Jumaat, 26 Oktober 2018 | 11:12am
KEMPEN kesedaran pemeriksaan payudara secara berkala memudahkan pengesan terhadap kanser payudara. - Foto hiasan
KEMPEN kesedaran pemeriksaan payudara secara berkala memudahkan pengesan terhadap kanser payudara. - Foto hiasan

Selamatkan ibu, selamatkan anak

KUALA LUMPUR: Kempen Selamatkan Ibu, Selamatkan Anak sempena Pink Oktober, antara inisiatif terbaik bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit itu dalam kalangan wanita.

Kempen dianjurkan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) dan The Hope Sdn Bhd itu membolehkan maklumat mengenainya disebarkan secara menyeluruh.

Presiden BCWA, Ranjit Kaur, berkata pemeriksaan awal membantu mengesan risiko kanser daripada merebak ke peringkat lebih serius hingga menjejaskan kualiti kehidupan ibu dan anak.

Katanya, semua wanita perlu menjadikan amalan pemeriksaan payudara secara berkala bagi tujuan itu terutama dalam kalangan yang mempunyai anak.

“Ibu memainkan peranan penting dalam institusi kekeluargaan. Mereka sering dikaitkan dengan kesejahteraan dan pembangunan diri yang mahukan yang terbaik untuk keluarga. Sekiranya mereka sakit, rutin harian akan terganggu.

“Kempen seperti ini membimbing wanita mengurus kanser payudara, selain melakukan pemeriksaan awal bagi mencegah penyakit itu ,” katanya dalam kenyataannya, di sini.

Justeru, menerusinya ia juga diharap dapat memperkasakan kesihatan wanita terutama di kawasan pedalaman bagi menggalakkan melakukan pengesanan awal kanser payudara menerusi prosedur pemeriksaan sendiri.

Pada masa sama, inisiatif ini mendapat kerjasama syarikat pengeluar pakaian jenama CANAI International, menampilkan rekaan skaf terhad, Pink Spectrum Scarf bagi mengumpul dana menyediakan program pemeriksaan dan bimbingan penjagaan percuma.

Koleksi dihasilkan menggunakan spektrum berteknologi bagi membantu meningkatkan sistem imunisasi dan peredaran darah bagi memberi penjagaan kesihatan menyeluruh.

PEMERIKSAAN awal membantu mengesan risiko kanser payudara daripada merebak sehingga tahap serius. - Foto hiasan
PEMERIKSAAN awal membantu mengesan risiko kanser payudara daripada merebak sehingga tahap serius. - Foto hiasan

Menerusi kempen Hopeful Pink itu juga diadakan pelbagai acara menarik dan interaktif termasuk sesi bual bicara perkongsian inspirasi dan pertunjukan fesyen Spectrum2Fashion.

Sementara itu, Pengasas The Hope Factory, Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah, berkata kempen itu mengukuhkan kerjasama semua pihak menangani kanser.

Beliau berkata, mencegah lebih baik daripada merawat dan kesedaran mengenai penjagaan dan pemeriksaan payudara penting.

“Kempen bertujuan mendekati lebih ramai wanita dan membantu meningkatkan kualiti hidup, terutama bekas pesakit kanser payudara menjalani kehidupan lebih bermakna.

“Lima tahun lalu, saya kehilangan ibu selepas lama bertarung dengan kanser. Pemergiannya memberikan impak besar buat saya dan keluarga,” katanya.

Berita Harian X