Isnin, 4 Februari 2019 | 10:06am
KHIDMAT golongan sebagai sukarelawan muda dan pesara boleh menjadi pelengkap tugas pegawai perubatan. - foto hiasan
KHIDMAT golongan sebagai sukarelawan muda dan pesara boleh menjadi pelengkap tugas pegawai perubatan. - foto hiasan

Sukarelawan 'pengubat' jadi sahabat

KUALA LUMPUR: Fungsi sukarelawan di institusi penjagaan kesihatan dilihat sebagai pelengkap tugas pegawai perubatan dan jururawat sebagai perkongsian sokongan moral kepada pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutif (Jabatan Operasi Malaysia) Parkway Pantai, Joe Sim berpendapat sukarelawan memberikan sumbangan bermakna kepada hospital dan masyarakat kerana kemahiran diperoleh dimanfaatkan oleh golongan sasar.

Katanya, beliau bangga kerana ramai sukarelawan sanggup memperuntukkan masa menjadi sebahagian daripada sistem bantuan di hospital.

“Mereka ada keinginan dan kemahiran untuk berkhidmat di semua peringkat. Tugas kami memastikan sukarelawan sesuai untuk peranan di hospital bagi mewujudkan perkongsian bermakna,” katanya kepada BH Online.

Beliau mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggalakkan anak muda dan pesara menjadi sukarelawan hospital atau badan kebajikan dalam usaha membawa kebahagiaan kepada golongan memerlukan.

Sim berkata, sukarelawan membentuk kumpulan sokongan sebagai penjaga keperluan asas pesakit, sekurang-kurangnya menunjukkan arah ketika di hospital.

Keselamatan pesakit penting kerana itu sebelum dipilih, sukarelawan diberi latihan dan mengenali peralatan yang tepat.

“Mereka juga membantu doktor dan jururawat seperti membawa pesakit ke bilik kecil, selain mendidik menjaga diri ketika di wad atau mengingatkan jadual makan ubat.

“Sukarelawan menjadi sahabat kepada pesakit sebagai sebahagian daripada proses penyembuhan menyeluruh, melampaui pesakit klinikal,” katanya.

Antara cabaran mereka perlu memastikan keselamatan fizikal dan emosi pesakit terpelihara tanpa berkompromi, selain memastikan integriti maklumat pesakit dirahsiakan.

“Bagi kesinambungan pesakit, program perkhidmatan sahabat pesakit, kami memerlukan tempoh komitmen berterusan daripada sukarelawan. Ini mengambil masa untuk mereka mempercayai antara satu sama lain dan perubahan yang kerap menjejaskan keberkesanan usaha berkawan,” katanya.

Sepanjang berkhidmat, sukarelawan dipantau dan menjadi kewajipan mematuhi kelakuan etika pada setiap masa.

Ketua Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican, berpendapat hospital adalah tempat paling penting kerana mereka yang datang menghidapi pelbagai penyakit, sudah semestinya mengharapkan sokongan moral.

“Justeru, jika ingin menempatkan sukarelawan sama ada anak muda mahupun pesara, pilih yang benar-benar serius sedia berkhidmat dan faham kerenah pesakit.

“Kalau tiada berpengalaman, jika berlaku sebarang masalah ke atas pesakit, sukarelawan pasti dipersalahkan.

“Kesabaran dituntut kerana selain pesakit, kerenah ahli keluarga yang melawat juga perlu dihadapi. Pasti timbul tekanan jika ada kecemasan dan siapa harus dipanggil atau cara menolong pesakit pada peringkat awal sebelum pasukan perubatan tiba,” katanya.

KEWUJUDAN sukarelawan diperlukan bagi memberi sokongan dan membantu keperluan asas pesakit. foto hiasan
KEWUJUDAN sukarelawan diperlukan bagi memberi sokongan dan membantu keperluan asas pesakit. foto hiasan

Mustapha berkata, pihaknya mencadangkan sukarelawan mesti sihat dan berpengalaman, terutama lepasan pengajian kesihatan yang belum mendapat sebarang pekerjaan.

“Sukarelawan perlu diberi insentif atau elaun bagi menarik minat sasaran,” katanya.

Mengenai pesara yang tiada kemahiran rawatan dan penjagaan kesihatan pula, berkata, mereka kurang sesuai kerana faktor latar belakang pekerjaan sebelum ini.

“Faktor usia dan personaliti penting kerana mereka mesti tenang berhadapan pelbagai situasi, kecuali yang ada latar belakang berkaitan bidang kesihatan (jururawat).

“Hospital tempat orang sakit, pesara boleh menjadi sukarelawan di tempat sesuai seperti rumah perlindungan wanita dan rumah orang tua yang di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Agama Islam negeri atau di bawah NGO,” katanya.

Berita Harian X