Jumaat, 10 Mei 2019 | 3:30pm
PELUKIS muda, Mulaika Nordin membuat pameran solo di Balai Seni Lukis Negara. - Foto Rosdan Wahid

Lukisan ubah karakter Mulaika

Sifat malu dan takut mencuba sesuatu yang baharu begitu menebal dalam diri, berjaya diatasi hingga mengubah hidupnya untuk menjadi individu berani dan penuh yakin.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Hartamas, yang antara juga pelukis termuda negara, Mulaika Nordin, 16, berkata menjadi individu termuda negara diberi pengiktirafan mempamerkan karya seni lukisannya di Balai Seni Lukis Negara, memberikan kepuasan tidak terhingga dalam diri.


Mulaika bersama lukisannya di Balai Seni Lukis Negara. - Foto Rosdan Wahid


LUKISAN berikan kepuasan tidak terhingga buat Mulaika. - Foto Rosdan Wahid.

Tidak pernah menyedari dirinya berbakat, namun ketika emosinya terganggu disebabkan hilang tempat bermanja sejak pemergian datuknya tiga tahun lalu, keadaan berubah.

Peristiwa itu cukup meninggalkan kesan sehingga segala perasaan sedih diluahkan di atas kanvas putih.

Syukur ilham itu menjadi karya sungguh bermakna dalam usaha menerima kenyataan mengenai makna sebuah kehilangan.

Maksud kerapuhan diberi nama buat karya pertamanya itu dihasilkan pada 2016 menggambarkan perasaan rapuh kerana bagai tidak boleh menerima pemergian insan disayangi.

Rupanya bakat seni halus yang mengalir dalam dirinya diwarisi oleh datuknya. Melukis aktiviti kegemarannya sejak kecil dan sekadar hobi bagi mengisi masa lapangnya di rumah selepas penat pulang dari sekolah.

“Saya tidak pernah menganggap melukis sebagai sesuatu yang serius, apatah lagi sejak kecil saya seorang yang pemalu dan takut mencuba benda baharu sehingga perkara itu (kematian datuk) mengubah segala-galanya.

Kebanyakan karya saya tercetus mengikut emosi diri.

“Ada masanya saya tidak mengetahui bagaimana hendak meluahkan perasaan itu dengan perkataan, jadi saya lukis dan mewarnakannya. Malah diakui tanpa perasaan dalaman, saya tidak mampu melukis kerana karya bermutu datangnya menerusi emosi dalaman,” katanya.

Karya Sakura yang menjadi lukisan pertamanya selepas pemergian datuknya menggambarkan perasaannya terhadap ‘kerapuhan’ hidup seseorang.

“Bunga ini melambangkan kerapuhan kehidupan manusia atau pandangan peribadi saya semua orang akan berhadapan dengan kehilangan seperti mana saya hilang insan yang disayangi dalam keluarga.

“Selain warna merah, kombinasi hitam merujuk kepada kesedihan dan disulam rona putih menunjukkan keseimbangan perasaan itu. Warna biru simbol kepada datuk yang mempunyai minat dalam berkebun malah memiliki kolam sendiri.

“Lukisan Sakura ini mempunyai empat siri, menggambarkan perasaan saya terhadap peristiwa kematian datuk,” katanya yang ditemui di Balai Seni Lukis Negara sempena Pameran solo pertamanya berjudul, ‘A Thousand Days of Change’, baru-baru ini

Pameran bermula 28 Mac hingga 26 Mei ini, menampilkan 56 karyanya termasuk bersiri yang dihasilkan antara 2016 hingga 2018.

Mulaika yang meminati pelukis tempatan seperti Tajjudin Ismail dan Yusof Majid serta pelukis antarabangsa, Mark Rothko dan Willem De Kooning, mengakui tidak mengutamakan dirinya sebagai wanita sebagai subjek utama dalam setiap karya yang diilhamkan.

“Saya tidak menghasilkan karya mengenai topik feminis, tetapi bangga kerana menjadi inspirasi kepada perempuan yang ingin menjadi artis dalam bidang ini.

“Kebanyakan bidang seni ini didominasi artis lelaki, tetapi saya bersyukur kerana dikelilingi wanita berwibawa menyokong kerjaya seni saya seperti nenek dan emak,” katanya yang turut berkongsi karya berdasarkan pengalaman ketika di bangku sekolah dengan karya berjudul Kindergarten dan Bilik Kaunseling.

Info

Mulaika Nordin

Nama Komersial: Mulaika

Tarikh Lahir: 14 Disember 2003

Umur: 16 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Adik Beradik: Tiga orang

Sekolah: Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Hartamas

Bilangan karya: 100

   Dalam pameran terdapat 56.

Aliran karya seni: Visual arts/abstrak

Berita Harian X