Rabu, 5 September 2018 | 11:48am
PASANGAN sering bertelingkah menjejaskan perkahwinan dan emosi anak. - Foto hiasan

Kursus praperceraian elak telagah berlarutan

KUALA LUMPUR: Pasangan yang ingin bercerai disaran mengikut kursus praperceraian bagi mengelakkan pertelagahan yang berlarutan sehingga menjejaskan kelancaran pelbagai proses berkaitannya.

Peguam Syarie, Mohd Amir Sharil Bahari, berkata pasangan yang bakal bercerai perlu ada ilmu untuk menuntut hak mereka sebagai suami atau isteri selepas berpisah dengan pasangan masing-masing.

Katanya, kebanyakan kes perceraian selalunya berakhir dengan pertelagahan, termasuk membabitkan perebutan harta dan hak penjagaan anak.

“Pertengkaran menyebabkan proses perceraian sukar diselesaikan dan terpaksa memakan masa kerana masing-masing tidak mahu mengalah,” katanya kepada BH.

Mohd Amir berkata, pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga wajib menghadiri kursus perkahwinan, jadi mengapa tidak pasangan yang berasakan rumah tangga mereka tidak dapat diselamatkan lagi, juga perlu mengikuti praperceraian.

Pastikan proses lancar

Kursus sebegini bertujuan memberikan ilmu kepada pasangan yang bakal bercerai dalam memastikan proses perceraian mereka berjalan lancar.

Justeru, beliau menggalakkan pasangan yang gagal menyelamatkan rumah tangga menghadiri kursus yang memberikan panduan mengenai tindakan perlu sebaik membuat keputusan ke mahkamah untuk memfailkan perceraian.

Mohd Amir berkata, kebanyakan mengaitkan perceraian dengan undang-undang semata-mata, tetapi jarang menyedari ia perlu dilalui dengan akidah dan ibadah.

Beliau menggariskan empat perkara penting perlu menjadi pegangan pasangan yang berpisah iaitu reda, komunikasi, kewangan dan kesihatan bagi menempuhi proses perceraian yang tenang.

Reda dengan apa yang berlaku mengelakkan pergaduhan antara pasangan, perebutan hak penjagaan anak dan nafkah untuk anak.

“Apabila bercerai, sukar kita memaklumkan kepada ibu bapa, anak, keluarga dan rakan mengenai kedudukan rumah tangga. Bagaimanapun, perkara ini lebih mudah dilalui jika kita tahu caranya tanpa mengaibkan pasangan.

“Sekiranya tersilap cara, anak paling teruk mengalami kesannya yang meninggalkan parut mental atau trauma akibat perceraian ibu bapa,” katanya.

Bijak kendali tekanan

Bukan sahaja anak, pasangan khususnya wanita pasti mengalami tekanan hebat akibat perceraian dan perkara ini perlu ditangani dengan bijak.

Wanita yang tidak bekerja atau suri rumah sepenuh masa juga perlu bertatih semula untuk memulakan kehidupan baru, selain perlu harus bijak mengendalikan tekanan dialami.

Tekanan yang tidak ditangani dengan betul boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti kemurungan dan tekanan darah tinggi.

Pasangan perlu menerima hakikat perceraian akan berlaku walaupun selepas pelbagai usaha dijalankan untuk menyelamatkan rumah tangga.

Menimba ilmu dapat membantu pasangan melalui proses ini dengan lebih tenang, walaupun hakikatnya tiada sesiapa menginginkan perceraian.

Mohd Amir berkata, berdasarkan kes dikendalikan beliau merumuskan proses perceraian yang tertangguh antara lain disebabkan ego pasangan, tidak tahu hak selepas bercerai, tidak faham undang-undang dan saluran betul menuntut perceraian, tiada komunikasi dan campur tangan keluarga.

Beliau berkata, kursus yang beliau kendalikan berkaitan bidang guaman, komunikasi, pengurusan konflik dan kaunseling, hak perundangan selepas bercerai dan pengurusan kesihatan, antara perkara yang seharusnya diketahui pasangan.

“Saya yakin dengan kursus itu dapat memastikan peserta memahami proses perundangan lengkap perceraian dan kesan perceraian kepada pasangan dan anak, selain memberi sokongan emosi serta hal berkaitan,” katanya.

Berita Harian X