KUALA LUMPUR: Usaha meningkatkan kesedaran umum mengenai pentingnya penjagaan kesihatan dengan amalan gaya hidup sihat diperluaskan menerusi penganjuran pelbagai program aktif membabitkan semua lapisan masyarakat.
Menyedari pentingnya usaha itu, semua pihak bersatu tenaga menjayakan aktiviti riadah bertujuan menyebarkan maklumat mengenai serangan penyakit bahaya antaranya kanser payudara yang juga pembunuh utama dalam kalangan wanita.
Pengeluar pakaian dalam wanita, Wacoal Malaysia meneruskan kerjasama dengan New Straits Times (NST) dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kanser payu dara.
Kerjasama pintar itu diterjemahkan menerusi program berbasikal sejauh 25 kilometer (km) menerusi Kempen Wacoal Pink Ribbon Fun Ride dilancarkan di Balai Berita, di sini semalam.
Terdahulu acara pelepasan disempurnakan Pengarah Eksekutif Wacoal Malaysia, Tsutomu Fujimura bersama Ketua Pegawai Komersial The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Alfian Abu Talib, Pengarang Eksekutif NST, Muzli Mohamad Zin dan Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Roche Chew.
Yang turut sama, Timbalan Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Wacoal Malaysia, Lo Yean Feein. Kayuhan disertai kira-kira 800 peserta termasuk lapan pesakit (dua lelaki) kanser.
Acara berbasikal bermula dari Jalan Riong, Bangsar menuju ke pusat bandar dengan melalui Dataran Merdeka, Bukit Bintang dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Pembunuh utama wanita
Fujimura berkata, kanser payu dara kekal pembunuh utama wanita seluruh dunia. Dianggarkan satu daripada 19 wanita Malaysia berdepan risiko menghidap penyakit bahaya itu.
Beliau berkata, Wacoal Malaysia komited menyebarkan kesedaran berhubung kanser payudara serta langkah pencegahannya.
“Inisiatif ini membolehkan lebih ramai mendapat maklumat tambahan mengenainya. Pencegahan awal penting menerusi amalan gaya hidup sihat.
“Wanita dinasihat menjalani pemeriksaan kesihatan dari semasa ke semasa, selain peka mengenai perubahan dalam diri. Ini bagi membolehkan mereka mengesan jika berlaku sebarang kemungkinan tanda awal diserang kanser.
“Pemeriksaan awal menyelamatkan pesakit kerana rawatan segera mengurangkan risiko kematian. Kadar kelangsungan pesakit untuk meneruskan hidup dianggarkan sehingga 85 peratus,” katanya.
Sementara itu, Alfian berkata, program seumpama itu wajar diperluaskan ke bandar utama lain seperti di Kelantan, Johor dan Perak dalam meningkatkan kesedaran pentingnya pencegahan dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Seorang peserta, Farahan Iza Abdul Rahman, 45, berkata beliau bersemangat menyertai program ini dalam usaha menyebarkan maklumat pentingnya menjaga kesihatan bagi mengelak serangan kanser.
Beliau yang juga pemilik restoran berkata, dia pernah menjalani pembedahan membuang payudara kanan pada Mei lalu selepas dikesan menghidap kanser tahap dua pada penghujung April.
“Saya baru selesai menjalani enam kali sesi kemoterapi dua minggu lalu, Alhamdulillah sokongan keluarga dan rakan, menjadikan kehidupan lebih positif kerana kanser bukan pengakhiran hidup.
Jalani pemeriksaan kesihatan.
“Paling penting kita sebagai wanita perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun bagi memastikan tiada risiko kanser.
“Pada masa sama juga, wanita perlu menambah pengetahuan mengenai prosedur rawatan kanser yang sesuai bagi melancarkan proses pemulihan,” katanya.
Bekas pesakit kanser payudara, Nina Aziz, 44, berkata beliau melalui dua kali pembuangan ketumbuhan masing-masing pada 2016 dan terbaru Jun lalu. Sepanjang tempoh rawatan itu, dia menjalani 12 kali sesi kemoterapi.
“Sebagai pesakit, kita harus sentiasa positif menjalani rawatan. Dapatkan pandangan daripada kumpulan sokongan kanser untuk lebih bersemangat meneruskan hidup.
“Aktifkan diri dengan aktiviti fizikal, jalani gaya hidup sihat, ambil makanan seimbang dan jauhkan daripada tekanan. Hindari kesedihan kerana setiap penyakit itu ada penawarnya,” katanya yang menetap di Sungai Buloh, Selangor kini lebih bersemangat bersama empat anak dan tiga cucu.