Jumaat, 29 March 2019 | 9:51am
Zuria (kiri sekali) dan Siti Zainun (tiga dari kiri) mengikuti kursus untuk menjadi usahawan kedai ebuku.
Siti Zainun (duduk dua dari kiri) dan Zuria (duduk dua dari kanan) bersama rakan peserta lain serta tenaga pengajar KUEM.

Jana pendapatan menerusi platform Ebook

SUBANG JAYA: Program keusahawanan perniagaan kedai ebuku dalam talian atau lebih dikenali, eBookstore memberikan alternatif kepada suri rumah yang berdepan dilema mengurus masa antara kerjaya dengan keluarga menjana ekonomi.

Pengasas Kelab Usahawan Ebook Malaysia (KUEM), Hasrul Roslan, berkata, konsep ebuku adalah menjual pelbagai bahan bacaan yang menjadi trend teknologi terkini bagi dapatkan maklumat.

Beliau berkata, KUEM dengan kerja sama Global Surf Marketing, mengambil inisiatif memperkenalkan program keusahawanan bagi membolehkan wanita pelbagai peringkat usia dan latar belakang meneroka perniagaan berdaya saing itu.

“Program mampu menjana pendapatan kepada wanita dari rumah. Pengurusan secara anjal membolehkan mereka membahagikan masa sebaik mungkin, selain menyahut cabaran merebut peluang perniagaan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

KUEM ditubuhkan pada Januari 2019 adalah hasil cetusan idea beberapa usahawan dan penulis ebuku serta mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan.

Hasrul berkata, kedai ebuku masih baharu dalam kalangan rakyat Malaysia, namun pihaknya yakin kaedah ini lebih mudah dan bersifat mesra pengguna.

Katanya, sebelum ini, pembaca perlu membeli buku fizikal, tetapi kini lebih mudah dan menjadi trend mendapatkan bahan bacaan berbentuk ebuku yang boleh dibaca melalui telefon pintar.

“Menerusi kedai ebuku ini, usahawan mampu menjana pendapatan dengan menjual ebuku penulis lain atau karyanya melalui platform disediakan,” katanya.

Bagi memahami bidang keusahawanan ini, beliau berkata, kursus dan latihan diberikan kepada peserta, termasuk menggunakan sistem teknikal kedai ebuku, latihan aplikasi telegram, formula penjenamaan perniagaan dan teknik pemasaran secara dalam talian dan perniagaan konvensional.

Perintis usahawan ebuku

Sementara itu, Siti Zainun Mat Amin, 42, berasal dari Kelantan antara peserta program keusahawanan berkenaan. Walaupun menetap jauh di Pantai Timur, ibu kepada empat anak yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentadbiran ini, bersemangat menyertai kursus kerana mahu menjadi antara perintis usahawan kedai ebuku.

Beliau berkata, suami bekerja sebagai tukang rumah, manakala dia pernah bekerja dalam bidang perbankan kini menjalankan perniagaan secara borong dan peruncit barangan keperluan harian.

“Sudah sembilan tahun saya mengusahakan perniagaan perabot dan peralatan membina rumah. Apabila mengetahui kedai ebuku ini, saya tertarik dan ingin mencubanya.

“Alhamdulillah selepas dua bulan menyertai perniagaan ini, pendapatan bertambah,” katanya.

Bagaimanapun, berbeza dengan cerita Zuria Abdull Karim, 34, dari Banting, Selangor yang bertekad menyertai perniagaan kedai ebuku kerana dugaan dan kesulitan hidup dihadapinya.

Ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara tiga hingga 15 tahun, berkata suaminya, Mohd Ismail Hassim, 46, tidak bekerja akibat sakit buah pinggang.

“Mula-mula dulu, macam susah nak ikut, tetapi dengan tunjuk ajar berterusan, saya semakin serasi dan lebih menggembirakan, saya berjaya menambah pendapatan memuaskan,” katanya.

Berita Harian X