Selasa, 2 November 2021 | 11:26am
Syid Ayob bersama Kartika Wati pada majlis pelancaran Eskayvie Diffenz Junior, baru-baru ini. Foto/Asyraf Hamzah
Syid Ayob bersama Kartika Wati pada majlis pelancaran Eskayvie Diffenz Junior, baru-baru ini. Foto/Asyraf Hamzah

Bantu lahirkan lebih 50,000 usahawan

KUALA LUMPUR: Seiring visi memperkasakan kesihatan dan ekonomi, Eskayvie Sdn Bhd (Eskayvie), sebuah syarikat suplemen kesihatan tempatan, menyasarkan jualan sebanyak RM300 juta, pada tahun depan.

Pengarah Urusannya, Kartika Wati Mohamed, berkata bagi mencapai matlamat itu, Eskayvie juga akan membantu lebih 50,000 usahawan aktif untuk bergerak bersama Eskayvie Nexus, mulai tahun depan.

Katanya, optimis sasaran jualan hampir sejuta botol produk Eskayvie Diffenz, selain di Malaysia, pasaran turut melangkaui Singapura, Brunei dan Indonesia.

Setakat ini, kira-kira 200,000 orang menggunakan produk itu, sejak dilancarkan November tahun lalu.

"Bagi merealisasikan matlamat jualan, kami akan memfokus kepada usaha pembangunan usahawan, selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai produk terbaik yang diformulasikan di bawah jenama ini.

"Ketika ditubuhkan pada 2009, Eskayvie sangat jelas dengan misi meningkatkan kualiti hidup dengan menambah nilai kehidupan masyarakat dalam aspek kesihatan melalui penghasilan produk berkualiti menggunakan sumber alam semula jadi dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Ini selaras dengan visi penubuhannya bukan saja bagi memperkasa ekonomi ummah malah kesihatan pengguna produk jenama kami," katanya ditemui selepas majlis pelancaran Eskayvie Diffenz Junior, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al Qudri dan duta Eskayvie, Datuk Aznil Nawawi.

Kartika Wati berkata, Diffenz Junior adalah kesinambungan kejayaan syarikat itu yang dikhususkan untuk membantu golongan dewasa meningkatkan sistem pertahanan badan.

Ia adalah inovasi terbaharu yang diformulasi khas untuk kanak-kanak seawal usia dua hingga 12 tahun.

Dr Syid berkata, jenama itu juga menjadi inovasi terbaharu bagi membantu ibu bapa memberi perlindungan terbaik kepada kanak-kanak sepanjang pandemik ini.

Beliau yang memformulasi sendiri makanan tambahan itu, berkata meskipun negara sudah mencapai status vaksinasi melebihi 90 peratus bagi individu dewasa, tetapi kanak-kanak di bawah 12 tahun masih belum mendapat perlindungan sepenuhnya.

"Kita juga memahami kerisauan ibu bapa mengenai keselamatan mereka yang masih belum mendapat suntikan vaksin.

"Dalam keadaan sekarang, sistem imun yang baik adalah sangat penting dan kami sentiasa berusaha memberi sokongan terutama kanak-kanak yang berisiko terdedah kepada jangkitan kuman dan virus.

"Justeru, Diffenz Junior dapat membantu melengkapkan keperluan kanak-kana. Ia dirumus dengan ramuan kaya antioksidan, vitamin dan flavonoid semula jadi yang mampu memberi perlindungan terbaik kepada kanak kanak," katanya.

Selain ia dirumus secara saintifik dengan menggabungkan cendawan susu harimau, buah camu-camu, kolostrum, multivitamin, vitamin C dan D.

"Tablet kunyah perisa oren ini diformulasi bagi menyokong sistem imun, membantu tumbesaran anak, kekal sihat dan bertenaga sepanjang hari," katanya.

Berita Harian X