Jumaat, 8 March 2019 | 5:19pm
Hannah berucap pada Majlis Pelancaran Buku Statistik Telenisa 2018, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Hannah berucap pada Majlis Pelancaran Buku Statistik Telenisa 2018, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Kurang data: Bantuan golongan sasar tak sampai

KUALA LUMPUR: Kekurangan data dan tiada perkongsian maklumat tepat menyebabkan golongan sasar seperti wanita, remaja dan kanak-kanak yang berdepan pelbagai sosial sukar mendapatkan bantuan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata pihaknya mahu memberi tumpuan dengan mengenal pasti isu sosial di bandar dan luar bandar.

Katanya, menerusi data dan maklumat yang dikumpul, kita boleh membuat perancangan lebih terperinci supaya saluran bantuan diberi lebih tepat.

“Bagi membantu golongan itu, kita perlu lebih kreatif dalam mengumpul maklumat dan menggunakan data itu supaya dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi negara, “ katanya selepas melancarkan Buku Statistik Telenisa 2018, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian bertanggungjawab campur tangan dalam mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat bagi menangani isu sosial.

Hannah (empat kiri) Pelancaran Buku Statistik Telenisa 2018, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Hannah (empat kiri) Pelancaran Buku Statistik Telenisa 2018, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

“Sekiranya tidak ada sistem pengumpulan data yang terbaik, ia menyebabkan kurangnya campur tangan pihak tertentu lantas tidak dapat banyak bantuan diberikan,” katanya

Memberi contoh, sejak berada di Parlimen lapan bulan lalu, Hannah berkata, KPWKM menerima banyak soalan berkaitan isu sosial daripada Ahli Parlimen, antaranya isu gelandangan.

“Kementerian perlu mendapatkan data simpanan dan maklumat yang tepat.

“Jadi agensi luar membantu mendapatkan maklumat lebih terperinci seperti usia, gender, asal mereka dan sebagainya supaya kementerian dapat membantu temui ramai gelandangan remaja dari luar bandar dan tidak dapat pekerjaan dan sukar pulang dan berjumpa keluarga di kampung.

“Menerusi data dikumpul, antara yang dikenal pasti ialah gelandangan muda datang ke ibu kota tidak dapat pekerjaan.

“Usaha yang dilakukan bukan memberi bantuan kebajikan sebaliknya membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian,” katanya.

Katanya, menerusi data yang dikumpul oleh Yayasan Kebajikan Negara iaitu agensi yang menguruskan gelandangan di sekitar ibu kota, seramai 68 gelandangan sudah mendapat pekerjaan, dua bulan pertama tahun ini.

Selain itu, katanya, semua kementerian perlu bekerjasama memberikan perkongsian maklumat supaya dapat membantu mereka yang menghadapi masalah sosial.

Berita Harian X