Isnin, 30 September 2019 | 10:12am
Mohd Asri beramah mesra dengan pesakit muda kanser, Muhamad Nazri Mohd Suki di Wad Pediatrik, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur (HWKKKL). - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Berjuang lawan kanser seawal usia

KUALA LUMPUR: Berat hati untuk reda apabila anak yang ditatang bagai minyak yang penuh tidak lagi lincah disebabkan menderita kanser, sekali gus membuatkan seluruh masa si ibu menemani permata mata kesayangannya.

Faktor diagnosis kanser yang diketahui secara tiba-tiba bukan sahaja merubah rutin keluarga dengan kebanyakan masa dihabiskan di hospital bagi menjalani rawatan demi rawatan, biarpun emosinya hancur berkecai di kala menyaksikan anaknya tidak lagi seperti kanak-kanak seusia lain.

Bagi ibu empat cahaya mata dari Seremban, Nur Izrah Abu, 32, antara insan yang melalui senario itu, namun perlu tabah apabila anak bongsunya, Nur Sakinah Khaira Mohd Fairil, 20 bulan, disahkan mengidap kanser saraf tahap empat, kira-kira empat bulan lalu.

“Pada usia setahun lebih, Sakinah sudah boleh berjalan tetapi secara tiba-tiba kesihatannya merosot hanya terbaring tidak berdaya berdiri memperlihatkan sesuatu yang luar biasa.

“Pelbagai ujian dan pemeriksaan dijalankan dan akhirnya kesnya dirujuk di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan sejak daripada itu sudah lapan kali menjalani rawatan kemoterapi.

“Saya sering keluar masuk hospital, namun di sebalik saya bersyukur keadaan terkininya semakin beransur baik,” katanya.

Nur Izrah dan anaknya antara 36 pesakit di Wad Kanser Pediatrik Hospital Wanita dan Kanak-kanak, HKL yang menerima sesi ziarah dan penyampaian sumbangan daripada Hong Leong MSIG Takaful (HLMT) yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Asri Omar.


Nur Izrah bersama anaknya, Nur Sakinah Khaira. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Sempena kunjungan itu, HLMT memberikan sumbangan berjumlah RM10,000 yang diterima Penolong Pengarah hospital berkenaan, Cheng Lai Kuan sebagai wakil.

Nur Izrah yang juga suri rumah berkata, beliau berfikiran positif apabila menemui ramai ibu bapa dan kanak-kanak lain yang sekian lama berjuang melawan kanser tetapi mereka langsung tidak pernah mengalah kerana percaya Allah sebaik-baik tempat memohon pertolongan.

“Berikutan keperluan Sakinah yang sering berulang-alik ke hospital ini, saya dan suami menghantar dua anak kami ke kampung untuk dijaga keluarga termasuk memindahkan persekolahan mereka di Chini, Pahang untuk memberikan sepenuh tumpuan penyembuhan si adik manakala seorang lain dijaga suami.

“Harapan kami adalah mengembalikan kehidupan biasanya dan berharap tidak akan berhenti berikhtiar kerana yakin dia akan kembali pulih, membesar dengan kakak dan abangnya,” katanya.

Bagi seorang lagi ibu, Nor Ikma Shida Wahidon, 35, yang setia menemani anaknya, Muhammad Ikhwan Hafiq Abdul Rasyid, 7, reda dengan ketentuan takdir selepas mengetahui anaknya menderita kanser limfoma, awal tahun ini.

“Saya bersyukur di sebalik dugaan ini, suami, keluarga tidak putus-putus memberikan semangat, sokongan supaya tidak lemah ditenggelami beban emosi kerana saya perlu kuat untuk menjaga anak ini.


Nor Ikma Shida menemani Muhammad Ikhwan Hafiq yang menerima rawatan di Wad Kanser Pediatrik, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur (HWKKKL). - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

“Sejujurnya sebagai ibu yang melihatnya membesar dengan sihat, bagaimanapun akur dengan ketentuan Allah SWT yang tidak akan menguji hamba-nya di luar kemampuan," katanya.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, pihaknya sentiasa komited terhadap dasar tanggungjawab sosial korporat dalam usaha menuju ke arah pembangunan masyarakat, selain berhasrat meneruskan usaha turun padang dalam menyebarkan kepentingan perlindungan takaful sejak usia muda.

Katanya, setiap pesakit dihadiahkan sumbangan cenderahati bernilai RM100 seorang dengan dikunjungi maskot khas bagi menceriakan mereka.

"Di Malaysia, kanser adalah masalah kesihatan utama dengan kira-kira 37,000 kes baharu disahkan setiap tahun. Bagaimanapun, dengan kemajuan teknologi perubatan terkini, penyakit tidak berjangkit (NCD) boleh dikawal dengan lebih baik dan mempunyai kadar kematian rendah jika diberi rawatan awal serta gaya hidup sihat,” katanya.

Mohd Asri berkata, sebagai penyelesaiannya, mengambil perlindungan takaful penyakit kritikal di usia muda mampu menjamin kadar kelangsungan hidup lebih baik serta mengurangkan beban keluarga pesakit, bil pembiayaan tinggi, simpanan menerusi faedah takaful,” katanya.

Berita Harian X