Selasa, 19 Oktober 2021 | 11:57am
Jodoh ibu bapa tidak panjang, tetapi perlu fikir hubungan anak tidak terputus.- Foto hiasan
Jodoh ibu bapa tidak panjang, tetapi perlu fikir hubungan anak tidak terputus.- Foto hiasan

Jodoh ibu bapa tidak panjang

KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang sudah tidak sehaluan atau bercerai perlu memberi lebih tumpuan kepada emosi anak-anak untuk mengelak isu bertambah parah terutama dalam keadaan pandemik COVID-19.

Peguam Syariah, Elly Jasmin Aminuddin, berkata sejak pandemik melanda negara, tidak dinafikan statistik kes perceraian terus menunjukkan peningkatan.

Katanya, ibu atau bapa yang mendapat hak penjagaan anak perlu bijak memastikan mereka stabil dari segi emosi kerana anak-anak mereka bukan sahaja terkesan dengan pandemik.

"Malah ada juga anak-anak yang masih tidak dapat menerima kenyataan ibu bapa mereka yang selama ini tinggal sebumbung tetapi kini tidak lagi.

"Dalam satu kes, ibu mendapat hak penjagaan anak, namun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, dia tidak membenarkan bekas suami melawat anak dengan alasan pandemik.

"Dalam kes ini, bukan bapa sahaja yang terkesan kerana tidak dapat berjumpa anak, malah anak-anak juga apabila guru memaklumkan mereka tidak lagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Forum Kesihatan Mental Anak Ketika Pandemik menerusi Kempen Anakku Sayang yang diadakan secara maya, baru-baru ini.

Sebelum ini, dilaporkan lima permohonan perceraian membabitkan pasangan Islam diterima di mahkamah syariah seluruh negara dalam tempoh sejam.

Laporan juga mendedahkan sebanyak 66,440 kes cerai membabitkan pasangan beragama Islam didaftarkan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 bermula Mac 2020 hingga Ogos lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak mengikuti PdPR adalah keadaan yang menunjukkan anak terkesan apabila mereka tidak dapat berjumpa dengan bapa mereka.

Kendalikan emosi anak yang mungkin tidak apat menerima kenyataan perceraian ibu bapa.- Foto hiasan
Kendalikan emosi anak yang mungkin tidak apat menerima kenyataan perceraian ibu bapa.- Foto hiasan

Katanya, ia juga menjadi antara cara menunjukkan mereka mogok dan emosi terganggu namun pada masa sama takut untuk memaklumkan perasaan kepada ibu mereka.

"Apa yang boleh dilakukan bapa boleh membawa kes ke mahkamah untuk mendapatkan haknya semula.

"Dalam keadaan ini kita tahu apa punca ibu tidak benarkan anak-anak berjumpa dengan bapa walaupun sebelum ini tiada masalah.

"Mungkin ada berlaku kecuaian dari pihak bapa akibat terkesan dengan pandemik, tetapi ibu tidak boleh menidakkan hak anak dengan alasan itu," katanya.

Elly berkata, ibu atau bapa sepatutnya bertolak ansur dengan tidak hanya memikirkan emosi mereka sahaja, sebaliknya turut memikirkan keadaan emosi anak-anak kerana itu lebih penting.

"Walaupun jodoh ibu bapa tidak panjang tetapi perlu fikir hubungan anak-anak dengan ibu bapa mereka tidak akan terputus," katanya.

Dalam kes lain, bapa yang mendapat hak penjagaan anak yang sudah berusia belasan tahun, tidak benarkan lagi mereka berjumpa dengan ibu termasuk menerusi panggilan telefon.

Katanya, ia menyebabkan emosi anak yang sebelum ini rapat dengan ibu mereka terganggu dan sehingga mengambil keputusan lari dari rumah.

"Dalam keadaan ini menunjukkan sikap ibu bapa yang pentingkan diri sendiri kerana mahu berebut anak mereka.

"Pada mata kasar orang akan kasihankan pada bekas isteri kerana haknya dinafikan bekas suami, tapi yang sebenarnya menjadi mangsa adalah anak-anak," katanya.

Justeru, ibu bapa yang berdepan isu perebutan dan penjagaan anak perlu mengenepikan emosi mereka dan mengambil langkah yang lebih bijak.

Elly Jasmin Aminuddin
Elly Jasmin Aminuddin

Katanya, jika berlaku isu hak dinafikan, ibu atau bapa boleh mendapatkan bantuan daripada peguam kerana ada cara untuk mendapatkan semula hak mereka.

"Cari peguam yang boleh diharap dan dapat membantu supaya kepentingan, kebajikan, emosi anak-anak terpelihara dan tidak terjejas.

"Malah, jika berlaku pelanggaran perintah mahkamah sedia ada, ada cara untuk pihak berkenaan mengikut semula perintah berkenaan," katanya.

Berita Harian X