X
Rabu, 18 Julai 2018 | 9:07am
FOTO hiasan
FOTO hiasan
KETUA Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah. - Foto fail NSTP
KETUA Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah. - Foto fail NSTP

Perancang keluarga elak risiko kematian maternal

KUALA LUMPUR: Amalan perancang keluarga di negara ini masih di peringkat sederhana sedangkan aspek itu penting untuk mengurangkan risiko kematian maternal.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah, berkata kesedaran terhadap kesihatan reproduktif dapat mengelak kecacatan bayi disebabkan kehamilan dan kelahiran terlalu awal atau lewat.

Katanya, perancang keluarga adalah keperluan asas dan hak wanita dari segi kehamilan untuk memperoleh kesihatan optimum.

"Mengikut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, nisbah kematian maternal di Malaysia menurun daripada 40 bagi setiap 100,000 kelahiran hidup pada 1991 kepada 24 setiap 100,000 kelahiran hidup pada 2015.

"Antara faktor menyumbang kepada pengurangan nisbah kematian adalah kemudahan luas terhadap perkhidmatan kesihatan profesional juga perkhidmatan dan maklumat perancang keluarga berkualiti," katanya ketika dihubungi BH Online.

Abdul Shukur berkata, perancang keluarga juga menjadi faktor utama bagi mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan keluarga.

Katanya, kemudahan kepada kesihatan reproduktif termasuk perancang keluarga adalah sasaran utama agenda baharu untuk Matlamat Pembangunan Lestari bagi tempoh 2015 hingga 2030.

"Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) oleh LPPKN pada 2014, mendapati kadar penggunaan kontraseptif dalam kalangan wanita berkahwin berumur 15-49 tahun kekal stabil kira-kira 55 peratus antara 1984 hingga 2014.

"Pemilihan kaedah kontraseptif moden meningkat daripada 30.3 peratus pada 1984 kepada 34.3 peratus pada 2014 dan ia mula menggantikan kaedah kontraseptif tradisional.

Justeru, pada sambutan hari Penduduk Sedunia 2018, yang bertemakan Perancang Keluarga: Perancang Keluarga adalah Hak Asasi Manusia dianggap bertepatan bagi menterjemahkan mengenai aspirasi negara terhadap misi berkenaan.

Perancang keluarga dipilih tema bagi sambutan tahun ini bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai hubung kait perancangan keluarga selamat untuk kesejahteraan demografi penduduk dan pembangunan negara.

Kata Abdul Shukur, justeru kemudahan kepada perancang keluarga dan kesihatan reproduktif diperluaskan dan boleh didapati melalui rangkaian hospital dan klinik kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Klinik Nur Sejahtera kendalian LPPKN, Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), farmasi dan pusat perubatan swasta turut menawarkan perkhidmatan kesihatan reproduktif.

"Usaha ini untuk memastikan kemampuan dan liputan penuh terhadap perancangan keluarga dan perkhidmatan kesihatan reproduktif di bandar mahupun luar bandar dapat dicapai," katanya.

Sempena sambutan itu, LPPKN turut menganjurkan aktiviti ceramah mengenai perancang keluarga yang turut diadakan di setiap negeri sepanjang bulan ini.

"Kolokium khas bagi membincangkan isu, cabaran dan mencadangkan hala tuju amalan perancangan keluarga di Malaysia turut diadakan bagi tujuan sama," katanya.

Berita Harian X