Selasa, 4 Jun 2019 | 12:29pm

Warga emas RSK cari pasangan urus kehidupan

CHERAS: Dalam menghitung sisa kehidupannya, jauh di sudut hati Idris Ismail, teringin untuk memiliki pasangan hidup bagi menjaga makan minum, kesihatan dan pakaiannya.

Ditambah pula beliau yang sudah berusia 73 tahun, tidak pernah merasai kemanisan hidup berkeluarga, menikmati masakan air tangan isteri, berharap ada jodoh menantinya suatu hari nanti.

“Sekurang-kurangnya sebelum meninggal dunia, ada juga isteri yang boleh menjaga sakit pening, mengurut kaki yang lenguh atau mengadu masalah,” katanya ketika ditemui di Rumah Seri Kenangan (RSK) di sini, baru-baru ini.

Seakan sudah lama mengenali penulis, Idris yang mesra dipanggil Pak Deris dalam kalangan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di situ, tanpa segan silu menyuarakan keinginannya itu.

Terkenang zaman silam

Ketika ditemui BH, Idris baru sahaja selesai bersarapan dan duduk berbual bersama beberapa penghuni lain. Itulah rutin yang dilaluinya sejak 15 tahun lalu.

Sekiranya rajin, sesekali dia ke taman khas yang disediakan untuk penghuni bersenam menggunakan beberapa peralatan yang disediakan di situ.


Idris bersenam menggunakan peralatan khas yang disediakan di Rumah Seri Kenangan, Cheras. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Sementara menunggu waktu makan tengah hari, Idris ke surau untuk solat sunat dan memanjatkan doa kepada Ilahi supaya hajatnya itu kesampaian.

Ketika sendirian, Idris yang berasal dari Beranang, Selangor, juga gemar menyanyi terutama lagu dondang sayang untuk menghiburkan hatinya yang sunyi sambil mengenang kisah-kisah lama ketika menjalani hidup di kampung halaman.

“Menjelang hari raya, saya dan rakan sekampung sibuk membuat meriam buluh dan curi-curi menghisap rokok buah pinang dengan batang buluh yang ditebas dari hutan berhampiran.

“Cuti sekolah, kami beramai-ramai menimba dubuk di sawah. Hasil jualan ikan sembilang dan sepat sawah boleh mencecah lebih RM100, dibuat belanja membeli baju raya,” katanya sambil tersenyum mengenang zaman kanak-kanak yang cukup meriangkan.

Mengenang nasibnya yang terdampar di RSK sejak 10 tahun lalu tanpa keluarga mahupun rakan, hatinya dipagut sayu.


Idris penghuni paling lama di Rumah Seri Kenangan, Cheras sejak dibuka 2010. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Dia penghuni paling lama di sini sejak dibuka 2010, selepas lebih setahun tinggal di RSK Seremban kerana dihantar oleh ketua kampung berikutan keadaan dirinya sebatang kara dan tidak terurus.

“Paling sedih setiap kali Ramadan dan hari raya, saya terpaksa bersendirian menyambutnya. Bukan tiada rakan di RSK, tetapi manakan sama berpuasa dan beraya dengan ahli keluarga sendiri.

“Saya memiliki empat adik beradik yang tinggal di Bangi, Jelebu, Mantin dan Kuala Lumpur, namun tiada seorang pun mahu menjenguk serta membawa pulang beraya bersama mereka. Kalau lalu di sini, singgahlah menjenguk saya,” katanya.

Mengimbau kisah hidupnya, Idris mendakwa pernah mempunyai seorang teman wanita dan bercadang ingin mengahwini, namun hasratnya itu tidak kesampaian.

Bapa si gadis bersetuju, namun ibunya menolak kerana tidak yakin dengan kemampuan Idris menjaga anaknya itu kelak selepas mengetahui Idris bekerja sebagai pemotong kayu balak.

Teman wanita itu juga dikatakan tidak pernah berkahwin dengan orang lain dan pernah dia datang menjenguk Idris di situ.

Idris mendakwa, baru-baru ini dia dimaklumkan oleh seorang kakitangan JKM, bakal dipindahkan ke Melaka dan akan dicarikan seorang pasangan di sana.

“Saya umpama orang mengantuk disorong bantal. Malah, saya akan diberi modal membuka gerai menjual pisang goreng sebagai pendapatan sampingan,” katanya.

Idris mengisi masa lapang dengan bersenam di Rumah Seri Kenangan, Cheras. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Berita Harian X