Jumaat, 27 September 2019 | 2:38pm

Upah profesional pantau kebajikan warga emas

KUALA LUMPUR: Bertanya atau bercerita berulang-ulang kali mengenai sesuatu perkara, mudah lupa, cepat marah dan bertindak agresif dalam kalangan pesakit alzheimer dianggap perkara biasa, namun penjaga atau anak perlu mempunyai tahap kesabaran tinggi bagi membantu mereka hidup lebih sempurna.

Penjaga juga perlu memahami keadaan warga emas itu dengan bijak berkomunikasi, mahir memujuk dan mengetahui bagaimana hendak menenangkan mereka pada situasi tertentu.

Norwahida Hussin, 38, dan T Jeyyanthi, 33, memilih kerjaya sebagai penjaga profesional pesakit alzheimer melalui pelbagai pengalaman mengurus warga emas berkenaan.


PENJAGA professional, Noorwahida Hussin (kanan) bersama rakannya Jeyyanthi Tamilselvam. NSTP/Rohanis Shukri.

Kebanyakannya golongan berkenaan terutama yang alzheimer atau nyanyuk tidak disukai orang lain walaupun darah daging mereka sendiri.

Norwahida yang juga jururawat berpengalaman selama 17 tahun dalam penjagaan unit rawatan rapi (ICU) di hospital swasta, berkata terutama ahli keluarga terdekat perlu dididik dan diberi maklumat berkaitan panduan menjaga golongan.

“Stigma menganggap anak yang mengupah orang lain menjaga warga emas, termasuk yang nyanyuk perlu dikikis kerana ia adalah antara langkah terbaik bagi memastikan kebajikan mereka terbela.

“Pada masa dulu, mungkin cara ini bertentangan budaya tetapi anggapan itu perlu ditukar sejajar perkembangan kini yang mana, anak sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa menemani ibu bapa sepanjang masa,” katanya.

Pantau perkembangan kesihatan

Norwahida, ibu kepada lima anak berkata, penjaga profesional akan memantau kebajikan dan keperluan pesakit termasuk menasihati atau memberi panduan kepada anak serta ahli keluarga lain seperti jadual berjumpa doktor atau berkongsi perkembangan pesakit.

Katanya, berbeza dengan kaum Cina dan India, Melayu adalah golongan paling kurang mendapatkan khidmat penjaga profesional kerana kurang kesedaran mengenai kepentingannya, selain stigma dalam masyarakat.

Warga emas yang mengalami alzheimer perlu diberi perhatian dan memantau keselamatan kerana sering lupa atau sesat apabila berjalan sendirian, selain mengelak kemalangan tidak diingini.

“Ramai anak mudah bosan melayan kerenah mereka yang sering mengulang-ulang cerita sama setiap kali berjumpa.

“Bagaimanapun, sebagai anak, kita perlu bersabar kerana ada masa, penghidap alzheimer akan lupa mengenai apa yang baru berlaku, tetapi lebih mengingati zaman kecil mereka.

“Sebagai penjaga, kita perlu menjadi pendengar yang baik dan mendengar apa saja yang diceritakan walaupun sudah beribu kali diulang.

“Begitu juga dalam soal lain, sebagai contoh, mereka sering kata lapar sedangkan baru saja diberi makan. Kita kena cakap secara lembut bahawa dia baru saja makan,” katanya.

Ada masa bertindak agresif

Pengalaman tidak dapat dilupakan Norwahida ketika sedang sarat hamil, beliau ditolak oleh pesakit yang secara tiba-tiba bertindak agresif dan terpaksa diberikan suntikan penenang.

“Selepas dia sedar saya tidak memarahi pesakit berkenaan sebaliknya terus memberikannya minum air. Selepas ingatannya kembali waras, pesakit itu memohon maaf apabila ada jururawat lain bercerita mengenai kejadian itu.

Jeyyanthi berkata, penghidap alzheimer hanya menginginkan seseorang menemani mereka, memegang tangan dan mendengar apa yang ingin diceritakan.

“Bagi saya, pesakit hanya mahukan perhatian sedangkan anak sibuk bekerja mencari rezeki. Sebagai penjaga, tugas saya membawa mereka berjalan-jalan di sekitar rumah, memandikan, memberi makan dan berborak dengan mereka.

“Semua ini dapat melegakan perasaan mereka selain rasa lebih dihargai dan tidak terabai. Malah ada yang menganggap kami sebagai anak mereka sendiri,” katanya.

Beliau yang juga jururawat terlatih selama 10 tahun dan terbabit dengan kerjaya sebagai penjaga profesional sejak lima bulan lalu, mengakui cabaran utama menjaga pesakit alzheimer adalah dengan mengawal emosi.

Katanya, penjaga harus faham, pesakit biasanya berasa sangat kecewa dengan keadaan diri mereka kerana sering lupa, cepat marah dan merasakan tidak berguna lagi untuk meneruskan kehidupan.

“Ada pesakit yang tidak mahu mandi dan makan terpaksa dipujuk dengan sabar.

“Sebagai penjaga, kita perlu bijak memujuk dan peka dengan apa yang mereka suka buat. Keperluan penjagaan bergantung kepada kes pesakit, ada mahu dijaga setiap hari, beberapa jam sehari, pada hujung minggu saja atau ketika anak tiada di rumah kerana bekerja,” katanya.

Katanya, anak seharusnya peka dengan tanda awal alzheimer seperti sering lupa yang berterusan dan segera mendapatkan rawatan dengan berjumpa doktor bagi memperlahankan proses lupa ingatan.

Berita Harian X