Isnin, 16 September 2019 | 2:34pm
RAZHIYAH menunjukkan sebahagian piala dan sijil penghargaan yang diperolehi dari peringkat negeri dan luar negara. - Foto Zaman Huri Isa

Layan mereka sama rata, prestasi setiap anak berbeza

KOTA BHARU: Walaupun namanya sudah dikenali di persada dunia dalam bidang pendidikan selepas menerima dua pencapaian terbaik pada peringkat antarabangsa, namun guru pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji, di sini, tidak mahu berhenti setakat itu.

K A Razhiyah Mohamed Kutty, 60, menganggap mengajar pelajar istimewa memberi satu kepuasan dan keseronokan terutama apabila mereka berjaya menguasai kemahiran diajar.

Katanya, meskipun mengajar pelajar berkenaan mengambil masa agak lama, namun tidak pernah melenturkan semangat dan lelah berdepan dengan mereka.

Guru adalah pendidik dan pembimbing yang menyumbang khidmat bakti, selain menjadi penggerak serta pendukung kepada pembangunan pendidikan negara.

“Pencapaian tertinggi saya ialah tersenarai antara 50 guru terbaik dunia dan menerima anugerah Hadiah Guru Global 2018 anjuran Yayasan Varkey, di London, United Kingdom (UK) dan Anugerah Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia 2019 pada Persidangan Special Education Network and Inclusion Association (SENIA), di Hong Kong pada 24 Februari lalu.

“Lebih mengejutkan baru-baru ini, saya memenangi Anugerah Puteri Maha Chakri (PMCA) 2019 anjuran Yayasan Anugerah Maha Chakri, diwakili 11 negara Asia Tenggara yang diadakan setiap dua tahun sekali.

“Saya menerima wang tunai AS$10,000 (RM41,791). Anugerah PMCA yang diterima itu paling berprestij dan besar kerana mereka benar-benar mengangkat kedudukan guru.

“Pengiktirafan kepada kami sebagai pendidik yang sedia berbakti dan menyumbang ilmu kepada masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui, di sini.

30 tahun mengajar

Razhiyah yang memulakan karier sebagai pendidik sejak 1985 dan sudah 30 tahun mengajar pelajar pendidikan khas, menganggap semua anugerah yang dimenanginya bukan milik peribadi.

Beliau, menganggap ia adalah gandingan dan sokongan pelbagai pihak termasuk pelajar istimewa, ibu bapa, sekolah, jabatan pendidikan dan Kementerian Pendidikan.


RAZHIYAH mengajar sebahagian pelajar dalam bilik darjah yang dinamakan Teratak Spa di SMK Panji. - Foto Zaman Huri Isa

Katanya, beliau yang sepatutnya bersara pada hujung tahun ini memohon untuk melanjutkan perkhidmatan sebagai guru kerana mahu terus menabur bakti kepada anak bangsa, khususnya pelajar orang kurang upaya (OKU).

“Mengajar pelajar pendidikan khas membolehkan saya meneroka pelbagai idea bagi memastikan mereka mengembangkan kemahiran yang dimiliki walaupun tidak boleh membaca dan menulis dengan baik.

“Apabila saya memenangi Anugerah PMCA ini, saya merancang membuka spa yang dikendalikan oleh anak istimewa.

“Saya melihat ada pelajar yang mempunyai bakat dalam bidang ini, namun tidak ada tempat sesuai, selain pengusaha salun tidak membuka peluang untuk bekerja dengan mereka.

“Namun, di Malaysia, kita jarang melihat anak istimewa diberi peluang menunjukkan bakat sebagai terapi spa.

“Oleh itu, saya akan berusaha mewujudkan spa untuk anak istimewa itu,” katanya yang turut meraih 15 anugerah pada peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.

Pendidikan sama rata

Katanya, selain guru, ibu bapa juga memainkan peranan penting supaya anak-anak mereka mendapat pendidikan sewajarnya walaupun berbeza dengan pelajar arus perdana.

“Guru hanya menyumbang ilmu, kemahiran serta mendidik anak-anak mereka di sekolah, namun jika ibu bapa bijak memainkan peranan, tidak mustahil mereka boleh berjaya dan menjadi seorang insan berguna kepada masyarakat satu hari kelak.

“Pada masa sama, masyarakat juga memainkan peranan iaitu dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada insan istimewa, mewujudkan peluang perniagaan dikendalikan insan istimewa atau menyokong produk yang dihasilkan mereka.

“Setiap murid mempunyai bakat dan kebolehan masing-masing perlu diterokai dan dikembangkan. Jangan sesekali memandang serong atas masalah yang dimiliki mereka kerana pelajar istimewa ini juga mempunyai bakat tersendiri,” katanya.

Berita Harian X