Rabu, 18 September 2019 | 12:26pm
Alumni OSU meraikan Muhrizah di Shah Alam, baru-baru ini.

Muhrizah bangga bergelar 'ibu' pelajar di Oklahoma

SHAH ALAM: Muhrizah Mohd Darus, 81, terkenal dalam kalangan pelajar Malaysia yang menuntut Oklahoma State University (OSU), terus menghulurkan bantuan kepada pelajar yang memerlukan.

Beliau yang juga pesara Koordinator Program Pelajar Antarabangsa OSU, berkata sepanjang menetap di sana tidak ada apa yang menggembirakan hatinya, melainkan dapat membantu pelajar di sini.

Ketika ditemui pada majlis pertemuan yang dianjurkan alumni pelajar OSU di sini baru-baru ini, Muhrizah berkata, pelajar ini seperti ‘anak-anaknya’ dan suami, Alan W Brunken, 80, sedaya upaya cuba membantu mereka.

“Memahami keadaan mereka, pelajar ini terpaksa berpisah dengan keluarga sepanjang tempoh di sini dan saya begitu selesa menjadi rujukan serta tempat mengadu. Ini bermula sejak 1980-an lagi, apabila kerajaan mula menghantar kumpulan pelajar belajar di luar negara.

“Di tambah pula, ketika itu saya satu-satunya rakyat Malaysia bertugas di bahagian program kebudayaan pelajar OSU dan menetap di Stillwater, Oklahoma.

“Maka, terpanggil untuk berbakti kepada negara dengan memberi bantuan kepada pelajar kita,” katanya kepada BH.

Berkumpul hujung minggu

Katanya, selain sering mengajak pelajar Malaysia datang ke rumahnya setiap hujung minggu, beliau turut menjaga kebajikan mereka.

“Saya gembira setiap kali pelajar datang meraikan sambutan perayaan, kehadiran mereka memberi semangat kepada saya untuk menyediakan juadah tradisional untuk dinikmati bersama. Sekurang-kurangnya dapat menghilangkan kerinduan mereka dengan keluarga di kampung halaman.

“Saya pernah menjahit sendiri pakaian pelajar yang ingin membuat persembahan kebudayaan. Saya akan mencari peralatan sesuai kerana tidak mahu mengganggu tumpuan mereka ketika belajar,” katanya.

Muhrizah yang juga bekas pelajar Kolej Perguruan Kirby, Liverpool United Kingdom, berkata pelajar OSU era 1980-an memanggilnya Kak Muhrizah dan ini menambahkan lagi kemesraan.

“Manakala pelajar zaman 1990-an, mula memanggil saya ‘Mummy' sementara suami mesra dengan sapaan Pak Alan. Panggilan sedemikian menambahkan lagi kemesraan antara kami,” katanya.

Sebuah keluarga besar

Muhrizah berkata, ikatan yang terjalin sejak sekian lama menjadikan mereka sebagai sebuah keluarga besar, saling sentiasa bertanya khabar dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, kehadiran pelajar ke rumahnya terutama setiap kali hujung minggu menjadikan kehidupannya di bumi asing begitu menghiburkan.

“Wujud keserasian antara kami malah pelajar juga selesa melayan diri ketika berada di rumah kami, tidak segan ke dapur menikmati sajian. Sepanjang tempoh itu juga saya bersyukur mempunyai suami yang prihatin terhadap pelajar.


Muhrizah (tengah) dengan pelajar rakyat Malaysia pada majlis Konvokesyen OSU.

“Pak Alan suka makan dalca dan roti canai, apabila saya memasaknya, pelajar datang membantu. Suasana ini mewujudkan satu keluarga yang harmoni,” katanya.

Alumni OSU, Fara Aris, berkata ketika menuntut dulu, Mummy menjaganya selama seminggu kerana demam.

Beliau berkata, layanan mesra yang diberikan sepanjang tempoh itu tidak dapat dilupakan sepanjang hayat.

“Layanannya umpama ibu, sanggup menjaga sepanjang malam. Setiap kali terjaga Mummy bertanya perihal diri, seolah-olah beliau tidak tidur. Ketika itu, terbayang ibu di kampung yang bersusah payah menjaga kita tanpa mengira masa.

Fara berkata, sikap Mummy begitu peramah dan penyayang menyebabkan semua pelajar yang pernah mengenalinya sedih apabila terpaksa berpisah sebaik sahaja menamatkan pengajian.

Biodata:
Nama : Muhrizah Mohd Darus
Pendidikan : Ijazah Komersial Art dan Master Pendidikan
Pekerjaan : Bekas kakitangan bahagian kebudayaan Oklahoma State University (OSU)
Tahun bekerja : 1979
Panggilan mesra : Mummy
Suami : Alan W Brunken, 80
Pekerjaan : Professor Architectural Design, Oklahoma State University (OSU)
Panggilan : Pak Alan.

Berita Harian X