Rabu, 10 Julai 2019 | 12:15pm
LANGKAH menggalakkan warga emas bekerja selepas bersara dapat mengoptimumkan sumber tenaga manusia bagi memenuhi keperluan pasaran kerja serta berdaya saing. - Foto hiasan

Optimum kepakaran tenaga kerja

KUALA LUMPUR: Inisiatif menggalakkan warga emas kembali bekerja selepas bersara dilihat sebagai mekanisme terbaik mengoptimumkan sumber tenaga bagi memenuhi pasaran kerja yang lebih berdaya saing.

Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Madeline Berma, usaha ini sejajar dengan status Malaysia sebagai negara tua menjelang 2030.

Beliau berkata, 11 tahun lagi, individu berusia 65 tahun dijangka meningkat sekali gus menyaksikan jangka hayat semakin panjang disebabkan kemudahan perkhidmatan perubatan yang semakin canggih.


(DARI kiri) Madeline Berma, Noraini Long, Aida Fazira Nazri dan Hana Malissa.

Katanya, berhadapan situasi itu, kerajaan perlu bersedia menerusi pelan pelaksanaan nasional dengan memberi perhatian khusus kepada warga emas, selain mengambil kira kebajikan mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup.

“Ini penting kerana peningkatan populasi warga emas menambah permintaan bagi kemudahan kesihatan, rekreasi, pengangkutan serta sistem sokongan terutama perbelanjaan sara diri.

“Justeru berbekalkan kepakaran, ilmu dan pengalaman yang mereka miliki boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negara,” katanya ketika dihubungi BH.

Sejajar perkembangan itu, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), aktif merangkakan pelan menggalakkan pesara kembali sebagai tenaga kerja aktif.

Laporan penyelidikan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) KWAP baru-baru ini, menunjukkan pesara kerajaan dan bakal pesara masih produktif untuk menjana ekonomi keluarga walaupun sudah meninggalkan pekerjaan selepas bersara.

Bengkel Pesara Aktif Berkerjaya anjuran KWAP, membantu pesara awam dan organisasi berkaitan meningkatkan peluang kembali bekerja bagi memastikan kelestarian sumber manusia.

Madeline berkata, peluang pekerjaan kepada pesara bukan hanya mengurangkan kebergantungan kepada simpanan sedia ada, malah pada masa sama mengekalkan cara hidup lebih seimbang dan berkualiti.

Eksekutif Open University Malaysia (OUM), Noraini Long, 39, berkata persediaan menghadapi hari tua perlu dilakukan seawal usia.

Persediaan itu katanya, bukan sekadar menyediakan simpanan kewangan semata-mata, malah yang penting penjagaan kesihatan dengan sempurna untuk kekal sihat dan cergas.

“Di awal kerjaya kita biasanya terikat dengan pelbagai komitmen antaranya bayaran balik pinjaman pengajian dan membeli kenderaan.

“Apabila status kewangan semakin stabil ketika memasuki usia 30-an, fokus terarah kepada cara mempelbagaikan instrumen pelaburan terutama simpanan paksa.

“Ini kerana dana persaraan tidak boleh diharapkan pada imbuhan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semata-mata kerana akan habis dalam tempoh beberapa tahun saja jika gagal diuruskan dengan sempurna,” katanya yang selesa menggunakan perkhidmatan komuter dari Bangi ke ibu negara setiap hari berbanding memandu.

Sebagai persediaan lain, Noraini berkata, setiap individu bekerja harus memaksimumkan simpanan menerusi pelaburan unit amanah selain simpanan khas dengan kadar pulangan berdaya saing.

Tukang jahit, Aida Fazira Nazri, 33, berkata keputusan meninggalkan kerjaya yang menjanjikan imbuhan tetap menguji kemampuan diri menerajui bidang perniagaan dengan menguruskan perolehan secara bijak.

“Sejak enam tahun lalu saya menjadi tukang jahit sepenuh masa. Keputusan dibuat selepas mengikuti latihan menjahit. Perolehan yang tidak menentu ini menjadikan saya lebih berdisiplin dalam berbelanja,” katanya.

“Memandangkan saya tiada mencarum bersama KWSP, namun sentiasa optimis mengembangkan perniagaan dan simpanan sebagai persiapan menjelang hari tua.

“Saya bercadang menjelang usia 45 tahun boleh bersara awal untuk menikmati masa sendiri selain menikmati hasil simpanan dan membelanjakannya secara berhemah,” katanya tinggal di Kampung Baru.

Bagi Penolong Pegawai Perancang Bandar, Hana Malissa Mazlan, 33, beliau tidak mempunyai perancangan mengikut jejak langkah rakan sama pengajiannya, Aida Fazira, tetapi seronok memiliki aset rumah kos rendah dan rumah kedai yang kini disewakan.

“Jika diizinkan saya mahu melangsaikan semua pinjaman perumahan pada tempoh yang singkat selain hendak menikmati tempoh persaraan tanpa sebarang beban hutang.

“Sebagai perancangan masa depan, saya akan membuka perniagaan selain merancang mempelbagai dana simpanan untuk masa depan diri dan keluarga,” katanya yang menetap di Shah Alam.

Berita Harian X