Jumaat, 10 April 2020 | 3:16pm
Dr Azuraida Shahadan dan Dr Taufiq Razif menunjukkan e-Book dihasilkan mereka khusus untuk ibu bapa mendidik nilai-nilai murni kepada anak-anak.
Dr Azuraida Shahadan dan Dr Taufiq Razif menunjukkan e-Book dihasilkan mereka khusus untuk ibu bapa mendidik nilai-nilai murni kepada anak-anak.

Hasilkan e-Book bantu ibu bapa didik anak, jana pendapatan

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu susulan penularan wabak COVID-19, mengakibatkan aktiviti di luar terpaksa dihadkan yang adakalanya menyebabkan ibu bapa buntu memikirkan apa lagi kegiatan boleh dilakukan anak-anak mereka di rumah.

Menyedari perkara itu, dua pakar ilmu keibubapaan, Dr Azuraida Shahadan dan Dr Taufiq Razif mengambil inisiatif membangunkan buku elektronik (e-Book) khusus untuk ibu bapa menjalankan aktiviti bersama anak-anak berusia empat hingga lapan tahun sepanjang tempoh PKP.

Mereka yang juga ‘influencer’ media sosial mengusahakan projek berkenaan dengan kerjasama beberapa pihak lain, memakumkan buku bertajuk ‘Book of Manners’ itu antara lain memberi tumpuan untuk membantu ibu bapa membentuk sikap dan peribadi mulia dalam kalangan anak-anak.

Azuraida berkata, ia adalah sebuah buku cerita dan buku aktiviti mengenai sikap dan kelakuan murni yang pada mulanya dijadual dilancarkan sempena Hari Anugerah Buku Negara 2020 pada Julai ini, namun diawalkan bagi membantu pihak-pihak yang terkesan dengan PKP.

Katanya, naskhah berkenaan mengandungi tiga set buku bertajuk ‘Mouth is not for complaining’, ‘Hair is not for pulling’ dan ‘Eyes are not for crying’ yang dibangunkan dengan kerjasama ‘Team Online Duo Heroes’, Sifu Asyraf dan Sifu De Amirul.

“Ketiga-tiga buku ini akan mendidik anak-anak untuk memahami kelakuan dan sikap yang sebetulnya, tidak bercakap yang bukan-bukan sepanjang PKP. Sekarang masa yang baik untuk mendidik anak-anak kerana rata-rata sekarang, mereka seperti hilang arah tujuan dan tiada aktiviti harian,” katanya.

Sementara itu, Dr Taufiq berkata, projek berkenaan juga memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk menjana pendapatan, terutama mereka yang terjejas dengan arahan PKP.

“PKP sememangnya memberi impak kepada ramai individu, sama ada yang bekerja sepenuh masa atau sambilan. Ramai yang terkesan dan memerlukan bantuan kewangan bagi memenuhi keperluan harian.

“Kami mahu membantu individu yang terjejas dengan PKP seperti peniaga-peniaga kecil, suri rumah terutama mereka yang sebelum ini mengusahakan perniagaan, pekerja harian, pekerja kontrak, malah pelajar universiti,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya membuka pendaftaran dan menyediakan khidmat latihan secara percuma serta mudah difahami untuk mereka yang berminat menjana pendapatan menerusi jualan e-Book berkenaan.

“Kami sediakan semuanya, ahli hanya perlu kongsi maklumat di Facebook atau kumpulan WhatsApp masing-masing untuk menjana pendapatan. Ini medium terbaik untuk semua yang terkesan dengan PKP terus menjana pendapatan dan kami berharap platform ini mampu membantu ramai,” katanya.

Mereka yang mahu mendapatkan maklumat lanjut, boleh melayari laman web https://drazu.theduoheroes.com atau menerusi WhatsApp di talian 018-4666765.

Berita Harian X