Rabu, 8 September 2021 | 10:31am
Garis panduan dikuat kuasa bulan lalu, majlis akad nikah dibenarkan dilaksanakan di pejabat JAWI. Foto hiasan
Garis panduan dikuat kuasa bulan lalu, majlis akad nikah dibenarkan dilaksanakan di pejabat JAWI. Foto hiasan

JAWI terima 2,439 permohonan nikah

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerima 2,439 permohonan nikah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, sejak 1 Jun lalu.

Berdasarkan statistik Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM), 2,051 permohonan diterima di Kuala Lumpur, 238 (Putrajaya) dan 150 (Labuan).

Daripada jumlah itu, 1,180 pasangan dinikahkan sepanjang tempoh PKP 3.0 sejak 7 Mei lalu sehingga kini di Wilayah Persekutuan.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail, berkata purata permohonan nikah diterima dalam sebulan sebelum pelaksanaan PKP adalah 1,400 permohonan berbanding 513 sepanjang PKP 3.0.

"Urusan berkaitan permohonan pernikahan dapat dilaksanakan kembali sebaik sahaja JAWI memperkenalkan kaedah janji temu secara dalam talian sejak 1 Julai lalu selaras arahan pengoperasian perkhidmatan kaunter agensi kerajaan oleh Ketua Setiausaha Negara.

"Ada sesetengah kes permohonan yang ditangguhkan dan ia berlaku disebabkan pemohon tidak menyediakan dokumen lengkap," katanya.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) majlis akad nikah dalam tempoh PKP boleh dirujuk kepada Garis Panduan Pelaksanaan Majlis Akad Nikah Dalam Tempoh PKP Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Wilayah-Wilayah Persekutuan yang dikemas kini 28 Julai lalu.

Mengikut garis panduan dikuat kuasa bulan lalu, majlis akad nikah dibenarkan dilaksanakan di pejabat JAWI dan masjid terpilih ditetapkan JAWI.

"Kehadiran majlis akad nikah hanya dibenarkan membabitkan tiga orang dan mereka wajib menjalani ujian calitan tiga hari sebelum akad nikah.

"Setakat ini, syarat ujian calitan masih berkuat kuasa sehingga ada ketetapan baharu diumumkan dari semasa ke semasa.

"Pasangan juga hanya dibenarkan membawa mas kahwin," katanya.

Katanya, bagi pasangan yang merentas negeri atau daerah, mereka perlu mendapatkan permit rentas negeri daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

"Setakat ini, tiada kes pelanggaran SOP yang direkodkan kerana setiap pasangan sudah dimaklumkan terlebih dahulu mengenainya bagi majlis akad nikah ditetapkan.

"Pada masa sama, pemantauan dilakukan pegawai penguat kuasa agama (PPA) JAWI dari semasa ke semasa," katanya.

Berita Harian X