Sabtu, 2 November 2019 | 1:43pm
MAZLAN (belakang kanan) bersama peladang yang turut menyertai Program Nescafe Disemai Dengan Kasih, baru-baru ini.

Tanam pokok kopi jana pendapatan lumayan

KUALA LUMPUR: Program Nescafe Grown Respectfully (Disemai Dengan Kasih) yang diperkenalkan Nestle Malaysia memberikan nafas baharu kepada peladang kerana dapat kopi dengan lebih efektif sekali gus mampu menjana pendapatan lebih lumayan.

Peladang, Romlah Hamid, 63, berkata sebelum ini kebanyakan peladang kurang mengetahui ilmu dan kaedah menanam kopi yang lebih efektif, bagi menjana pendapatan.

“Sebelum mengikuti program Nestle saya kurang ilmu dari segi dalam penjagaan pokok kopi dan pelbagai cabaran dihadapi kerana lebih tertumpu kepada cara lama.

“Saya orang kampung dan tidak mempunyai pengetahuan berkaitannya. Kebanyakan orang kampung menanam mengikut cara lama.

“Selepas mengikuti program itu kami didedahkan dengan teknik cantuman, pemprosesan biji benih dan pembajaan anak benih di dalam polibeg.

“Selepas beberapa bulan, kami menjalankan proses mengahwinkan pokok, sebelum membawa keluar anak pokok daripada tapak semaian ke ladang.

“Menanam kopi membantu meningkatkan ekonomi keluarga saya, seterusnya dapat menampung persekolahan anak.

“Saya juga dapat menikmati apa yang tidak pernah dicapai sebelum ini,” katanya.

Perasaan sama dikongsi Mazlan Isa, 52 dari Kampung Bandar Hilir di Sik, Kedah, yang mula menanam kopi sejak tahun 2000, namun hasilnya tidak seperti apa yang diperoleh selepas mengikuti kursus dianjurkan Nestle.

“Nestle banyak membantu saya dari segi memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar dalam pengurusan kopi.

“Melalui program ini saya mendapat banyak pengalaman mengenai penanaman dan penjagaan kopi lebih efektif.

“Antara khidmat nasihat yang diberikan adalah cara memilih benih kopi, cantuman pokok kopi dan penanaman sehingga ia berbuah.

“Selepas pokok itu berbuah, mereka menunjuk cara penjagaan dari segi merawat sekiranya ada pokok yang sakit, penggunaan baja yang betul, termasuk memilih racun serangga yang sesuai.

“Saya berminat mengusahakan tanaman kopi sebab ia menguntungkan dan membantu saya dan keluarga dari segi hasilnya.

“Saya gembira sebab kopi saya sudah boleh menampung keperluan kopi di negara ini, malah tidak lagi perlu mengimport dari negara luar,” katanya.

Berita Harian X