X
Selasa, 27 Julai 2021 | 11:11am
Wanita berhak mendapat pembelaan mengikut peruntukan undang-undang kekeluargaan. - Foto hiasan
Wanita berhak mendapat pembelaan mengikut peruntukan undang-undang kekeluargaan. - Foto hiasan

Elak jadi mangsa konflik rumah tangga

KUALA LUMPUR: Tiada pengetahuan mengenai hak dalam perundangan antara penyebab sebilangan wanita memilih terus bertahan dalam ikatan perkahwinan meskipun sudah beberapa tahun terhimpit dengan pelbagai konflik rumah tangga.

Ada antara isteri diabaikan suami secara zahir dan batin, digantung tidak bertali, berdepan keganasan rumah tangga dan didera secara emosi.

Namun, golongan itu terpaksa memilih mempertahankan perkahwinan yang sudah sedia musnah kerana merasakan nasib diri dan anak-anak tidak akan terbela jika memilih jalan perceraian.

Dalam situasi pandemik COVID-19 pula turut memberi kesan lebih parah terutama dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut membawa implikasi tersendiri.

Mengulas isu itu, peguam syariah, Elly Jasmin Aminuddin, berkata wanita perlu meningkatkan pengetahuan ilmu dalam undang-undang kekeluargaan supaya tahu hak mereka apabila berhadapan isu berkaitan konflik dalam rumah tangga.

Katanya, dalam banyak kes dikendalikannya, mendapati antara faktor menyebabkan wanita tidak sanggup bercerai kerana sering 'ditakut-takutkan' suami mengenai hak isteri seperti isu nusyuz dan hak penjagaan anak.

"Wanita tak patut risau. Lazimnya, ibu berhak menjaga anak terutama masih menyusu. Jika tiada apa-apa halangan, kebiasaannya hak penjagaan diperoleh ibu, sekiranya anak lelaki berumur di bawah tujuh tahun manakala anak perempuan di bawah sembilan tahun.

"Sekiranya ibu tidak bekerja, mereka boleh boleh mendapat hak penjagaan anak, kecuali suami dapat membuktikan isteri tiada berkelayakan sebagai ibu.

"Malangnya, masih ramai wanita yang enggan memfailkan perceraian terutama jika mereka tidak bekerja kerana takut hak penjagaan anak hilang secara automatik berikutan ketiadaan sumber pendapatan.

Wanita perlu celik mengenai undang-undang kekeluargaan elak jadi mangsa konflik rumah tangga. - Foto hiasan
Wanita perlu celik mengenai undang-undang kekeluargaan elak jadi mangsa konflik rumah tangga. - Foto hiasan

Bagi kes isteri digantung tidak bertali selama bertahun-tahun, beliau berkata, masih ramai tidak mengetahui mengenai kaedah lebih efektif dan cekap bagi membubarkan perkahwinan termasuk melalui proses hakam.

Sebelum ini, mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam, sesuatu perceraian tidak boleh berlaku jika suami enggan melafazkan talak tetapi penambahbaikkan yang dilakukan kini membolehkan isteri membuat permohonan bercerai secara hakam.

Melalui kaedah ini, katanya jika suami masih enggan melafazkan talak, hakam akan dilantik bagi mengambil kuasa melafaz talak suami dan seterusnya melafazkan cerai jika alasan yang dinyatakan isteri wajar dan munasabah mengikut peruntukan undang-undang.

Berbanding fasakh yang perlu melalui perbicaraan secara terbuka, proses hakam hanya membabitkan perbincangan di peringkat pertama melalui Jawatan Kuasa Pendamai (JKP), iaitu suami dan isteri boleh melantik wakil daripada ahli keluarga atau sesiapa mengetahui masalah dihadapi pasangan.

melalui proses perbicaraan.

Sehingga ini, masih ada isteri menyangka mereka tidak dilindungi oleh perundangan termasuk dalam hal tuntutan nafkah anak, hanya kerana menjadi pihak yang memfailkan perceraian.

"Isteri boleh memfailkan tuntutan nafkah anak di mahkamah dan sistem perundangan memastikan suami menunaikan tanggungjawab mereka.

"Mahkamah boleh memerintahkan gaji suami dipotong dan sekiranya masih cuai dan gagal, terdapat proses mereka boleh dipenjara kerana menghina mahkamah," katanya.

Elly Jasmin Aminuddin
Elly Jasmin Aminuddin

Bagi isteri berdepan masalah rumah tangga, lebih mudah berubah fikiran termasuk memaafkan suami tidak bertanggungjawab berikutan kegusaran hilang hak penjagaan anak serta tidak bekerja.

"Sebagai peguam, kami maklum hal ini bukan mudah buat, malah kebanyakan isteri berdepan dilema dan mengambil masa bertahun-tahun sebelum akhirnya membuat keputusan.

Sementara itu, peguam, Wan Amir Akram Zainal Abidin, berkata isu harta antara kes yang sering menimbulkan perbalahan dan pertikaian selepas perceraian.

Katanya, undang-undang syariah dan sivil di negara mampu melindungi hak wanita termasuk dalam aspek itu.

Hak wanita dalam Islam merangkumi sebelum dan semasa perkahwinan, selepas perpisahan dengan pasangan sama ada bercerai hidup atau disebabkan kematian.

Meskipun sudah bercerai dan suami sudah berkahwin semula tetapi bekas isteri masih mempunyai hak terhadap harta suami sepanjang tempoh ikatan pernikahan berlangsung.

Justeru, wanita perlu memperkasakan hak mereka dan mempunyai pengetahuan serta kefahaman asas berkaitan tanggungjawab suami isteri.

"Ini bertujuan memastikan nasib terbela, ia tidak hanya membabitkan suami isteri yang melalui proses perceraian, malah yang 'berpisah' disebabkan salah seorang daripadanya meninggal dunia," katanya.

Mengenai isu harta peninggalan selepas salah seorang pasangan meninggal dunia, bukanlah hal kecil dan sering kali menimbulkan perbalahan dan pertelingkahan terutama membabitkan isteri dan keluarga sebelah suami.

Dalam Islam, hak isteri terhadap harta sepencarian perlu dilunaskan terlebih dahulu.

"Harta sepencarian perlu dibahagikan 50:50, justeru, bahagian isteri sebanyak 50 peratus tidak boleh 'dikacau' keluarga suami.

"Selepas ditunaikan hak isteri dalam harta sepencarian, barulah bahagian suami yang tinggal 50 peratus lagi difaraidkan mengikut yang perlu." katanya.

Berita Harian X