Sabtu, 3 Oktober 2020 | 10:15am
HAMIL lewat usia mempunyai pelbagai komplikasi terhadap kesihatan ibu dan bayi. Gambar hiasan
HAMIL lewat usia mempunyai pelbagai komplikasi terhadap kesihatan ibu dan bayi. Gambar hiasan

Hamil lewat usia

MEMILIKI zuriat diidamkan setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga bagi melengkapkan institusi kekeluargaan.

Ada cepat, ada lewat dan ada pula yang tidak dapat menimang cahaya mata meskipun sudah berikhtiar pelbagai cara.

Kehamilan bergantung kepada tahap kesuburan mereka. Yang nyata, bilangan telur wanita yang bermutu berkurangan dan ovari akan berhenti menghasilkan telur apabila terputus haid, manakala lelaki mutu sperma berkurangan apabila usia semakin meningkat.

Namun, tidak mustahil, meskipun umur sudah mencapai usia emas, ada individu mampu hamil dan melahirkan anak.

Dunia pernah dikejutkan dengan berita seorang wanita India yang melahirkan bayi lelaki pada usia 70 tahun menerusi kaedah persenyawaan in vitro (IVF) manakala suaminya berusia 79 tahun.

Mengulas lanjut, Konsultan Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan MSU, Dr Nur Sakina Kamal Idzham, berkata wanita boleh mengandung selagi ovari seseorang itu masih berfungsi, tetapi risikonya agak tinggi apabila hamil pada lewat usia, iaitu melebihi 35 tahun ke atas.

Contohnya risiko ibu untuk mempunyai bayi Down Sindrom, pada usia 25 tahun adalah 1:1200. Pada usia 35 tahun, risikonya 1:350 wanita hamil. Apabila mencecah usia 40 tahun, risiko peratus (1:100).

"Risiko ini meningkat secara mendadak selepas usia 40 tahun. Contohnya pada usia 45 tahun risikonya 3.5 peratus (1:28)," katanya.

Reaksi Lewis Hamilton selepas mengungguli saingan Grand Prix (GP) Portugal, sebentar tadi. - Foto EPA
Reaksi Lewis Hamilton selepas mengungguli saingan Grand Prix (GP) Portugal, sebentar tadi. - Foto EPA

Kesan kepada ibu

Beliau berkata, kesan mengandung pada lewat usia kepada ibu adalah mereka berisiko tinggi menghidap penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, pre-eclampsia (darah tinggi dan sawan semasa mengandung) dan uri rendah (placenta previa).

Mereka juga berisiko tinggi mendapat komplikasi semasa proses kelahiran dan selepas bersalin seperti jangkitan kuman pada air ketuban, jangkitan kuman selepas bersalin, pendarahan yang banyak selepas bersalin, penyakit anemia dan kebarangkalian untuk bersalin secara pembedahan (ceasarean section) yang lebih tinggi.

Kesan kepada bayi

Risiko terhadap bayi pula adalah pertumbuhan terbantut, bayi tidak normal seperti Down Syndrome, Edwards Syndrome, Patau Syndrome, keguguran, kandungan kembar (multiple pregnancy), kandungan meninggal dalam rahim (stillbirth), baby dilahirkan pra-matang atau berat badan lebih ringan daripada sepatutnya dan bayi lemas dalam rahim.

Kesan jangka panjang kepada bayi dilahirkan

Dr Nur Sakina berkata, kesan jangka panjang ke atas bayi dilahirkan bergantung kepada komplikasi dihadapi ketika mengandung dan proses bersalin, usia bayi sewaktu dilahirkan serta masalah kesihatan ibu ketika beliau mengandung.

Contohnya, bayi yang dilahirkan pra-matang (sebelum 37 minggu) berisiko tinggi mempunyai komplikasi berkaitan dengannya.

"Ini termasuk lebih mudah dijangkiti kuman, mempunyai tahap imuniti badan lebih rendah, pertumbuhan otak, mata dan paru-paru tidak sempurna. Ini menyebabkan bayi ini mempunyai masalah pendengaran, penglihatan, pertumbuhan gigi dan kecacatan otak (cerebral palsy), masalah pembelajaran dan penyakit kronik seperti asma dan alergi.

Dr Nur Sakina Kamal Idzham.
Dr Nur Sakina Kamal Idzham.

Tahap kesuburan wanita

Tahap kesuburan wanita bergantung kepada usianya. Ini kerana semakin meningkat usia wanita, kualiti dan kuantiti telur di dalam ovarinya semakin berkurangan.

"Bagaimanapun ,selagi wanita itu mampu hamil, selagi itu boleh melahirkan anak. Jadi umur wanita itu bukan pengukur had melahirkan anak.," katanya

Cara kelahiran disarankan?

Memandangkan mengandung di lewat usia dikategorikan sebagai kandungan berisiko tinggi majoriti doktor pakar sakit puan akan menyarankan kandungan dilahirkan secara pembedahan.

Doktor akan memberi pilihan kepada pasangan berkenaan cara kelahiran. Antara risiko ketika proses kelahiran adalah bayi boleh meninggal di dalam rahim atau pendarahan sangat banyak selepas kelahiran.

Senario bersalin pada usia lanjut?

Dr Nur Sakina berkata, trend kelahiran pada usia lanjut sebenarnya berlaku ramai di Asia Barat dan negara di serata dunia lain, berikutan semakin ramai pasangan melewatkan usia untuk memulakan keluarga mereka.

Hal ini berlaku kerana mereka mempunyai komitmen lain seperti kerjaya, melanjutkan pendidikan, perubahan gaya hidup dan ingin memastikan status kewangan yang lebih kukuh.

"Malahan dengan teknologi perubatan semakin canggih seperti bayi tabung uji (IVF), usia bukan lagi penghalang pasangan mendapatkan bayi di usia lanjut," katanya.

Kesan penggunaan teknologi moden

Risiko mengandung di usia lanjut tetap ada, walaupun menggunakan teknologi perubatan moden. Tetapi risiko ini dapat dikenal pasti pada tahap lebih awal. Contohnya, bagi pasangan ingin mengandung pada usia lanjut, mereka mungkin akan memilih untuk membuat 'Next Generation IVF'.

"Ini adalah teknologi moden menggabungkan bayi tabung uji (IVF) dan mengambil beberapa sampel sel-sel janin (blastocyst) itu untuk diuji dengan lebih lanjut untuk masalah genetik (genetic screening).

Ini dapat membantu kami mengenal pasti pada tahap awal janin normal dan tidak normal.

"Dengan cara ini, kami dapat mengurangkan risiko seseorang wanita itu mengandungkan bayi tidak normal contohnya Down Syndrome, Patau, Edwards Syndrome dan sebagainya," katanya.

Dari sudut Islam pula, teknologi IVF ini dibenarkan selagi pasangan suami isteri itu menggunakan sperma dan telur (ovum) mereka sendiri. Janin yang dihasilkan daripada teknologi ini juga harus dimasukkan semula ke dalam rahim isteri.

Berita Harian X