Ahad, 16 Jun 2019 | 3:27pm
MAZIDATON Mokhtar
MAZIDATON Mokhtar

Pengurus jenazah perlu amanah, peka perasaan keluarga

KUALA LUMPUR: Bukan semua berani memandikan jenazah, apatah lagi masyarakat sering dimomokkan dengan gangguan mistik, badi mayat atau perlu menguruskan orang yang tiada pertalian serta penghidap HIV atau AIDS.

Bagaimanapun keadaan itu terpaksa diterima khususnya petugas institusi keagamaan, hospital atau pihak berkuasa tempatan seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), kerana ia membabitkan urusan terakhir jasad manusia.

Kakitangan JAWI, Mazidaton Mokhtar, 55, antara wira tidak didendang, berjasa menyempurnakan fardu kifayah itu menerusi tuntutan tugasnya memandikan jenazah khususnya yang tidak dituntut, tiada waris dan meninggal dunia disebabkan penyakit HIV/AIDS.

Beliau diberi tanggungjawab kerana ketika itu bertugas di bahagian dakwah jabatan berkenaan selama kira-kira 12 tahun.

Sejak itu lebih 300 jenazah disempurnakan yang kebanyakan tidak dituntut sekian lama di hospital sekitar ibu kota.

“Saya sendiri ketika itu tiada pengalaman dan masih hijau. Jadi ketika permulaan, saya dibimbing ustaz yang memandikan jenazah lelaki, iaitu berkaitan tatatertib tetapi perlu menyesuaikan keadaan yang mana si mati adalah Allahyarhamah.

“Bermula dengan cara mempelajari kaedah sepatutnya, tugasan memandikan jenazah perlu dilakukan dengan penuh ketelitian kerana jenazah merasai kesakitan apabila jasad kaku itu dikasari.

“Kita tidak boleh memandikan jenazah seperti orang hidup atau membasuh kereta, sebaliknya setiap perbuatan perlu dilakukan dengan kelembutan, menggosok perlahan tubuh dan meratakan air mandian ke seluruh anggotanya,” katanya yang ketika ini bertugas di bahagian pengurusan masjid di Masjid Al-Imam Al-Ghazali, Bandar Manjalara, Kepong sejak 2012.

Tak alami kejadian pelik

Sepanjang pengalamannya, beliau tidak pernah diganggu kejadian pelik kecuali mula-mula memandikan jenazah atau teringat-ingat keadaan mayat.

“Misalnya kita tidak boleh merenung ke wajahnya. Sebaiknya mula menyelak plastik penutup mayat lihat dari kakinya kerana ada jenazah yang tiada anggota, misalnya tiada kepala, kaki atau tangan.

MAZIDATON Mokhtar (kanan) memberikan penerangan kepada para peserta yang mengikuti Program pengurusan jenazah wanita oleh Persatuan Kariah Wanita di Masjid Abu Bakar Assidiq. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
MAZIDATON Mokhtar (kanan) memberikan penerangan kepada para peserta yang mengikuti Program pengurusan jenazah wanita oleh Persatuan Kariah Wanita di Masjid Abu Bakar Assidiq. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

“Anggaplah urusan ini ibadat fardu kifayah, di samping tidak putus-putus sedekahkan al-Fatihah dan surah lain kerana lazimnya mayat itu mampu mendengar dan melihat kita memperlakukan jasadnya,” katanya yang berpeluang memandikan arwah ayahnya yang meninggal dunia pada 2006 selepas enam tahun beliau bertugas memandikan jenazah pada 1998.

Mandikan pesakit HIV/AIDS

Menceritakan pengalamannya menguruskan jenazah pesakit HIV/AIDS, seperti mayat biasa yang memerlukannya dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan seterusnya dikebumikan.

“Bagaimanapun, sebagai langkah mengelakkan daripada merebak kuman, petugas perlu memakai dua lapisan sarung tangan, apron dan penutup muka, memakai but getah serta memastikan tiada luka terdedah bagi mengelakkan jangkitan,” katanya.

Urusan jenazah pesakit itu kebiasaannya dibuat di hospital dengan dipantau inspektor kesihatan di Jabatan Kesihatan Negeri dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Mazidaton berkata, sebelum menguruskan jenazah, beliau akan menyiapkan peralatan yang diperlukan. Sebagai tambahan, pihaknya perlukan bahan peluntur sebanyak lima liter dan semua bahan itu akan dimasukkan ke dalam baldi.

“Sebelum jenazah dimandikan, cecair peluntur diratakan ke seluruh tubuhnya dengan keseluruhan badan dilindungi sarung tangan getah, apron plastik, penutup muka dan gogal.

“Penggunaan peralatan ini bertujuan mengelak cecair daripada jenazah masuk atau melekat pada tubuh kakitangan ketika menguruskan jenazah,” katanya sisa mandiannya dipastikan tidak dialirkan begitu sahaja supaya virusnya tidak disebarkan ke persekitaran.

Persiapan mental

Selain itu, kebiasaan jenazah yang dituntut itu disimpan dalam peti sejuk beku melebihi tempoh lapan bulan berikutan tiada waris menuntut untuk pengebumian selain tiada dokumen pengenalan diri.

“Jadi persediaan mental perlu kuat supaya urusan memandikan jenazah berjalan lancar, misalnya saya akan mengikat kuat topeng muka supaya bau busuk tidak mengganggu rongga pernafasan.

“Kebiasaan jenazah ini kulit sudah tertanggal, isi tubuhnya reput dan berulat, membuatkan proses mengambil masa lama. Bagi mayat yang tidak sempurna keadaannya tetap perlu disempurnakan dan dikebumikan,” katanya.

Misalnya, beliau akan sedekahkan bacaan al-Fatihah dan surah lazim lain kepada si mati dan memohon Allah SWT mempermudahkan urusan dan mengampunkan dosa si mati.

Berita Harian X