekali menyalahkan individu berkenaan dengan apa yang berlaku pada dirinya," katanya.

Ahli keluarga perlu peka tanda gangguan kesihatan mental dihidapi orang sekelilingnya. - Foto hiasan
Ahli keluarga perlu peka tanda gangguan kesihatan mental dihidapi orang sekelilingnya. - Foto hiasan

Antara perbualan dimulakan dengan bertanya khabar terlebih dahulu kemudian memberikan kata-kata positif dan sentiasa yakinkan individu itu tidak berseorangan dalam menghadapi masalah itu.

Md Noh berkata, masalah kesihatan mental sudah menjadi polemik yang sering dibincangkan dan kini menjadi tumpuan dalam masyarakat.

Katanya, penting pendidikan kesihatan mental bermula dari awal kanak-kanak sehingga ke peringkat mereka yang sudah berusia.

Isu kesihatan mental adalah rentas sempadan dan tidak memilih individu, jantina serta kaum.

"Golongan kurang kemahiran mengurus emosi, persekitaran mencabar, kurang sokongan keluarga dan tekanan berpanjangan antara golongan berisiko.

"Setiap usaha untuk berubah menjadi lebih positif harus bermula dari diri sendiri demi kesejahteraan kesihatan mental yang stabil dan sihat," katanya.

Bagaimanapun, terdapat pelbagai kaedah menangani tekanan kehidupan seharian termasuk melakukan latihan bernafas 'relaks dan release'.

Latihan itu dibuat dengan cara menarik nafas dan menghembus secara perlahan-lahan bagi membantu pengedaran oksigen yang sempurna.

"Latihan ini bertujuan menggunakan kognitif, emosi dan fizikal untuk menenangkan diri supaya dapat berfikir dengan lebih jelas serta membantu mengurus tekanan dengan efektif.

Md Noh Saiman.
Md Noh Saiman.

"Teknik ini boleh diulang untuk beberapa kali supaya lebih fokus pada pernafasan dan mudah tenang dengan segera," katanya.

Md Noh berkata, seseorang itu juga perlu memberi tumpuan pada penyelesaian masalah dan bukan memberi tumpuan pada isu supaya ia dapat diselesaikan.

"Boleh meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dengan mewujudkan ruang bagi setiap ahli untuk berkongsi pendapat serta luahan emosi terpendam.

"Hubungan antara ahli keluarga juga menjadi lebih erat, sekali gus mendorong keluarga dan individu untuk membentuk kesejahteraan emosi sihat," katanya.

Mereka perlu mengelak daripada tekanan melampau dengan mengambil masa untuk berehat.

Ramai mengalami situasi itu terutama kerana kerja berlebihan dan keletihan berpanjangan tanpa tidur yang teratur, sekali gus menyebabkan motivasi kerja menurun serta cenderung ke tahap produktiviti yang berkurangan.

"Namun, perkara paling penting sentiasa diberi perhatian adalah penjagaan kesihatan mental yang stabil.

"Kita ada perkhidmatan bimbingan kaunseling dan pakar bertauliah untuk menstabilkan tekanan kehidupan," katanya.

Berita Harian X