Ahad, 13 Januari 2019 | 10:30am
Kesedaran ibu bapa terhadap kepatuhan menyediakan kerusi keselamatan untuk anak di dalam kenderaan masih rendah. - Foto hiasan
Kesedaran ibu bapa terhadap kepatuhan menyediakan kerusi keselamatan untuk anak di dalam kenderaan masih rendah. - Foto hiasan

Tak patuh pasang kerusi keselamatan

KUALA LUMPUR: Kesedaran ibu bapa terhadap kepatuhan menyediakan kerusi keselamatan untuk anak di dalam kenderaan masih rendah sehingga meningkatkan risiko kemalangan maut.

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sepanjang tempoh Ops Bersepadu sempena musim perayaan tahun lalu mendapati hanya 25 peratus pemakaian kerusi keselamatan kanak-kanak dipatuhi sekali gus tidak mencapai sasaran ditetapkan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan dapat mengurangkan peratus kematian dan impak kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar. - Arkib NSTP
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar. - Arkib NSTP

Katanya, statistik kemalangan 2017 mencatatkan seramai 73 kanak-kanak berusia antara enam hingga 10 tahun meninggal akibat kemalangan jalan raya.

“Namun, 28 daripada jumlah itu adalah penunggang dan pembonceng motosikal.

“Statistik kemalangan membabitkan bayi sehingga kanak-kanak mencecah 10 tahun kian meningkat setiap tahun bermula dari 2013.

“Penggunaan kerusi bayi dan kanak-kanak dalam kenderaan berupaya mengurangkan risiko kematian sehingga 71 peratus tetapi ia perlu dipasang dan digunakan dengan betul,” katanya pada majlis advokasi keselamatan jalan raya di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid; Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJKR), Datuk Rosli Isa dan Ketua Pengarah MIROS, Dr Siti Zaharah Ishak.

Kamarudin berkata, dalam usaha mewajibkan peraturan pemasangan kerusi keselamatan bayi dalam setiap kereta persendirian pada 2020, pelbagai program dianjurkan dengan kerjasama organisasi dan syarikat.

“Antaranya, usaha menggalakkan pengeluar kereta mematuhi arahan penyediaan sistem kerusi keselamatan kanak-kanak giat dijalankan JPJ.

“Setakat ini, arahan itu sudah mula dilaksana oleh pelbagai pengeluar kereta, namun pelaksanaan itu lebih menumpukan penyediaan mematuhi standard dalam negara.

“Bagi meringankan bebanan keluarga kurang berkemampuan kerjasama pemberian kerusi keselamatan kanak-kanak turut dirangka,” katanya.

Dr Siti Zaharah berkata, pemakaian tali pinggang keledar untuk kanak-kanak dengan umur dan saiz bersesuaian dalam kereta, dapat mengurangkan risiko kecederaan serius atau maut apabila berlaku kemalangan.

Katanya, penggunaan kerusi tambahan dapat mengurangkan risiko kecederaan serius untuk kanak-kanak berusia antara empat hingga lapan tahun.

“Di Eropah, penggunaan tali pinggang adalah keutamaan sebelum pengguna jalan raya memulakan perjalanan selain pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak turut diwajibkan.

“Bagi kanak-kanak berusia lapan tahun ke atas dan orang dewasa, penggunaan tali pinggang keledar dapat mengurangkan risiko kematian dan kecederaan serius

“Penggunaan itu dapat mengurangkan impak risiko kematian dan kecederaan serius terhadap pemandu dan penumpang di bahagian depan,” katanya.

Berita Harian X